Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Saturday 30 November 2013

HIJAU ITU MENAWAN.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Dari Laman Hijau Kasturi Puteh

Hari ini hari Sabtu.
Hari yang tidak 'huruhara' untuk saya. Hari dimana suami, anak-anak dan menantu tidak terkejar-kejar untuk ke tempat kerja dan tempat belajar masing-masing. Hari 'relax' buat  saya.

Dan pagi-pagi tadi selepas bersarapan dengan suami, saya dengan penuh rasa gembira masuk ke laman hijau saya. Sambil memberi salam kepada semua pokok-pokok yang 'bersemayam' dalam pasu di laman hijau saya, saya banyakkan bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir sambil 'menyapa' dan 'membelai' mereka. Rasanya ramai yang tahu, setiap tumbuhan di mukabumi ini, sentiasa berzikrullah, memuji Allah SWT. Sebab itulah saya sangat sukakan tumbuh-tumbuhan, dan saya sangat gembira bila dikelilingi pokok-pokok di laman hijau saya. Seolah-olah dapat mendengar 'mereka' berzikrullah, dan hati saya sentiasa menjadi sejuk dan tenang disini.

Ini pokok bunga ros merah jambu saya.

Sebakul daun hijau yang siap untuk dihantar kepada pemiliknya.

Contohnya seperti sebakul daun hijau di dalam gambar di atas. Oleh kerana saya selalu menerima hadiah berupa bakul berisi bunga dan buah-buahan daripada anak menantu, sahabat handai dan kenalan sempena hari kelahiran, ulangtahun perkahwinan dan lain-lain upacara dan perayaan, maka saya dapat mengumpul dan menyimpan banyak bakul-bakul hadiah yang besar dan cantik-cantik. Pada mulanya, bakul-bakul itu saya simpan sahaja di atas almari dapur saya. Tetapi, satu hari, semasa berkunjung ke klinik seorang rakan suami, saya begitu tertarik dengan bakul-bakul besar yang di dalamnya diletakkan pasu-pasu yang ditanam dengan pokok-pokok menjalar berdaun hijau. Semenjak dari itu, timbullah minat baru saya, yakni menjadikan bakul-bakul cantik yang ada dalam simpanan saya itu sebagai bakul berisi pokok-pokok hijau.
Sebakul lagi tumbuhan hijau yang telah ditempah untuk hiasan  di dalam pejabat

Dan pagi tadi, saya sibuk menyediakan dua lagi tempahan yang perlu dihantar kepada pelanggan dalam masa 2 bulan. Mengapa 2 bulan? Sebab dalam masa 2 bulan, insya Allah, saya akan dapat menyediakan bakul pokok atau tumbuhan mengikut kehendak pelanggan. 
Ini salah satu bakul yang sedang dalam proses untuk disediakan.

Selepas melapik bahagian bawah bakul tersebut dengan kertas suratkhabar, saya akan menyusun pasu-pasu kecil yang telah siap diisi dengan tanah ke dalam bakul tersebut. Kemudian saya akan memulakan kerja menanam benih atau bahagian pokok yang diminta oleh pelanggan. 
Bakul yang kosong tadi setelah diletakkan pasu-pasu kecil berisi bahagian pokok baru


Jangan salah anggap ya, ini bukanlah satu perniagaan untuk saya. Ianya hanyalah satu hobi yang sangat saya minati dan yang membuatkan saya gembira. Tapi, kalau sudah ada orang lain yang turut berasa gembira melihatnya dan ingin memilikinya untuk diletakkan di rumah maupun pejabat mereka, tidak salah kalau saya membantu mereka kan?

Berbudi pada tanah, walaupun hanya setakat untuk menggembirakan diri sendiri, rupa-rupanya dapat juga menjadi punca Allah SWT menambahkan rezeki. Alhamdullillah.
















AKU BUKAN MALAIKAT

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Malaikat.
Makhluk yang akur bila diperintah Allah SWT supaya rukuk dan sujud sampai kiamat.
Makhluk yang tunduk pada Adam bila di arah Allah SWT, mereka tetap taat.
Makhluk yang sentiasa patuh dan melaksanakan tanggungjawab diberi penuh hormat.
Makhluk yang diamanahkan memerhati manusia dari dalam rahim hingga ke hujung hayat.

