Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Monday 10 February 2014

ILHAM DARI ALLAH.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Dilema biasa seorang surirumahtangga setiap hari : nak masak apa untuk hidangan keluarga hari ni?

Dari pagi tadi, saya asyik memikirkan apakah hidangan yang nak saya sediakan untuk hidangan makan tengahari kami sekeluarga hari ini. Setelah memikirkan apakah bahan-bahan yang ada di dalam petisejuk di rumah saya, akhirnya saya membuat keputusan untuk menyediakan spaghete bolognese saja. Lagipun, pada saya ini adalah antara makanan yang digemari oleh semua ahli keluarga saya, juga merupakan makanan yang berkhasiat dan seimbang...dan yang paling penting sekali, paling senang untuk disediakan.
Sebaik sahaja selesai solat Zohor, saya pun terus 'melompat' ke dapur saya. Dengan pantas saya mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan spaghete bolognese itu : Daging kisar, buah tomato, puri tomato dalam tin, hirisan cendawan dalam tin, bawang besar , bay leafs dan minyak zaitun untuk menumis.



Saya mengerling ke arah jam dinding yang terletak di dapur saya : pukul 2 petang. Saya ada setengah jam untuk menyiapkan spaghete bolognese saya sebelum pergi mengambil Yaya dan juga anak tiri saya Ina di madrasah. Maka seperti lipas kudunglah saya memasak. Mula-mula sekali saya jerang air setengah periuk. Sebaik sahaja air di dalam periuk tu mendidih, saya akan letakkan sebungkus spaghete ke dalamnya dan memasaknya hingga lembut.
Sementara menunggu air di dalam periuk itu mendidih, saya pun dengan pantas menyediakan bahan-bahan untuk memasak sos bolognese saya itu. Mula-mula saya letakkan sedikit minyak zaitun ke dalam sebuah periuk lain. Bila minyak zaitun dah panas, saya pun masukkan bawang besar yang telah saya cincang ke dalamnya. Apabila bawang cincang tersebut telah bertukar kekuningan, saya masukkan pula buah tomato yang telah saya potong menjadi kiub kecil ke dalam periuk tersebut. Selepas mengacaunya sebentar, saya pun masukkan puri tomato kedalamnya. Saya kacau sedikit lagi. Kemudian saya masukkan air ke dalam tumisan tadi, diikuti dengan daging cincang, bay leafs dan cendawan hiris. Saya kacau sedikit lagi. Kemudian saya tutup periuk tersebut, perlahankan api dan biarkan ia mereneh seketika.
Saya menjenguk ke dalam periuk yang berisi air untuk mencelur spaghete tadi. Air di dalanya sudahpun mendidih. Saya memandang sekeliling...eh? kat mana pula saya letakkan spaghete saya? Astaghfirullahalaazim! Baru saya teringat, saya belum lagi keluarkan bungkusan spaghete tu dari stor tempat saya menyimpan bahan-bahan makanan kering saya.

Maka saya pun bergegas menuju ke ruang dapur kering saya dan membuka stor tempat menyimpan bahan-bahan makanan kering saya. Astaghfirullahalaazim! Puas saya membuka kedua-dua pintu almari stor, dan menyelongkar, tapi....saya tetap tak jumpa bungkusan spaghete yang saya cari dan sangat perlukan tu!!! 
Saya melihat ke arah jam dinding sekali lagi. 2.30 petang. Astaghfirullahalaazim! Ya Allah! Tolong saya ya Allah! Apa saya nak buat ni? Sosnya dah siap, tapi nak makan dengan apa? Jenuh saya menyelongkar stor makanan tu berkali-kali dan memang dah pasti bungkusan spaghete yang saya cari tak ada kat situ! Ya Allah! Tolong saya ya Allah!

Tiba-tiba, semasa sedang sibuk menyelongkar tu, saya terpandang beberapa bungkusan bihun di dalam stor tersebut. Ting! Allah beri saya ilham untuk menggantikan saja spaghete dengan bihun! Alhamdullillah!

Saya terus mencapai sebungkus bihun dan membasuhnya dahulu dan terus memasukkannya ke dalam periuk yang berisi air yang sedang menggelegak tu. Saya mengacaunya sebentar dan kemudian dengan segera membawa periuk tersebut ke singki dan menuang bihun yang telah dicelur tu kedalam mangkuk penapis. Alhamdullillah! Siap! 
Alhamdullillah, saya juga masih sempat mengambil anak-anak saya balik dari madrasah, walupun agak sedikit terlambat dari biasa.

"Mak masak apa hari ni? Kami lapar ni mak." Tanya Yaya.
"Hari ni mak masak resepi lain dari yang lain. Jangan tanya apa-apa lagi. Bila sampai rumah, rasa sendiri OK?" Jawab saya.

Dan sebaik sahaja masuk ke dapur, mereka terkejut bila melihat bihun yang saya hidangkan dengan sos bolognese saya.

"Ni bukan spaghete bolognese ni mak! Ni bihun bolognese ni!" teriak anak-anak saya. Dan sebaik sahaja menyuapkan suapan pertama ke dalam  mulut, kedua-duanya menunjukkan tanda bagus kepada saya. Alhamdullillah!
'Allah Maha Berkuasa dan boleh melakukan apa saja tanpa bantuan makhlukNYA.
Sedangkan makhlukNYA kalau nak buat apa-apa pun, tidak ada daya dan upaya tanpa bantuan dan keizinan dari Allah.'



No comments:

Post a Comment