Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Sunday 9 March 2014

HENTIKANLAH!

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google


MH370. 

Dah 'penat' dengar macam-macam spekulasi yang dibuat oleh pelbagai pihak. Jangan kata pihak media maupun agendi-agensi lain berlumba-lumba untuk memberi 'maklumat' terkini, anak-anak saya yang kat rumah, maupun yang dok jauh pun saling berlumba-lumba mengemaskini maklumat masing-masing kat grup WhatsApp keluarga kami mengenai status terkini MH370. Astaghfirullahalaazim!
Saya menulis entri kali ni, bukanlah dengan tujuan nak menyemarakkan 'kemeriahan' spekulasi yang sudah sedia ada. Saya tak mahu jadi Nujum Pak Belalang sebab saya memang tak tahu menilik langsung...bila disuruh meneka umur orang pun saya selalu kena marah sebab orang muda bila saya teka umurnya,  jadi umur orang tua. Manakala yang 'hampir' tua pula saya teka umurnya sebaya macam umur almarhum moyang saya...Astaghfirullahalaazim! Naya!!!
Seperti semua rakyat Malaysia yang lain , maupun rakyat negara lain seluruh dunia, saya yakin semuanya masih menaruh harapan agar MH730 masih selamat dan akan ditemui secepat mungkin insya allah. Cumanya, apa yang saya nak katakan dalam entri saya ini ialah sikap sesetengah pihak, terutamanya pihak media yang pada pendapat saya tak prihatin dengan kesedihan dan kesengsaraan yang sedang dialami oleh ahli-ahli keluarga penumpang dan kakitangan MH370 yang masih tidak diketahui nasib mereka.
Spekulasi-spekulasi yang dibuat dan ditulis di dalam suratkhabar, di dalam TV, di dalam Facebook, Twitter, WhatsApp dan sebagainya, hanya menambah bebanan  tekanan perasaan yang sudah sedia ada pada ahli-ahli keluarga mereka yang terlibat. Mengetahui yang orang-orang yang mereka sayangi belum tentu lagi nasib mereka, samada masih hidup atau mati, sudah cukup menyedihkan dan membimbangkan mereka, mengapa perlu ditambah lagi?



Lihatlah wajah-wajah mereka ini, bak kata pepatah : berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Biarlah pihak yang berkuasa menjalankan tugasan mereka ikut prosedur yang telah ada, jangan pula kita memberi tekanan dengan membuat spekulasi sendiri dan kemudian menyebarkannya pula di sana sini. Yang 'seronoknya', tiba-tiba ramai pula yang jadi 'PAKAR' dalam pelbagai bidang, bak kata seorang sahabat saya : kat Malaysia ni ada ramai KEYBOARD WARRIORS ber'mazhab SYEIKH GOOGLE'!!! Astaghfirullahalaazim!
Letaklah diri kita di tempat setiap ahli keluarga penumpang-penumpang dan kakitangan MH370, cubalah rasai dan fahami kesedihan dan kerisauan mereka. Sekiranya kita berada di tempat mereka, bagaimana perasaan kita bila membaca semua spekulasi-spekulasi (malah ada juga kata-kata celaan yang ditulis) mengenai orang-orang yang kita sayangi itu? 
 

Dan pada pihak-pihak media, tolonglah prihatin. Jangan hanya kerana ingin mendapatkan cerita dan berita terkini dan sensasi untuk dipaparkan bagi melariskan suratkhabar/TV tempat kalian bekerja, kalian 'batukan' hati dan perasaan kalian. Menyerbu dan memburu ahli keluarga penumpang dan kakitangan MH370 tanpa ada rasa belas kasihan. Astaghfirullahalaazim! HENTIKANLAH!



Ada baiknya kalau kita semua...semua sekali, memohon keampunan dari Allah dan meminta Allah memudahkan segala urusan pencarian MH370 ni insya allah. Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan apa yang sebenarnya terjadi, Allah yang telah menghantar ujian ini kepada kita semua, maka pada Allah sahajalah selayaknya kita mohon petunjuk dan penyelesaiannya.
Acap Zahari's photo.


Friday 7 March 2014

REZEKI PAGI JUMAAT, ALHAMDULLILLAH!

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh Google

Alhamdullillah! Alhamdullillah! Alhamdullillah!
Rezeki pagi Jumaat. Rezeki Allah hantar bila kita berbudi dengan tanah (errr...walaupun tanah tu kat dalam pasu jer..hehehe..tanah lah juga kan!)

