Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Wednesday 19 February 2014

LAGU KAMI.


TEKS        : Kasturi Puteh
VIDEO      : YouTube

Pagi semalam, semasa saya mengiringi Abang Aji ke pintu depan rumah sewaktu Abang Aji nak ke pejabat Abang Aji bertanya pada saya," Sayang, ingat lagi tak lagu tu?"

Saya pun terkedu lah sekejap. Sebenarnya, Abang Aji ni bukan jenis 'Mat Bunga-Bunga' tau dan bukan juga tergolong dalam kategori yang romantik (sesiapa yang pernah jumpa dan kenal Abang Aji pasti akan mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan kenyataan saya ni.) Jadi, bila Abang Aji tanya pasal LAGU, pagi-pagi buta pula tu, tentulah saya wajib terkedu kan? Jadi, saya pun tanyalah balik,"lagu apa ni Abang Aji?"

Abang Aji jawab, "ala, lagu yang tu, yang masa kita baru kawin dulu, tak ingat dah?"
Hmmm...lagu? Masa baru kahwin?
Astaghfirullahalaazim! Ya Allah! Baru saya teringat. Semasa kami baru kawin dulu, saya ada tujukan satu lagu kat Abang Aji...alaaa...kami ni kan bercinta hanya selepas berkahwin...auwww!!!!     

Jadi,saya pun bertanyalah semula,"kenapa dengan lagu tu Abang Aji?"
"Sayang dengarlah lagu tu nanti ya. Kali ni Abang Aji tujukan kat Sayang pula." Jawab Abang Aji sambil mengucup dahi saya.

Masyaallah! Cair hati saya dibuatnya! Rasa nak pengsan ada, rasa nak melompat pun ada. Lepas melambaikan tangan kat Abang Aji dan berdoa untuk Abang Aji seperti biasa, saya pun cepat-cepat masuk ke dalam rumah dan cari lagu tu semula kat internet.

Abang Aji!!!! Sayang sayang Abang Aji LILLAHITAALA Insya allah      

Monday 10 February 2014

ILHAM DARI ALLAH.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Dilema biasa seorang surirumahtangga setiap hari : nak masak apa untuk hidangan keluarga hari ni?

Dari pagi tadi, saya asyik memikirkan apakah hidangan yang nak saya sediakan untuk hidangan makan tengahari kami sekeluarga hari ini. Setelah memikirkan apakah bahan-bahan yang ada di dalam petisejuk di rumah saya, akhirnya saya membuat keputusan untuk menyediakan spaghete bolognese saja. Lagipun, pada saya ini adalah antara makanan yang digemari oleh semua ahli keluarga saya, juga merupakan makanan yang berkhasiat dan seimbang...dan yang paling penting sekali, paling senang untuk disediakan.
Sebaik sahaja selesai solat Zohor, saya pun terus 'melompat' ke dapur saya. Dengan pantas saya mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan spaghete bolognese itu : Daging kisar, buah tomato, puri tomato dalam tin, hirisan cendawan dalam tin, bawang besar , bay leafs dan minyak zaitun untuk menumis.



Saya mengerling ke arah jam dinding yang terletak di dapur saya : pukul 2 petang. Saya ada setengah jam untuk menyiapkan spaghete bolognese saya sebelum pergi mengambil Yaya dan juga anak tiri saya Ina di madrasah. Maka seperti lipas kudunglah saya memasak. Mula-mula sekali saya jerang air setengah periuk. Sebaik sahaja air di dalam periuk tu mendidih, saya akan letakkan sebungkus spaghete ke dalamnya dan memasaknya hingga lembut.
Sementara menunggu air di dalam periuk itu mendidih, saya pun dengan pantas menyediakan bahan-bahan untuk memasak sos bolognese saya itu. Mula-mula saya letakkan sedikit minyak zaitun ke dalam sebuah periuk lain. Bila minyak zaitun dah panas, saya pun masukkan bawang besar yang telah saya cincang ke dalamnya. Apabila bawang cincang tersebut telah bertukar kekuningan, saya masukkan pula buah tomato yang telah saya potong menjadi kiub kecil ke dalam periuk tersebut. Selepas mengacaunya sebentar, saya pun masukkan puri tomato kedalamnya. Saya kacau sedikit lagi. Kemudian saya masukkan air ke dalam tumisan tadi, diikuti dengan daging cincang, bay leafs dan cendawan hiris. Saya kacau sedikit lagi. Kemudian saya tutup periuk tersebut, perlahankan api dan biarkan ia mereneh seketika.
Saya menjenguk ke dalam periuk yang berisi air untuk mencelur spaghete tadi. Air di dalanya sudahpun mendidih. Saya memandang sekeliling...eh? kat mana pula saya letakkan spaghete saya? Astaghfirullahalaazim! Baru saya teringat, saya belum lagi keluarkan bungkusan spaghete tu dari stor tempat saya menyimpan bahan-bahan makanan kering saya.