Aku bukan malaikat.
Walaupun aku rukuk dan sujud dalam solat,
tapi hati dan fikiran ku melayang ke merata tempat.
Khusyuk dalam sembahyang kadang-kadang ada tapi selalunya  tak dapat.
Macamana aku nak lalu 'imigresen' di akhirat?
Kalau tak dapat pasport ke syurga, pasti di neraka aku merempat!
Larat kah aku nak tanggung akibat?

Aku bukan malaikat.
Walaupun aku cuba untuk menjadi isteri yang sentiasa taat.
Apa yang suami suka dan minta aku cuba untuk buat.
Tapi kadang-kadang bila iman lemah dan badan pulak penat,
terbit jugak dalam hati rasa cemburu dan sangka buruk yang jahat!
Macamana aku nak jadi ketua bidadari di akhirat?
Redha suami belum tentu dapat!
Larat kah aku nak tanggung akibat?

Aku bukan malaikat.
Bila diberi tanggungjawab memang aku laksanakan sepenuh kudrat.
Walaupun kadang-kadang aku langsung tak minat.
Dan selalunya orang tidak menghargai apa yang aku buat.
Tapi aku cuba juga ikhlaskan niat.
Aku nak redha Allah, aku buat sebagai ibadat.
Biarlah orang tak pandang, tak kenang, tujuan utama aku akhirat!
Besok di 'sana' nanti, aku akan ditanya atas niat apa segala yang aku buat?
Larat kah aku nak tanggung akibat?

Aku bukan malaikat.
Tapi aku sentiasa ingat kat akhirat!
Aku usaha dan cuba buat amal ibadat selagi larat.
Moga-moga belum terlambat untuk aku bertaubat.
Kalau Allah SWT izin dan kalau dapat.
Biarlah akhir hidupku, aku dapat sifat malaikat.
Yang tak jemu  beribadat, bila diberi perintah terus taat!
Sebab aku tak larat untuk tanggung akibat di akhirat!

AMPUNKAN AKU YANG BANYAK BERDOSA INI YA ALLAH! 

  

Friday 29 November 2013

HARI 'MALAS' SAYA.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Hari ini ialah hari 'malas' saya.

Hari ' malas' bukan bermakna saya menghabiskan masa saya seharian dengan berbaring di atas sofa yang empuk di dalam bilik yang berhawa dingin tanpa melakukan apa-apa pun. Hari 'malas' bermakna saya masih masuk ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi tapi sarapan yang senang untuk dibuat seperti sandwich telur dan cucur pisang. Dan untuk makan tengahari pula, saya sediakan satu jenis lauk sahaja iaitu asam pedas ikan sardin. Itu menu sarapan pagi dan makan tengahari pada hari 'malas' saya.

Pada hari 'malas' ini juga, saya bawa  MPV saya ke bengkel kereta untuk di 'service'. Dan selepas di'service', saya hantar MPV saya untuk dicuci bersih di tempat mencuci kenderaan yang letaknya bersebelahan bengkel kereta tersebut. 

Setelah kereta saya selesai dibersihkan, saya terus memandu menuju ke madrasah anak perempuan saya untuk mengambil beliau pulang dari madrasah. Oleh kerana hari ini merupakan hari 'malas' saya, maka saya terus membawa anak perempuan saya menuju ke kedai tukang jahit yang terletak di dalam kawasan perumahan kami untuk menempah jubah, tudung dan purdah untuk anak perempuan saya. Setelah selesai urusan kami di sana, maka saya pun membawa anak saya pulang ke rumah.

Hari 'malas' saya masih belum berakhir. Selepas solat Asar, saya bergegas ke kebun kecil saya yang terletak di hadapan rumah untuk menyiram pokok-pokok saya. Oleh kerana cuaca hari ini agak panas, kelihatannya pokok-pokok saya juga terlentuk 'malas' seolah-olah memahami bahawa hari ini merupakan hari 'malas' tuan mereka.

Dan sehingga catatan ini saya tulis, hari 'malas' saya masih belum berakhir. Sebentar lagi, saya perlu ke dapur untuk menghidangkan makan malam untuk suami, anak-anak dan menantu saya yang akan pulang dari masjid bila-bila masa saja dari sekarang.

Walaupun hari ini merupakan hari 'malas' saya, mengapa saya masih belum dapat melelapkan mata walau sekejap pun juga dari awal pagi tadi?

