Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Monday 27 January 2014

HARI INI HARI RAJIN SAYA!

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Ehem ehem!

Hari ini ialah hari 'rajin' saya.

Selepas solat Subuh pagi tadi, saya pun terus memandu kereta dan menghantar bakal hafiz dan hafizah saya ke madrasah masing-masing. Selepas itu, saya terus memandu sendirian ke gerai yang menjual kuih karipap kegemaran saya dan membelinya untuk dijadikan sarapan pagi saya. Errr...tolong jangan tanya berapa biji karipap yang saya beli ya...biarlah ianya menjadi rahsia diantara saya dengan makcik yang menjual kuih itu sahaja.
Dari gerai tersebut, saya pun terus memandu menuju ke sebuah bank yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan saya. Alhamdullillah saya dapat meletakkan kereta saya betul-betul di hadapan bank tersebut. Saya pun dengan segera masuk ke dalam Pusat Perbankan Elektronik bank itu dan mengeluarkan sedikit wang dari mesin pengeluaran wang yang terletak di situ.

Setelah selesai urusan mengeluarkan wang, saya pun masuk ke dalam kereta dan terus memandu ke pasar yang terletak tidak jauh dari bank tersebut. Sebenarnya, bagi orang yang memiliki kaki yang sihat, boleh saja kalau berjalan kaki dari bank tersebut menuju ke pasar itu. Tetapi, bagi seorang yang telah melalui pembedahan di kaki sebanyak 2 kali  seperti saya, adalah lebih 'afdal' sekiranya saya memandu saja ke pasar tersebut. Hmmm...kasihan saya.
Hari ini, saya telah merancang untuk membeli beberapa jenis ikan, udang, sotong dan sayur-sayuran  (dan tidak dilupakan dan wajib beli : Tempe!!!) untuk di jadikan lauk pauk selama seminggu. Bila saya tanya harga barang-barang tersebut kepada penjual di gerai, astaghfirullahalaazim! Terperanjat besar saya! Hampir semua barang-barang tersebut sudah naik harga!

" Hari Jumaat hari besarlah kakak. Hari raya Cina. Malam Khamis ada makan besar sama semua ahli keluarga. Itu sebab ikan, udang, sayur semua ada sikit naik lah harga." Terang Ah Keong, penjual di gerai tempat di mana saya sering membeli ikan, udang dan sotong. Saya hanya menggeleng-gelengkan kepala, tanda tidak puashati.
Selepas selesai urusan membeli belah di pasar, saya pun memandu balik ke rumah. Tiba di rumah, saya pun 'mengerah' anak bujang saya (yang masih belajar di sebuah universiti tempatan dan sedang cuti semester sekarang dan asyik menghabiskan masa dengan meng'qada' tidurnya di ruang keluarga rumah saya.) untuk mengangkut semua barang-barang yang saya beli di pasar tadi dan diletakkan di dapur.