Maka saya pun bergegas menuju ke ruang dapur kering saya dan membuka stor tempat menyimpan bahan-bahan makanan kering saya. Astaghfirullahalaazim! Puas saya membuka kedua-dua pintu almari stor, dan menyelongkar, tapi....saya tetap tak jumpa bungkusan spaghete yang saya cari dan sangat perlukan tu!!! 
Saya melihat ke arah jam dinding sekali lagi. 2.30 petang. Astaghfirullahalaazim! Ya Allah! Tolong saya ya Allah! Apa saya nak buat ni? Sosnya dah siap, tapi nak makan dengan apa? Jenuh saya menyelongkar stor makanan tu berkali-kali dan memang dah pasti bungkusan spaghete yang saya cari tak ada kat situ! Ya Allah! Tolong saya ya Allah!

Tiba-tiba, semasa sedang sibuk menyelongkar tu, saya terpandang beberapa bungkusan bihun di dalam stor tersebut. Ting! Allah beri saya ilham untuk menggantikan saja spaghete dengan bihun! Alhamdullillah!

Saya terus mencapai sebungkus bihun dan membasuhnya dahulu dan terus memasukkannya ke dalam periuk yang berisi air yang sedang menggelegak tu. Saya mengacaunya sebentar dan kemudian dengan segera membawa periuk tersebut ke singki dan menuang bihun yang telah dicelur tu kedalam mangkuk penapis. Alhamdullillah! Siap! 
Alhamdullillah, saya juga masih sempat mengambil anak-anak saya balik dari madrasah, walupun agak sedikit terlambat dari biasa.

"Mak masak apa hari ni? Kami lapar ni mak." Tanya Yaya.
"Hari ni mak masak resepi lain dari yang lain. Jangan tanya apa-apa lagi. Bila sampai rumah, rasa sendiri OK?" Jawab saya.

Dan sebaik sahaja masuk ke dapur, mereka terkejut bila melihat bihun yang saya hidangkan dengan sos bolognese saya.

"Ni bukan spaghete bolognese ni mak! Ni bihun bolognese ni!" teriak anak-anak saya. Dan sebaik sahaja menyuapkan suapan pertama ke dalam  mulut, kedua-duanya menunjukkan tanda bagus kepada saya. Alhamdullillah!
'Allah Maha Berkuasa dan boleh melakukan apa saja tanpa bantuan makhlukNYA.
Sedangkan makhlukNYA kalau nak buat apa-apa pun, tidak ada daya dan upaya tanpa bantuan dan keizinan dari Allah.'



Thursday 6 February 2014

SALAH SIAPA?

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Apakah perasaan anda semua selepas melihat video yang saya jadikan pembuka entri saya kali ini? Terperanjat? Sedih? Risau? Atau tak ada rasa apa-apa langsung? Astaghfirullahalaazim.

Video ini telah ditunjukkan kepada saya oleh Abang Aji malam semalam. Turut menonton bersama saya ialah kedua orang anak saya Amin dan Yaya. Selepas 2 minit menontonnya, airmata kami menderu membasahi pipi kami anak beranak. Rasa khuatir, sedih dan takut menyelubungi diri kami. Mengapa? Mereka yang kami lihat di dalam video ini langsung tidak pernah kami temui dan tidak pula kami kenali. Jadi mengapa kami perlu berasa begitu khuatir, berasa sedih dan juga berasa takut?

Sebab mereka adalah saudara seagama kami, dan juga saudara seagama buat semua muslimin dan muslimat di mukabumi ini. Dan sekarang, mereka hanya Islam pada nama sahaja. Mereka tidak mendirikan solat, mereka tidak tahu pun untuk membaca Fatihah dan lebih menyedihkan, mereka tidak kenal siapa Rasulullah. Astaghfirullahalaazim.
Jadi mengapa kita semua, saudara seagama dengan mereka ini pula yang perlu rasa risau, khuatir dan takut dengan kekurangan mereka itu?
Kerana sebenarnya yang bersalah dalam hal ini adalah kita semua! Ya! Kita semua yang bersalah!
Kenapa pula kita yang bersalah?
Baiklah. Cubalah anda semua baca dan fikir baik-baik apa yang saya akan tuliskan ini.
Junjungan kita, Nabi Muhammad yang kita kasihi tidak pernah pun mengenali kita semua. Baginda tidak pernah pun menemui kita. Tetapi, mengapa Baginda risaukan nasib kita semua di akhirat nanti? Mengapa, dalam keadaan sentiasa dihina, dicaci, diugut dan dicederakan pun sewaktu Baginda membuat kerja dakwah, Baginda tidak sedikitpun berputus asa malah tetap meneruskan kerja dakwah Baginda. Sedangkan Baginda telah Allah janjikan tempatnya di dalam syurga Firdaus yang paling tinggi kedudukannya? Baginda tidak pernah menemui kita apatah lagi mengenali kita. Jadi, mengapa Baginda bersusahpayah untuk kita semua? Mengapa sehingga hampir akhir hayat Baginda, yang Baginda risaukan adalah kita semua? "Ummati, Ummati" inilah antara kata-kata terakhir Baginda sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
 