Pagi-pagi tadi bila saya ziarah kebun kecil sekangkang kera kat depan rumah saya, gembira betul rasanya bila dapat menjamu mata dengan bunga-bunga mawar saya yang sedang mekar berkembangan. Subhanallah! Cantik sungguh 'hadiah' Allah hantar untuk menggembirakan saya pagi-pagi lagi.

Jadi, saya terus gunakan kamera di telefon bimbit saya dan terus...klik! klik! klik! ambil gambar bunga-bunga tu semua. Oleh kerana gembira sangat, saya pun kongsikan gambar-gambar tu dengan kawan-kawan saya dalam satu grup WhatsApp...dengan doa semoga sesiapa yang melihat gambar-gambar bunga yang sedang cantik mekar tu akan berasa gembira juga seperti saya.

Bunga mawar kuning saya...nampak macam putih kan? Kuning yang cantik sebenarnya.
Bunga mawar merah saya. Yang satu tu ni baru mula nak kembang tadi, yang belakang tu dah terlebih kembang dah tu.
Bunga mawar merah jambu saya.
Bunga Japanese Rose saya warna merah jambu berbelang putih.
Bunga Japanese Rose saya warna merah jambu pekat.

Tak lama selepas saya kongsi gambar-gambar bunga-bunga saya ini dalam grup WhatsApp tu, tiba-tiba ramai pula yang bertanya cara untuk menanam dan menjaganya, dan ramai pula yang berminat nak beli benihnya! Allahuakhbar! Rezeki! Rezeki!

Baru saja saya menerima nasihat dari Cikgu Monalita supaya menjadikan blog saya ini satu cara untuk mempromosikan hobi saya yang suka bercucuk tanam kecil-kecilan dari kebun kecil sekangkang kera saya yang terletak di dalam rumah teres di bandar Kuala Lumpur ni, dan hari ni, Allah hantar rezeki melaluinya.

Alhamdullillah!
Jazakumullahu khairan Cikgu Monalita atas dorongan dan kata-kata semangat Cikgu tu. Nanti jangan lupa datang rumah ambil sebakul pokok berdaun hijau yang canti yang dah lama saya berhajat nak hadiah kat Cikgu ya?

Thursday 6 March 2014

DILEMA.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Dilema harian seorang surirumahtangga setiap kali masuk dapur dan buka pintu peti sejuk : Apa nak masak hari ni ya?

Menu Cadangan 1 :
Tomyam Daging 
Ayam goreng berempah.

Menu Cadangan 2 :
Ikan cencaru goreng tak buang kulit cecah kicap perah limau kasturi + hiris bawang and cili api.
Sayur campur
Sambal tempe goreng + kentang.


Tolong undi boleh? Hmmm...kalau tak percaya tengoklah nanti, ada saja yang syor menu resipi lain selain dari yang saya dah cadangkan kat atas tu!

Wednesday 5 March 2014

SEKARANG BARU KAK LONG FAHAM...

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Bila dah masuk usia wargaemas ni, entah mengapa, saya selalu terkenangkan almarhumah dan almarhum mak dan ayah saya. Ada masa-masanya, mungkin sebab terlalu merindui mereka, saya akan memandu ke kawasan perumahan tempat tinggal kami sekeluarga di Bandar Tun Razak, Cheras dan menyusuri lorong dimana terletaknya rumah lama kami dahulu...rumah yang telah ayah saya jual sebaik saja beliau pencen dan berpindah balik ke kampung.
Kalaulah masa boleh diundurkan ke belakang semula dan saya boleh kembali kepada waktu semasa saya masih remaja...dan semasa mak dan ayah saya masih ada, banyak perkara yang ingin saya ubah dan betulkan. Yang paling saya sesalkan ialah sikap degil saya yang sering menimbulkan kemarahan  mak dan ayah saya. Entah berapa banyak airmata mak dan ayah saya telah tumpah kerana sedih dengan kerenah saya. Astaghfirullahalaazim.
Tapi, masa yang lepas, walau pun sedetik, tidak mungkin akan kembali lagi. Biar pun sebanyak mana rasa sesal berbuku dalam hati, biar sepekat mana pun  airmata darah yang mengalir keluar membasahi pipi...apa yang telah berlaku, tak akan dapat diubah dan dibetulkan lagi. Yang tinggal, hanyalah...kenangan....
Dan sekarang, apabila anak-anak saya menunjukkan 'kedegilan' mereka kepada saya, dan bila airmata saya menitis kerana sedih dengan kedegilan mereka itu, makin bertambah kerinduan saya pada almarhumah dan almarhum mak dan ayah saya. Begini rupanya perasaan sedih mereka suatu ketika dulu apabila saya menunjukkan kedegilan saya kepada mereka. Astaghfirullahalaazim.