" Apa benda yang mak beli ni? Banyak sangat!" Rungut orang bujang saya tu.
" Suruh angkat barang pun nak bising? Tu belum mak minta duit kamu untuk beli, dan belum lagi mak suruh kamu memasak kat dapur." Jawab saya dengan nada memerli.
"Allahuakhbar! Mak ni kan, kita tanya sikit pun tak boleh." Balas anak bujang saya tu sambil membuat muka merajuknya.
"Mak nak masak apa hari ni?" Tanya anak saya itu lagi.
"Adalah. Kenapa? Kamu nak tolong mak masak hari ni?" Tanya saya.
Senyap. Tiada jawapan. Dan bila saya menoleh ke belakang, bayang anak saya tu pun dah tak kelihatan. Bertuah punya anak!
Setelah mengemas dan menyimpan barang-barang yang saya beli tadi, saya lihat jam dinding yang terletak di dapur menunjukkan pukul 8.30 pagi. Masih awal untuk memasak. Oleh kerana hari ini hari rajin saya, maka saya pun terus ke kawasan di hadapan rumah saya dengan niat untuk menjenguk-jenguk kebun kecil saya yang ada pokok-pokok herba dan bunga-bungaan saya.
Dan asbab terlebih rajin hari ini, saya telah mengalih-alihkan beberapa buah pasu-pasu bunga saya mana yang patut, mencabut rumput-rumput yang tumbuh di dalam pasu-pasu pokok-pokok saya, menyemai beberapa benih bunga ke dalam pasu-pasu baru dan selepas itu terus menyiram pokok-pokok saya sekali. Alhamdullillah, puas betul hati saya bila melihat pokok-pokok saya yang tumbuh dengan subur dan bunga-bungaan yang mekar dengan segar bugar di dalam kebun kecil saya itu.
Selesai berkebun, saya masuk untuk berehat sebentar di dalam rumah. Oh ya! semasa berada di kebun kecil saya tadi, saya sempat mencantas pokok daun pandan saya yang tumbuh dengan rimbun sekali. Oleh kerana hari ini hari rajin saya, maka saya telah mengumpulkan semua daun-daun pandan yang saya cantas tadi, terus saya hiris halus-halus untuk dijadikan bunga rampai. Selesai menghiris kesemua daun-daun pandan tu, saya masukkan daun-daun pandan tersebut ke dalam sebuah bakul kecil dan saya letakkan bakul tersebut di atas meja sudut di ruang tamu rumah saya. Dah siap pun pewangi udara semulajadi untuk ruang tamu saya. Baunya...masyaallah! Sungguh semerbak!
Dan selepas menulis entri ini, saya perlu masuk ke dapur untuk mula menyediakan masakan istimewa saya untuk hidangan kami sekeluarga hari ini.
Masakan istimewa? Kenapa pula saya perlu sediakan masakan istimewa hari ini?
Sebab hari ini hari yang istimewa juga untuk saya. Petang nanti, Abang Aji akan balik dari Tongi, Bangladesh. Abang Aji ke sana semenjak hari Khamis minggu lepas untuk menghadiri ijtimak jemaah tabligh di sana.
Sebab tu lah hari ini hari rajin saya!



Sunday 26 January 2014

NAK MENANGIS PADA SIAPA?

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Dari petang semalam, saya teringin benar nak menulis sesuatu dalam blog saya ni. Macam-macam idea yang datang. Tapi setelah saya fikirkan semula beberapa kali, saya tetap cenderung untuk menulis sesuatu yang dapat memberi peringatan kepada diri saya sendiri dan insya allah semoga dapat juga menjadi peringatan kepada orang lain yang membacanya. Jadi, insya allah, dalam entri saya kali ini, saya ingin 'bercerita' mengenai IKHLAS.

Kebanyakan dari kita selalu ingat, yang satu hari nanti kita akan mati. Malangnya kita juga selalu lupa untuk siapkan bekalan untuk dibawa bersama bila kita  memulakan perjalanan kita ke 'sana'. 

Kita selalu ingat yang kita kena  jaga solat fardhu kita, jaga puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji (sekiranya berkemampuan), cari rezeki yang halal, jaga hubungan sesama manusia, taat pada suami, didik anak anak dengan baik...semua tu lah dan banyak lagi. Tapi yang kita selalu lupa, adakah semua amal ibadat yang kita lakukan itu, diterima oleh Allah atau dicampak dan dihempok ke muka kita semula tanpa kita menyedarinya? 
Sebab apa jadi begitu? Sebab kita buat tak ikhlas. Sebab apa tak ikhlas? Sebab kita buat bukan kerana Allah! Hmmm...payah benar bunyinya ni. Bagaimana pula kita nak tahu tahap keikhlasan segala amalan yang kita buat tu? Macamana nak diukur? Bolehkah keikhlasan itu diukur ? Kalau boleh diukur, apakah peralatan yang perlu digunakan?                                                                                  

Ikhlas tu maksudnya melakukan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah, bukan kerana ingin kan pujian dari manusia atau sebab nak dapatkan penghargaan dari manusia.

Para alim ulama ada berkata, ikhlas itu ibarat seekor semut hitam yang merayap di atas batu hitam di dalam malam yang gelap gelita, sangat  susah untuk kita lihat. Dikatakan juga bahawa keikhlasan amalan seorang hamba Allah, hanya Allah  sahaja yang mengetahuinya, malah kedua-dua malaikat yang menjadi pencatat amalan baik buruk dalam buku amalan kita pun tak tahu samada amalan kita ikhlas atau tidak, malaikat-malaikat ni cuma tulis dosa atau pahala saja, keikhlasan sesuatu amalan yang dibuat, hanya akan diserlahkan disaat kita berhadapan dengan Allah pada hari perhitungan/hisab kelak insya allah. Astaghfirullahalaazim.