Dan kalau beginilah keadaan saya pada hari 'malas' saya, bagaimana agaknya keadaan saya pada hari 'rajin' saya? Hmmmm.......





                   

Thursday 28 November 2013

YANG MANA SATU SENDUK, YANG MANA SATU SUDIP?

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Selepas solat Asar tadi, anak dara bongsu saya, Yaya, yang berumur 13 tahun, mengetuk pintu bilik saya sambil memberi salam.
"Assalamualaikum Mak. Boleh Yaya masuk?" tanya Yaya tanda meminta izin.
"Waalaikumsalam Yaya. Masuklah." jawab saya.
"Mak, tengahari tadi mak beritahu Yaya, untuk makan malam hari ni, Mak nak tambah lauk sambal tumis telor kan Mak?" tanya anak saya itu meminta kepastian dari saya.
"Insya Allah. Betullah tu Yaya. Kenapa? Yaya nak masak sambal tumis telor tu untuk Mak?" soal saya pada Yaya semula.
"Boleh tak Mak?" Yaya membalas soalan saya dengan soalan semula.
"Insya Allah boleh. Tapi, sebab ini kali pertama, biarlah Mak tunjukkan dulu cara memasaknya dan Yaya boleh bantu menyediakan bahan-bahannya dan tengok cara Mak memasak sambal tumis telor tu. Insya Allah, esok-esok, Yaya boleh buat sendiri ya?' jawap saya pada anak dara bongsu saya itu.

Yaya keluar dari bilik saya dengan senyum lebar tanda berpuashati dengan cadangan saya. Alhamdullilllah.

Memang begitulah cara saya mendidik anak-anak perempuan saya. Seawal usia 11 ke 12 tahun, saya telah mengajak mereka masuk ke dapur untuk membantu saya memasak. Setidak-tidaknya, pada usia begitu saya mahu mereka mengenali peralatan di dapur dan cara menggunakannya. Jangan nanti bila sudah hampir mendirikan berumahtangga, baru terkocoh-kocoh hendak belajar masuk kedapur, baru nak kenal yang mana satu senduk dan yang mana satu sudip! Saya perhatikan, kebanyakan anak-anak dara sekarang, memang amat kekok bila masuk ke dapur apatah lagi hendak memasak. Tapi, bila ditanya tentang restoran mana yang sedap makanannya, tahu pulak mereka!

Orang lama pernah berkata,"setinggi manapun seorang anak perempuan itu belajar, akhirnya tetap duduk di dapur juga." Saya sangat bersetuju dengan kenyataan tersebut. Anak-anak perempuan saya semuanya lepasan universiti dan memiliki ijazah (kecuali Yaya anak perempuan bongsu saya tadi yang masih belajar untuk menjadi hafeezah di sebuah madrasah, alhamdullillah.). Kesemua anak-anak perempuan saya, telah saya sediakan awal untuk mempelajari kemahiran mengemas dapur dan memasak. Dan alhamdullillah, sebelum mereka mendirikan rumahtangga, mereka telah pun pandai memasak. Dengan ertikata lain, mereka telah bersedia untuk menjadi seorang isteri!

Semasa masih belajar di universiti, anak-anak perempuan saya sering membawa pulang rakan-rakan sebilik dari asrama universiti tempat mereka belajar. Kebanyakannya datang dengan niat utama untuk belajar mengenali dapur! Memang kelakar jadinya. Kasihan pun ada. Bayangkan, bila disuruh perah santan, di ambilnya kelapa parut yang diberikan dan diperah sekuat hati tanpa diramas dan diletakkan air terlebih dahulu. Sampai kucing bertanduk pun, santan tidak akan keluar walaupun diperah menggunakan sepenuh kudrat yang ada!

Dipendekkan cerita, janganlah berbangga dengan segulung ijazah yang dimiliki oleh anak-anak perempuan kita. Sebab ijazah itu tidak boleh bertukar menjadi tongkat sakti yang boleh menyediakan makanan sedap dalam sekelip mata.

Ajaklah mereka masuk ke dapur di rumah kita dan kenal dan biasakan mereka dengan peralatan di dapur. Ajarlah mereka memasak dari usia yang masih muda. Dari mereka duduk mengadap cerita cinta dari Korea yang berbelas-belas siri itu, adalah lebih baik jika mereka diajar cara untuk kelim tepi karipap! 