Maaakkk...Ayaaahhh...
Ampunkanlah Kak Long...
Banyak dosa Kak Long kat Mak dan Ayah...
Walaupun Mak dan Ayah dah sebut berkali-kali yang Mak dan Ayah dah ampunkan semua dosa Kak Long...tapi Kak Long tetap rasa sangat sangat berdosa kat Mak dan Ayah...
Dulu...
Kak Long tak faham...
Tapi sekarang...
Bila anak-anak pula melakukan perkara yang sama kat Kak Long...
Bila hati dan perasaan Kak Long terluka dengan sikap mereka pada Kak Long...
Baru Kak Long faham...faham sangat-sangat...
Betapa selama ini Kak Long telah banyak melukan hati dan perasaan Mak dan Ayah dengan sikap Kak Long...

Ya Allah! Peliharalah Mak dan Ayah ku di 'sana'. KAU ampunkanlah segala dosa mereka, lapangkanlah kubur mereka, terangilah ia dengan cahaya. Jauhkanlah mereka dari seksaan kubur dan seksaan api neraka MU wahai Allah dan tempatkanlah roh mereka bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Amin ya Rabbal alamin.


Tuesday 4 March 2014

KITA MUDAH LUPA.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh Googl
Pagi  ni, mood  saya tak berapa 'betul' sikit...Ehhh!!! Tak berapa 'betul' banyak sebenarnya!!! Tapiii....itu tak bermakna saya kena buat muka 'mega mendung' dan rosakkan hari orang lain sekeliling saya pula, betul tak?

Manusia memang banyak kekurangan dan mudah lupa...saya cerita tentang diri saya sendiri lah tu. Lumrah manusia, bila buat sesuatu untuk orang lain, sekurang-kurangnya kita harap orang tu akan ucap terima kasih sebagai tanda menghargai segala pengorbanan atas kebaikan yang kita buat pada mereka. Itu saja...ucapan terima kasih. Tapi bila kata-kata semudah tu pun kita tak terima....memang kecewa betullah rasanya...seolah-olah semua yg kita buat tu tak dihargai langsung! Astaghfirullahalaazim


Tapi...sebenarnya, bila buat apapun, kita kena betulkan niat kita, buat untuk sukakan Allah, untuk dapat redha Allah, bukannya untuk mengharapkan penghargaan dan pujian dari manusia. Bila niat kita buat sesuatu bukan untuk dapat redha Allah....haaa....nilah akibatnya! Bila tak dapat ucapan terima kasih saja pun, dalam hati dah mula rasa frust menonggeng bagai nak rak! Lepas tu, mulalah datang prasangka buruk dalam hati...kemudian ada pula terselit rasa serik dan tak mahu buat baik lagi kat orang tu...Astaghfirullahalaazim! Lemahnya iman saya ni.


Tengok! Walaupun hambaNYA ini banyak berdosa dan sering melupakanNYA, pagi-pagi tadi bila balik dari hantar anak-anak ke madrasah, saya dapat 'hadiah istimewa' dari Allah.♡♡♡♡♡ 

Kuntuman bunga-bunga ros merah jambu, oren dan merah saya mulai berkembang dan menggembirakan perasaan saya yang sedih, kecewa dan gundah gulana dari semalam.




Subhanallah!
Alhamdullillah!
Allahuakhbar!
♡♡♡♡♡

Wednesday 19 February 2014

LAGU KAMI.


TEKS        : Kasturi Puteh
VIDEO      : YouTube

Pagi semalam, semasa saya mengiringi Abang Aji ke pintu depan rumah sewaktu Abang Aji nak ke pejabat Abang Aji bertanya pada saya," Sayang, ingat lagi tak lagu tu?"