Baginda terus berdakwah dengan harapan agar semua manusia beriman kepada Allah. Baginda mahu membawa semua manusia untuk masuk syurga bersama Baginda di akhirat nanti. Begitulah sayangnya Baginda kepada kita semua umatnya. Begitulah risaunya Baginda kepada semua manusia. Umat yang kebanyakkannya tidak pernah Baginda temui dan tidak juga Baginda kenali.
Sekiranya Baginda berputus asa kerana sentiasa dihina, dicaci dan dicederakan semasa berdakwah dan Baginda berhenti dari terus berdakwah kepada umatnya dari dulu lagi, maka kita semua, umat Baginda yang masih hidup hari ini, sudah pasti dan pasti akan hidup dalam keadaan tidak mengenali Allah dan kita tidak akan melaksanakan segala perintah Allah tapi sebaliknya kita tidak akan meninggalkan segala larangan Allah. Sepertimana yang terjadi kepada saudara-saudara kita di dalam video di atas. Astaghfirullahalaazim.

Sekiranya Baginda berhenti berdakwah kerana telah berasa puashati sebaik sahaja Baginda mengetahui bahawa Allah telah menjamin tempat di syurga buat diri Baginda sendiri, sudah pasti dan pasti kita semua akan menjadi penghuni neraka. Nauzubillah min zalik. 
Kerana itulah, wahai saudara-saudaraku, kita perlu sambung kerja dakwah Nabi ini. Kita kena pergi ke seluruh pelusuk dunia dan buat kerja dakwah ini. Kita kena ada kerisauan mengenai saudara-saudara kita yang lain sepertimana kerisauan yang ada dalam diri Nabi kita. Inilah kerja kita yang sebenar di dunia ini. Untuk sambung kerja dakwah Nabi kita.

Pasti ada yang berkata pula, " saya sendiri pun jahil, banyak hal-hal agama yang saya tak faham dan tak tahu. Macamana pula nak pergi dakwah orang lain? Buat malu saja nanti."
Astaghfirullahalaazim.
Nabi sendiri seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Apabila Baginda mula menerima wahyu dari Allah melalui perantaraan Jibrail, maka Baginda pun mula berdakwah mengajak manusia waktu itu untuk memeluk Islam. Dan kemudian para sahabat Baginda juga menuruti jejak Baginda untuk berdakwah. Dan kerja dakwah berterusan sehinggalah hari ini. Masyaallah. 
Sekalipun usaha dakwah Nabi masih berjalan dan diteruskan, ianya masih tidak mencukupi. Kerana masih ramai lagi saudara-saudara kita yang tertinggal dan belum ditemui untuk didakwahkan. Ramai lagi yang Islam hanya kerana dilahirkan di dalam keluarga Islam. Ramai lagi yang Islam hanya pada nama sedangkan cara kehidupan mereka sangat bertentangan dengan syariat Islam.

Salah siapa semua ini wahai saudara-saudaraku? Salah siapa?
Ya Allah! Semua ini salah kami ya Allah! Kami pentingkan diri kami dan kami terlalu leka dengan tipudaya dunia sehingga kami lupa untuk buat kerja dakwah ya Allah. Kami lupakan saudara-saudara kami diseluruh pelusuk dunia ya Allah. Hingga mereka tidak solat,Tidak tahu baca Fatihah dan tidak kenal Nabi SAW.Apakah yang kami akan jawab di akhirat kelak bila saudara-saudara kami ini datang menuntut hak mereka dari kami. Astaghfirullahalaazim. 

Tuesday 4 February 2014

WANITA YANG PALING LAYAK.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh Googl
Pada 1 Februari 2014 yang lepas, saya telah mengiringi Abang Aji ke Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2014. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Ini merupakan kali kedua kami suami isteri menghadiri majlis di Istana Negara. Kali pertama adalah semasa menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang bersempena Hari Keputeraan Agong pada tahun lepas. Jadi tidaklah kami  rasa kekok dengan protokol yang perlu dipatuhi sepanjang berada di dalam majlis tersebut. Alhamdullillah. Ini antara beberapa gambar di dalam balairong seri yang sempat saya rakamkan dengan telefon bimbit saya untuk saya kongsi di dalam blog saya ini.
Gambar singgahsana dalam balairong seri sebelum majlis bermula.
                                                                                                                                                                                                                  
Gambar jurugambar dan pegawai istana selepas selesai majlis.