CUKUPLAH ALLAH BAGI KU.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Nama saya Kasturi Puteh. Tapi itu bukanlah nama sebenar saya seperti yang tercatat di dalam kad pengenalan saya. Atas kemahuan suami, saya hanya dibenarkan untuk menggunakan nama samaran Kasturi Puteh sahaja sekiranya saya ingin meneruskan hasrat saya untuk menjadi seorang penulis. Sebagai isteri, saya akur dan saya taat. Tambahan pula, saya amat meminati dunia penulisan. Tidak kiralah syarat apa pun yang dikenakan oleh suami (asalkan tidak bercanggah dengan hukum hakam agama), saya akur.

Saya seorang wargaemas, sebenarnya baru sahaja melangkah ke alam wargaemas pada bulan Oktober tahun ini. Saya mempunyai kelulusan ijazah dari universiti tempatan. Merupakan anak sulong dari adik beradik yang ramai. Di lahirkan di sebuah negeri di selatan tanahair tetapi seminggu selepas dilahirkan, saya dibawa ke Kuala Lumpur oleh mak dan ayah saya. Di Kuala Lumpurlah saya dibesarkan. Bersekolah rendah dan menengah di Kuala Lumpur. Mendirikan rumahtangga dan melahirkan lima orang cahayamata saya juga di Kuala Lumpur. Juga bercerai dengan bekas suami di Kuala Lumpur.


Cerai? Ya betul, setelah mempunyai lima orang cahayamata, saya bercerai dengan bekas suami pertama saya. Sebenarnya, penjelasan yang lebih tepat ialah saya yang memfailkan perceraian saya di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur. Melalui perkahwinan pertama ini saya telah melalui pengalaman berumahtangga yang amat perit dalam hidup saya. Dipukul, didera, dihina dan dimalukan, merupakan asam garam kehidupan harian di dalam perkahwinan pertama saya. Dan pengalaman pahit ini juga menjadikan saya seorang ibu tunggal yang keras hati, yang garang, yang tabah dalam membesarkan kelima-lima anak saya sendirian dalam jangkamasa yang agak lama.


Alhamdullillah, atas belas kasihan dan kasihsayang Allah SWT, berbekalkan sedikit kelulusan yang saya miliki, saya berjaya mendaki tangga kerjaya saya dari peringkat bawah sehinggalah saya menjawat jawatan diperingkat pengurusan. Pengalaman hidup yang perit dan juga tekad untuk menjaga dan mendidik anak-anak saya untuk berjaya di dunia dan akhirat telah menjadikan saya berjiwa kental dan tahan lasak dalam menghadapi kehidupan.


Bagaimanapun, semua kejayaan bukan datang dengan mudah dan sekelip mata sahaja. Bukan senang membesarkan lima orang anak sendirian. Semasa mendaki tangga kerjaya, banyak dugaan dan halangan yang saya hadapi. Saya bercerai sebelum saya mendapat pekerjaan tetap. Untuk menyara lima orang anak sendirian tanpa suami adalah satu cabaran yang berat. Saya pernah mengambil upah menggosok baju di kilang baju, pernah juga menjadi tukang masak di rumah orang kenamaan semata-mata kerana saya dibenarkan membawa balik saki-baki lauk-pauk yang sedap-sedap untuk diberi makan kepada anak-anak saya. Saya juga pernah menjadi juruhebah sambilan di stesyen radio,  bangun seawal pukul 3 pagi untuk buat kueh-mueh dan masak nasi lemak yang kemudian saya hantar ke kantin-kantin sekolah berhampiran rumah sewa saya. Pendekata, saya sanggup lakukan apa saja, asalkan saya memperolehi rezeki yang halal untuk menyara kehidupan kami anak-beranak.

Sehinggalah satu ketika, saya ditawarkan untuk bekerja menjadi Penolong Pengurus disebuah badan swasta, bermula dari situlah kehidupan kami anak beranak berubah menjadi lebih baik. Saya dapat menyewa rumah yang lebih selesa, membeli kenderaan untuk kegunaan kami sekeluarga dan sudah mampu untuk membelikan anak-anak baju baru semasa hariraya, membawa anak-anak menjamu selera di tempat makan yang mereka suka dan membawa anak-anak pergi bercuti sekali sekala.