Saya pun terkedu lah sekejap. Sebenarnya, Abang Aji ni bukan jenis 'Mat Bunga-Bunga' tau dan bukan juga tergolong dalam kategori yang romantik (sesiapa yang pernah jumpa dan kenal Abang Aji pasti akan mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan kenyataan saya ni.) Jadi, bila Abang Aji tanya pasal LAGU, pagi-pagi buta pula tu, tentulah saya wajib terkedu kan? Jadi, saya pun tanyalah balik,"lagu apa ni Abang Aji?"

Abang Aji jawab, "ala, lagu yang tu, yang masa kita baru kawin dulu, tak ingat dah?"
Hmmm...lagu? Masa baru kahwin?
Astaghfirullahalaazim! Ya Allah! Baru saya teringat. Semasa kami baru kawin dulu, saya ada tujukan satu lagu kat Abang Aji...alaaa...kami ni kan bercinta hanya selepas berkahwin...auwww!!!!     

Jadi,saya pun bertanyalah semula,"kenapa dengan lagu tu Abang Aji?"
"Sayang dengarlah lagu tu nanti ya. Kali ni Abang Aji tujukan kat Sayang pula." Jawab Abang Aji sambil mengucup dahi saya.

Masyaallah! Cair hati saya dibuatnya! Rasa nak pengsan ada, rasa nak melompat pun ada. Lepas melambaikan tangan kat Abang Aji dan berdoa untuk Abang Aji seperti biasa, saya pun cepat-cepat masuk ke dalam rumah dan cari lagu tu semula kat internet.

Abang Aji!!!! Sayang sayang Abang Aji LILLAHITAALA Insya allah      

Monday 10 February 2014

ILHAM DARI ALLAH.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Dilema biasa seorang surirumahtangga setiap hari : nak masak apa untuk hidangan keluarga hari ni?

Dari pagi tadi, saya asyik memikirkan apakah hidangan yang nak saya sediakan untuk hidangan makan tengahari kami sekeluarga hari ini. Setelah memikirkan apakah bahan-bahan yang ada di dalam petisejuk di rumah saya, akhirnya saya membuat keputusan untuk menyediakan spaghete bolognese saja. Lagipun, pada saya ini adalah antara makanan yang digemari oleh semua ahli keluarga saya, juga merupakan makanan yang berkhasiat dan seimbang...dan yang paling penting sekali, paling senang untuk disediakan.
Sebaik sahaja selesai solat Zohor, saya pun terus 'melompat' ke dapur saya. Dengan pantas saya mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan spaghete bolognese itu : Daging kisar, buah tomato, puri tomato dalam tin, hirisan cendawan dalam tin, bawang besar , bay leafs dan minyak zaitun untuk menumis.



Saya mengerling ke arah jam dinding yang terletak di dapur saya : pukul 2 petang. Saya ada setengah jam untuk menyiapkan spaghete bolognese saya sebelum pergi mengambil Yaya dan juga anak tiri saya Ina di madrasah. Maka seperti lipas kudunglah saya memasak. Mula-mula sekali saya jerang air setengah periuk. Sebaik sahaja air di dalam periuk tu mendidih, saya akan letakkan sebungkus spaghete ke dalamnya dan memasaknya hingga lembut.
Sementara menunggu air di dalam periuk itu mendidih, saya pun dengan pantas menyediakan bahan-bahan untuk memasak sos bolognese saya itu. Mula-mula saya letakkan sedikit minyak zaitun ke dalam sebuah periuk lain. Bila minyak zaitun dah panas, saya pun masukkan bawang besar yang telah saya cincang ke dalamnya. Apabila bawang cincang tersebut telah bertukar kekuningan, saya masukkan pula buah tomato yang telah saya potong menjadi kiub kecil ke dalam periuk tersebut. Selepas mengacaunya sebentar, saya pun masukkan puri tomato kedalamnya. Saya kacau sedikit lagi. Kemudian saya masukkan air ke dalam tumisan tadi, diikuti dengan daging cincang, bay leafs dan cendawan hiris. Saya kacau sedikit lagi. Kemudian saya tutup periuk tersebut, perlahankan api dan biarkan ia mereneh seketika.
Saya menjenguk ke dalam periuk yang berisi air untuk mencelur spaghete tadi. Air di dalanya sudahpun mendidih. Saya memandang sekeliling...eh? kat mana pula saya letakkan spaghete saya? Astaghfirullahalaazim! Baru saya teringat, saya belum lagi keluarkan bungkusan spaghete tu dari stor tempat saya menyimpan bahan-bahan makanan kering saya.