Dari Syaddad bin Aus berkata : Aku telah mendengar Rasulullah bersabda : Sesiapa bersembahyang untuk menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang berpuasa untuk menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang bersedekah untuk menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. (HR Musnad Ahmad)'

Keterangan : Maksudnya ialah dia telah menjadikan orang-orang yang kerananya amalan ini di lakukan sebagai sekutu Allah. Dalam keadaan ini amalan ini tidak lagi untuk Allah bahkan amalan-amalan ini adalah hak mereka-mereka yang kerananya amalan-amalan itu dilakukan. Pelaku-pelaku amalan seperti ini berhak mendapat azab dan bukannya pahala.

(Sumber hadis : Muntakhab Hadith)

Jadi, bagaimanakah caranya untuk kita memeriksa samada sesuatu amalan yang kita buat itu ikhlas kerana Allah atau tidak? Kita kena buat 3 langkah ni insya allah :

1) Sebelum mengerjakan sesuatu amalan, periksalah niat kita, "aku buat ni untuk siapa?" . Kalau ada  sedikitpun rasa yang kita buat amalan tu dengan niat untuk kelihatan baik, warak, murah hati di mata manusia, cepat-cepatlah islahkan (bersihkan) hati dengan beristighfar. Astaghfirullahalaazim.

2) Semasa sedang mengerjakan amalan tu pun, kita kena periksa niat kita, "aku buat ni untuk siapa?" . Kalau ada sedikitpun rasa yang kita buat amalan tu dengan niat untuk mendapat pujian selain daripada Allah, cepat-cepatlah islahkan (bersihkan) hati dengan beristighfar. Astaghfirullahalaazim.

3) Dan selepas selesai mengerjakan amalan kita tu, kita kena periksa lagi niat kita, "aku buat ni untuk siapa?" . Kalau ada sedikitpun rasa buat amalan tu dengan niat untuk menggembirakan selain daripada Allah, cepat-cepatlah islahkan (bersihkan) hati dengan beristighfar.Astaghfirullahalaazim.

Subhanallah! Rupanya, senang dan serupa saja caranya untuk betulkan niat kita sebelum, semasa dan selepas kejadian tu ya? Memang nampak senang, tapi bukan mudah untuk diamalkan. Apapun, kita kenalah didik diri kita untuk praktikkan dari sekarang. Sebab, kalau kita sentiasa dapat betulkan niat kita untuk buat semua perkara  dalam hidup kita semata-mata  untuk menggembirakan dan mendapat keredhaan Allah, insya allah, keikhlasan amalan yang sedikit pun akan dapat menghasilkan manfaat yang besar untuk kita di dunia dan di akhirat.
 
Dan janganlah pula kita sangka bila kita dah buat pelbagai amalan (wajib dan sunat), kita boleh berbangga dan mendabik dada konon-kononnya, "aku dah banyak buat amalan : solat sunat, zikrullah, baca quran dan macam-macam lagilah amal ibadat.", Kalau kita bersangka begini maka itu antara tanda-tanda yang kita sudah ada sifat riak pula dalam diri kita, Astaghfirullahalaazim...jangan sekali- kali ada niat begini dalam hati kita...dikhuatiri nanti, di dunia kita sangka segala amalan kita yang TERBAIK! TERWARAK! dan ada ciri ciri penghuni syurga. Tapi bila berdepan dengan Allah di akhirat nanti? Rupa-rupanya kita takada apa-apa. Kosong! Nil! Zero! 

Nak menangis pada siapa masa tu? Nak menyesal...tak boleh langsung...nak mengadu? pada siapa? Saat tu semua orang takada masa nak luangkan masa untuk jengok dan bertanyakan khabar sesiapa...mak ayah kita, adik beradik kita, kawan-kawan kita, , semua sibuk memikirkan bahagian masing-masing samada masuk syurga atau neraka . Jadi, kalau sungguh kita sayangkan diri sendiri dan tak mahu masuk neraka, marilah kita sama-sama periksa niat kita  bila buat apapun insya allah.