Dalam pada itu, banyak dugaan yang saya hadapi apabila memiliki status 'JANDA'. Tanggapan masyarakat terhadap wanita yang bergelar janda ini, kebanyakannya negatif belaka. Yang perempuan sentiasa memandang saya dengan penuh rasa gerun, khuatir seolah-olah saya akan merampas suami mereka. Manakala yang lelaki pula sering memandang saya dengan lirikan penuh bermakna, seolah-olah janda seperti saya mudah benar  menyerahkan diri saya kepada mereka. Astaghfirullahalaazim.


Tidak saya nafikan, selama menjadi ibu tunggal, ada beberapa lamaran yang saya terima. Baik melalui ayah saya, melalui jiran saya dan ada juga melalui rakan-rakan sepejabat. Tetapi perasaan saya waktu itu seakan-akan fobia dengan alam perkahwinan. Saya khuatir pisang berbuah dua kali. Tambahan pula, pada waktu itu saya sudah pun memiliki hampir segalanya dan saya gembira kerana dapat membesarkan anak-anak saya yang semakin meningkat dewasa dan alhamdullillah berjaya dalam pelajaran.


Tetapi, kita manusia hanya mampu merancang, penentu segala takdir kehidupan kita hanyalah Allah jua. Hampir setiap malam, disaat saya 'mencurah' segala rasa kepada Allah , saya berdoa kepadaNYA, " Ya Allah, andaikata masih ada lagi jodohku dengan sesiapa saja hambaMU di mukabumi ini, maka aku mohon padaMU wahai Allah, temukanlah aku dengan seorang lelaki yang cinta pertamanya DIKAU wahai Allah dan cinta keduanya Rasulullah. Dan jadikanlah rumah pertamanya masjidMu wahai Allah. Sekiranya masih ada lelaki seperti ini, maka KAU jodohkanlah aku dengannya.Amin."


Akhirnya, Alhamdullillah, Allah telah makbulkan doa saya. Melalui seorang rakan sepejabat, saya diperkenalkan kepada suami saya sekarang. Waktu itu, beliau merupakan seorang duda yang kematian isteri dan mempunyai anak-anak yang ramai. Pada pertemuan pertama, dengan ditemani beberapa rakan saya dan rakan beliau, kami saling menyenangi satu sama lain. Ciri-ciri yang ada dalam doa saya setiap malam, memang semuanya ada pada beliau. Masyaallah!


Dipendekkan cerita, lebih kurang 3 bulan selepas pertemuan pertama itu, beliau membawa bapa saudara dan kakak-kakaknya datang meminang saya daripada mak dan ayah saya sendiri. Kami bertunang selama 3 minggu dan selepas itu terus diijabkabulkan dan menjadi suami isteri yang sah, sehingga kini, dan mudah-mudahan kekal hingga ke syurga insya Allah.


Inilah sedikit (rasanya agak banyak juga ni) mengenai diri saya. Beberapa tahun selepas menjadi suami isteri, oleh kerana tugas beliau sebagai Pegawai Kanan Kerajaan memerlukan beliau banyak ke luar negara, maka suami mencadangkan saya meletakkan jawatan saya. Tambahan pula, dengan bilangan ahli keluarga kami yang semakin bertambah : menantu-menantu dan cucu-cucu, maka saya kini menjawat jawatan isteri, ibu dan nenek sepenuh masa, alhamdullillah.


Dan bila saya sudah ada banyak masa duduk di rumah, maka saya ambil kesempatan tersebut untuk melakukan apa yang sangat saya gemari tetapi tidak dapat saya lakukan selama ini. Menulis. Saya berharap dan berdoa kepada Allah semoga melalui hasil-hasil tulisan saya nanti, saya akan dapat berkongsi pengalaman-pengalaman saya agar dapat dijadikan tauladan dan iktibar kepada wanita-wanita lain di luar sana insya Allah. 


Pesanan saya kepada semua wanita-wanita di luar sana : Jangan mudah putus asa bila menghadapi apa-apa masalah. Makin kita diuji, makinlah dekatkan diri dengan Allah SWT. Doa dan terus berdoa. Allah SWT sentiasa mendengar walaupun suaraNYA tidak kedengaran ditelinga kita. Yakinlah, Allah SWT ambil sesuatu dari kita kerana hendak digantikanNYA dengan sesuatu atau seseorang yang jauh lebih baik, insya Allah.