Maka saya pun bergegas menuju ke ruang dapur kering saya dan membuka stor tempat menyimpan bahan-bahan makanan kering saya. Astaghfirullahalaazim! Puas saya membuka kedua-dua pintu almari stor, dan menyelongkar, tapi....saya tetap tak jumpa bungkusan spaghete yang saya cari dan sangat perlukan tu!!! 
Saya melihat ke arah jam dinding sekali lagi. 2.30 petang. Astaghfirullahalaazim! Ya Allah! Tolong saya ya Allah! Apa saya nak buat ni? Sosnya dah siap, tapi nak makan dengan apa? Jenuh saya menyelongkar stor makanan tu berkali-kali dan memang dah pasti bungkusan spaghete yang saya cari tak ada kat situ! Ya Allah! Tolong saya ya Allah!

Tiba-tiba, semasa sedang sibuk menyelongkar tu, saya terpandang beberapa bungkusan bihun di dalam stor tersebut. Ting! Allah beri saya ilham untuk menggantikan saja spaghete dengan bihun! Alhamdullillah!

Saya terus mencapai sebungkus bihun dan membasuhnya dahulu dan terus memasukkannya ke dalam periuk yang berisi air yang sedang menggelegak tu. Saya mengacaunya sebentar dan kemudian dengan segera membawa periuk tersebut ke singki dan menuang bihun yang telah dicelur tu kedalam mangkuk penapis. Alhamdullillah! Siap! 
Alhamdullillah, saya juga masih sempat mengambil anak-anak saya balik dari madrasah, walupun agak sedikit terlambat dari biasa.

"Mak masak apa hari ni? Kami lapar ni mak." Tanya Yaya.
"Hari ni mak masak resepi lain dari yang lain. Jangan tanya apa-apa lagi. Bila sampai rumah, rasa sendiri OK?" Jawab saya.

Dan sebaik sahaja masuk ke dapur, mereka terkejut bila melihat bihun yang saya hidangkan dengan sos bolognese saya.

"Ni bukan spaghete bolognese ni mak! Ni bihun bolognese ni!" teriak anak-anak saya. Dan sebaik sahaja menyuapkan suapan pertama ke dalam  mulut, kedua-duanya menunjukkan tanda bagus kepada saya. Alhamdullillah!
'Allah Maha Berkuasa dan boleh melakukan apa saja tanpa bantuan makhlukNYA.
Sedangkan makhlukNYA kalau nak buat apa-apa pun, tidak ada daya dan upaya tanpa bantuan dan keizinan dari Allah.'



Thursday 6 February 2014

SALAH SIAPA?

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Apakah perasaan anda semua selepas melihat video yang saya jadikan pembuka entri saya kali ini? Terperanjat? Sedih? Risau? Atau tak ada rasa apa-apa langsung? Astaghfirullahalaazim.

Video ini telah ditunjukkan kepada saya oleh Abang Aji malam semalam. Turut menonton bersama saya ialah kedua orang anak saya Amin dan Yaya. Selepas 2 minit menontonnya, airmata kami menderu membasahi pipi kami anak beranak. Rasa khuatir, sedih dan takut menyelubungi diri kami. Mengapa? Mereka yang kami lihat di dalam video ini langsung tidak pernah kami temui dan tidak pula kami kenali. Jadi mengapa kami perlu berasa begitu khuatir, berasa sedih dan juga berasa takut?

Sebab mereka adalah saudara seagama kami, dan juga saudara seagama buat semua muslimin dan muslimat di mukabumi ini. Dan sekarang, mereka hanya Islam pada nama sahaja. Mereka tidak mendirikan solat, mereka tidak tahu pun untuk membaca Fatihah dan lebih menyedihkan, mereka tidak kenal siapa Rasulullah. Astaghfirullahalaazim.
Jadi mengapa kita semua, saudara seagama dengan mereka ini pula yang perlu rasa risau, khuatir dan takut dengan kekurangan mereka itu?
Kerana sebenarnya yang bersalah dalam hal ini adalah kita semua! Ya! Kita semua yang bersalah!
Kenapa pula kita yang bersalah?
Baiklah. Cubalah anda semua baca dan fikir baik-baik apa yang saya akan tuliskan ini.
Junjungan kita, Nabi Muhammad yang kita kasihi tidak pernah pun mengenali kita semua. Baginda tidak pernah pun menemui kita. Tetapi, mengapa Baginda risaukan nasib kita semua di akhirat nanti? Mengapa, dalam keadaan sentiasa dihina, dicaci, diugut dan dicederakan pun sewaktu Baginda membuat kerja dakwah, Baginda tidak sedikitpun berputus asa malah tetap meneruskan kerja dakwah Baginda. Sedangkan Baginda telah Allah janjikan tempatnya di dalam syurga Firdaus yang paling tinggi kedudukannya? Baginda tidak pernah menemui kita apatah lagi mengenali kita. Jadi, mengapa Baginda bersusahpayah untuk kita semua? Mengapa sehingga hampir akhir hayat Baginda, yang Baginda risaukan adalah kita semua? "Ummati, Ummati" inilah antara kata-kata terakhir Baginda sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
 