Sebenarnya tujuan utama saya menulis entri saya kali ini, bukanlah untuk bercerita mengenai kunjungan saya ke Istana Negara ataupun mengenai majlis yang saya hadiri itu. Tetapi, apa yang saya ingin kongsi kali ini ialah kisah salah seorang penerima darjah kebesaran yang telah saya temui di majlis tersebut. Ianya sangat menyentuh hati saya dan setelah mendapat izin dari beliau, maka saya kongsikan kisah ini di dalam blog saya. Di bawah ini adalah gambar beliau.
Sayang sekali saya tidak berkesempatan untuk mengambil gambar beliau semasa sedang bercakap-cakap dengan beliau secara berdepan. Terlalu teruja hingga terlupa. Nama beliau Datuk Magic Lee. 

Boleh dikatakan 99% dari penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang yang hadir dalam majlis pada hari itu, datang dengan diiringi oleh isteri atau suami masing-masing. Dan selepas selesai istiadat pengurniaan, diadakan pula sesi bergambar bersama pasangan yang mengiringi, dengan berlatarbelakangkan singgahsana.

Sementara menunggu giliran untuk bergambar bersama Abang Aji, saya duduk sambil memerhati gelagat mereka yang berada di dalam balairong seri itu, terutamanya mereka yang sibuk bersiap sedia untuk bergambar dengan pasangan masing-masing. Tentulah kebanyakan dari mereka kelihatan sungguh gembira, terutamanya para isteri kerana mendapat gelaran Datin Seri ataupun Datin apabila suami masing-masing menerima Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri atau Datuk.

Kemudian, bila tiba giliran Datuk Magic Lee (DML) untuk mengambil gambar pula, saya perhatikan pasangan yang berdiri disebelah beliau ialah seorang wanita yang sudah agak berumur. Kalau ikut pandangan mata kasar, wanita tersebut jauh beza umurnya dengan DML sebab mengikut jangkaan saya umur DML pasti dalam lingkungan lewat 30an ataupun diawal 40an sahaja. Dan wanita yang menjadi pasangan beliau, pada jangkaan saya pasti berumur lebih daripada 60 tahun. Siapakah wanita tersebut? Entah mengapa rasa ingin tahu saya semakin menebal.
Sebaik sahaja selesai bergambar dengan pasangannya itu, DML pun membawanya pasangannya itu duduk betul-betul disebelah tempat duduk saya. Bak kata pepatah,"pucuk dicita, ulam yang datang." Memang saya berhajat benar untuk berkenalan dengan beliau dan pasangannya. Maka saya dengan rasa teruja terus memulakan perbualan.
(Sebenarnya perbualan kami di dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun saya alihbahasakan perbualan tersebut di sini ke dalam bahasa Malaysia.)

Saya : Tahniah Datuk atas anugerah yang diterima.
DML : Terima kasih atas ucapan tersebut.
Saya : Dan kalau Datuk tidak keberatan, boleh saya tahu siapa wanita yang bertuah menjadi pengiring Datuk ke majlis ini.
DML : Ooo..ini ibu saya. Ibu sayalah pengiring saya hari ini.
Saya: Wahhh...(sambil memandang kearah ibu beliau). Tahniah Puan atas kejayaan anak Puan menerima anugerah ini.
Ibu DML memandang saya sambil tersenyum dengan penuh rasa bangga.
DML : Tunggu siapa di sini?
Saya : (Sambil menunjuk ke arah Abang Aji) suami saya.
DML : Tahniah juga untuk suami anda dan anda sendiri.
Saya : Terima kasih Datuk. Errr...Datuk, boleh saya tanya satu soalan lagi. Tapi kalau Datuk keberatan untuk menjawapnya, tak mengapalah.
DML : Soalan apa tu?
Saya : Datuk, kebanyakan penerima anugerah  membawa isteri masing-masing sebagai pengiring. Tetapi mengapa Datuk bawa ibu Datuk? Datuk ni masih bujang ke?
DML : (Tersenyum sambil memandang ke arah ibunya). Saya sudah berkahwin dan mempunyai anak. Ibu saya berumur 70 tahun. Ibu saya yang melahirkan dan membesarkan saya. Jadi, ibu sayalah wanita yang paling layak untuk berada disini bersama-sama saya dihari yang bersejarah untuk saya ini. Isteri saya masih muda. Mungkin suatu hari nanti, isteri saya akan berpeluang untuk hadir bersama saya untuk anugerah yang lain pula.

Mendengarkan jawapan Datuk Magic Lee itu, tanpa saya sedari mata saya bergenang dengan airmata.

Dan sempat juga saya berdoa semoga Allah beri taufiq dan hidayat kepada seorang anak yang berhati mulia seperti Datuk Magic Lee ini, juga kepada ibu beliau dan juga ahli keluarga beliau yang lain.