TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh & Google
Pada 1 Februari 2014 yang lepas, saya telah mengiringi Abang Aji ke Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2014. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Ini merupakan kali kedua kami suami isteri menghadiri majlis di Istana Negara. Kali pertama adalah semasa menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang bersempena Hari Keputeraan Agong pada tahun lepas. Jadi tidaklah kami rasa kekok dengan protokol yang perlu dipatuhi sepanjang berada di dalam majlis tersebut. Alhamdullillah. Ini antara beberapa gambar di dalam balairong seri yang sempat saya rakamkan dengan telefon bimbit saya untuk saya kongsi di dalam blog saya ini.
Gambar singgahsana dalam balairong seri sebelum majlis bermula.
Gambar jurugambar dan pegawai istana selepas selesai majlis.
Sebenarnya tujuan utama saya menulis entri saya kali ini, bukanlah untuk bercerita mengenai kunjungan saya ke Istana Negara ataupun mengenai majlis yang saya hadiri itu. Tetapi, apa yang saya ingin kongsi kali ini ialah kisah salah seorang penerima darjah kebesaran yang telah saya temui di majlis tersebut. Ianya sangat menyentuh hati saya dan setelah mendapat izin dari beliau, maka saya kongsikan kisah ini di dalam blog saya. Di bawah ini adalah gambar beliau.
Sayang sekali saya tidak berkesempatan untuk mengambil gambar beliau semasa sedang bercakap-cakap dengan beliau secara berdepan. Terlalu teruja hingga terlupa. Nama beliau Datuk Magic Lee.
Boleh dikatakan 99% dari penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang yang hadir dalam majlis pada hari itu, datang dengan diiringi oleh isteri atau suami masing-masing. Dan selepas selesai istiadat pengurniaan, diadakan pula sesi bergambar bersama pasangan yang mengiringi, dengan berlatarbelakangkan singgahsana.
Sementara menunggu giliran untuk bergambar bersama Abang Aji, saya duduk sambil memerhati gelagat mereka yang berada di dalam balairong seri itu, terutamanya mereka yang sibuk bersiap sedia untuk bergambar dengan pasangan masing-masing. Tentulah kebanyakan dari mereka kelihatan sungguh gembira, terutamanya para isteri kerana mendapat gelaran Datin Seri ataupun Datin apabila suami masing-masing menerima Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri atau Datuk.
Kemudian, bila tiba giliran Datuk Magic Lee (DML) untuk mengambil gambar pula, saya perhatikan pasangan yang berdiri disebelah beliau ialah seorang wanita yang sudah agak berumur. Kalau ikut pandangan mata kasar, wanita tersebut jauh beza umurnya dengan DML sebab mengikut jangkaan saya umur DML pasti dalam lingkungan lewat 30an ataupun diawal 40an sahaja. Dan wanita yang menjadi pasangan beliau, pada jangkaan saya pasti berumur lebih daripada 60 tahun. Siapakah wanita tersebut? Entah mengapa rasa ingin tahu saya semakin menebal.
Sebaik sahaja selesai bergambar dengan pasangannya itu, DML pun membawanya pasangannya itu duduk betul-betul disebelah tempat duduk saya. Bak kata pepatah,"pucuk dicita, ulam yang datang." Memang saya berhajat benar untuk berkenalan dengan beliau dan pasangannya. Maka saya dengan rasa teruja terus memulakan perbualan.
(Sebenarnya perbualan kami di dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun saya alihbahasakan perbualan tersebut di sini ke dalam bahasa Malaysia.)
Saya : Tahniah Datuk atas anugerah yang diterima.
DML : Terima kasih atas ucapan tersebut.
Saya : Dan kalau Datuk tidak keberatan, boleh saya tahu siapa wanita yang bertuah menjadi pengiring Datuk ke majlis ini.
DML : Ooo..ini ibu saya. Ibu sayalah pengiring saya hari ini.
Saya: Wahhh...(sambil memandang kearah ibu beliau). Tahniah Puan atas kejayaan anak Puan menerima anugerah ini.
Ibu DML memandang saya sambil tersenyum dengan penuh rasa bangga.
DML : Tunggu siapa di sini?
Saya : (Sambil menunjuk ke arah Abang Aji) suami saya.
DML : Tahniah juga untuk suami anda dan anda sendiri.
Saya : Terima kasih Datuk. Errr...Datuk, boleh saya tanya satu soalan lagi. Tapi kalau Datuk keberatan untuk menjawapnya, tak mengapalah.
DML : Soalan apa tu?
Saya : Datuk, kebanyakan penerima anugerah membawa isteri masing-masing sebagai pengiring. Tetapi mengapa Datuk bawa ibu Datuk? Datuk ni masih bujang ke?
DML : (Tersenyum sambil memandang ke arah ibunya). Saya sudah berkahwin dan mempunyai anak. Ibu saya berumur 70 tahun. Ibu saya yang melahirkan dan membesarkan saya. Jadi, ibu sayalah wanita yang paling layak untuk berada disini bersama-sama saya dihari yang bersejarah untuk saya ini. Isteri saya masih muda. Mungkin suatu hari nanti, isteri saya akan berpeluang untuk hadir bersama saya untuk anugerah yang lain pula.
Mendengarkan jawapan Datuk Magic Lee itu, tanpa saya sedari mata saya bergenang dengan airmata.
Dan sempat juga saya berdoa semoga Allah beri taufiq dan hidayat kepada seorang anak yang berhati mulia seperti Datuk Magic Lee ini, juga kepada ibu beliau dan juga ahli keluarga beliau yang lain.
No comments:
Post a Comment