Baginda terus berdakwah dengan harapan agar semua manusia beriman kepada Allah. Baginda mahu membawa semua manusia untuk masuk syurga bersama Baginda di akhirat nanti. Begitulah sayangnya Baginda kepada kita semua umatnya. Begitulah risaunya Baginda kepada semua manusia. Umat yang kebanyakkannya tidak pernah Baginda temui dan tidak juga Baginda kenali.
Sekiranya Baginda berputus asa kerana sentiasa dihina, dicaci dan dicederakan semasa berdakwah dan Baginda berhenti dari terus berdakwah kepada umatnya dari dulu lagi, maka kita semua, umat Baginda yang masih hidup hari ini, sudah pasti dan pasti akan hidup dalam keadaan tidak mengenali Allah dan kita tidak akan melaksanakan segala perintah Allah tapi sebaliknya kita tidak akan meninggalkan segala larangan Allah. Sepertimana yang terjadi kepada saudara-saudara kita di dalam video di atas. Astaghfirullahalaazim.

Sekiranya Baginda berhenti berdakwah kerana telah berasa puashati sebaik sahaja Baginda mengetahui bahawa Allah telah menjamin tempat di syurga buat diri Baginda sendiri, sudah pasti dan pasti kita semua akan menjadi penghuni neraka. Nauzubillah min zalik. 
Kerana itulah, wahai saudara-saudaraku, kita perlu sambung kerja dakwah Nabi ini. Kita kena pergi ke seluruh pelusuk dunia dan buat kerja dakwah ini. Kita kena ada kerisauan mengenai saudara-saudara kita yang lain sepertimana kerisauan yang ada dalam diri Nabi kita. Inilah kerja kita yang sebenar di dunia ini. Untuk sambung kerja dakwah Nabi kita.

Pasti ada yang berkata pula, " saya sendiri pun jahil, banyak hal-hal agama yang saya tak faham dan tak tahu. Macamana pula nak pergi dakwah orang lain? Buat malu saja nanti."
Astaghfirullahalaazim.
Nabi sendiri seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Apabila Baginda mula menerima wahyu dari Allah melalui perantaraan Jibrail, maka Baginda pun mula berdakwah mengajak manusia waktu itu untuk memeluk Islam. Dan kemudian para sahabat Baginda juga menuruti jejak Baginda untuk berdakwah. Dan kerja dakwah berterusan sehinggalah hari ini. Masyaallah. 
Sekalipun usaha dakwah Nabi masih berjalan dan diteruskan, ianya masih tidak mencukupi. Kerana masih ramai lagi saudara-saudara kita yang tertinggal dan belum ditemui untuk didakwahkan. Ramai lagi yang Islam hanya kerana dilahirkan di dalam keluarga Islam. Ramai lagi yang Islam hanya pada nama sedangkan cara kehidupan mereka sangat bertentangan dengan syariat Islam.

Salah siapa semua ini wahai saudara-saudaraku? Salah siapa?
Ya Allah! Semua ini salah kami ya Allah! Kami pentingkan diri kami dan kami terlalu leka dengan tipudaya dunia sehingga kami lupa untuk buat kerja dakwah ya Allah. Kami lupakan saudara-saudara kami diseluruh pelusuk dunia ya Allah. Hingga mereka tidak solat,Tidak tahu baca Fatihah dan tidak kenal Nabi SAW.Apakah yang kami akan jawab di akhirat kelak bila saudara-saudara kami ini datang menuntut hak mereka dari kami. Astaghfirullahalaazim.