Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Tuesday 31 December 2013

SAJAK BUAT SUAMI

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google


Wahai suami,
Pimpinlah tanganku, bimbinglah aku,
ke jalan yang benar dan jalan yang di redhai.
Kerana aku di cipta ALLAH buat menabur bakti dan budi,
Padamu pujaan hati.



Wahai suami,
Genggamlah jari jemariku erat-erat,
Kerana aku diamanahkan supaya sentiasa taat,
Padamu kekasih hati.



Wahai suami,
Atas redhamu padaku baru ku perolehi redha ALLAH, tuhanku juga tuhanmu.
Maafkanlah segala kekuranganku,
Ampunkanlah segala dosaku.



Wahai ALLAH, pemilik ku yang sebenar,
Letaklah rasa cintaku pada suamiku,
semata-mata untuk mendapat redhaMU
LILLAHITAALA
♥♥♥♥♥


ULASAN E BOOK KUMPULAN CERPEN RAUTAN TAKDIR

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google


ULASAN CERPEN HIJRAH KASIH
Karekter ‘Dung’ dan ‘Nyet’ memberi impak dalam sanubari saya. Saat rasa kasih sebagai sahabat kemudian bertukar menjadi cinta, sangat mengujakan. Tetapi, bila cinta yang baru hendak bercambah musnah kerana kematian ‘Nyet’, saya pula yang rasa kecewa yang amat sangat. Memang layak sekali dipilih sebagai pemenang tempat pertama Peraduan Menulis Cerpen dan Sajak Cinta Jelita 2007.

ULASAN CERPEN SI PEMUDA TAMPAN
Cerpen ini menggunakan bahasa ‘berkias’ dengan maksud yang dalam. Saya membacanya dengan penuh berhati-hati, khuatir saya tersilap tafsir. Mulanya saya sangka ‘pemuda’ yang ‘berkat-kata’ di dalam cerpen ini salah seorang pengunjung masjid. Rupanya memang benar beliau seorang ‘pengunjung’ masjid tetapi untuk disembahyangkan sebagai jenazah.Cerpen yang menarik yang menggunakan bahasa ‘berkias’ yang membuat kita berfikir.

ULASAN CERPEN KESASAR DALAM TERANG
Saya pernah berjumpa anak yang mempunyai karektor seperti Hani dalam cerpen ini. Anak yang ‘menyalahgunakan’ ibunya sebagai ‘babu’. Dan membaca cerpen ini mengingatkan saya kepada Mak Nab, mak saudara saya di kampung yang ‘diperlakukan’ sedemikian rupa juga oleh salah seorang anak kandungnya. Sekarang Mak Nab terlantar sakit di kampong saya, duduk sendirian di rumah yang usang dan hidup atas belas kasihan saudara-mara yang tinggal berhampiran. Kemana perginya anak yang ‘memperhambakan’ Mak Nab sekian lama semasa beliau masih sihat? Khabarnya sudah berpindah jauh ke seberang laut. Astaghfirullahalaazim. Semoga Allah beri hidayat kepada anaknya  itu.

ULASAN CERPEN APA SAJA MAHUMU
Tersenyum saya sendirian selepas membaca cerpen ini. Kisah cinta yang begitu bersahaja. Dan saat Dato Azmi menyebut perkataan ‘Datin Hairiah’, saya rasa seperti saya pun ingin membalut diri saya dalam kain langsir! Malu tapi mahu.

ULASAN CERPEN TEH SEGELAS
Saat saya selesai membaca cerpen ini, satu tajuk filem lama melintas di fikiran saya : IBU MERTUAKU arahan Tan Sri P.Ramlee. Cuma bezanya, watak Kassim Selamat dalam cerpen ini (Mohd Hafiz-penebar roti canai yang juga pelajar di sebuah universiti) berlawanan dengan Kassim Selamat, pemuzik dalam filem IBU MERTUAKU. Kesudahan yang menggembirakan. Saya suka.

ULASAN CERPEN GARISAN ABDULLAH
Terkedu saya selepas membaca cerpen ini. Banyak persamaannya dengan sejarah kehidupan saya sendiri. Sedih.

ULASAN CERPEN INILAH DOA INILAH PINTA
Doa itu senjata orang mukmin. Tapi malangnya ramai dari kita selalu lupa kehebatan doa. Cerpen ini mengesahkannya. Doa dan fikir risau seorang imam untuk anak kariahnya tanpa jemu, sekalipun dicemuh. Kuasa Allah mengatasi segalanya.

ULASAN CERPEN MENGUAK TIRAI ITU
Sayu hati selepas membaca cerpen ini. Sudah lama menyimpan hasrat untuk ‘bertemu’ dengan Baginda SAW di dalam mimpi, tapi, menyedari diri saya ini hambaNYA yang banyak dosa, maka rasanya keinginan itu harus tak mungkin berlaku. Mana bisa seorang pendosa seperti saya menemui Baginda SAW sekalipun hanya dalam mimpi? Astaghfirullahalaazim.

ULASAN CERPEN SEANGGUN CAPSICUM
Cerpen ini mengingatkan saya kembali ke zaman sekolah menengah saya. ‘Cinta Monyet’ dengan abang senior, 6 orang sahabat karib yang berkongsi suka duka, memang menyeronokkan.

ULASAN CERPEN LIRIH DOA UNTUK DIA
Masyaallah! Sangat hebat cerpen ini sehingga ketika membacanya saya seolah-olah berada di dalam cerpen itu menyaksikan sendiri kesetiaan Zainab dan rasa cinta yang amat mendalam suaminya Abul’Ash terhadapnya. Kisah cinta yang lebih indah dari Romeo dan Juliet.


ULASAN CERPEN SI MANIS
Suami isteri melengkapi satu sama lain dengan kelebihan masing-masing. Siapa pun yang Allah hantar sebagai jodoh kita, terimalah dengan redha, sebab Allah sentiasa beri yang terbaik untuk kita.

ULASAN CERPEN MALASNYA MATA
Cerpen yang mengandungi nasihat dan peringatan yang berguna. Kita selalu beranggapan kata-kata gurauan kita boleh diterima orang lain dengan mudah saja tanpa memikirkan bahawa kata-kata gurauan kita itu mungkin meninggalkan kesan yang mendalam hingga menjejaskan perasaan orang lain.
Dan selepas membaca cerpen ini, barulah saya faham yang juling itu sejenis penyakit. Astaghfirullahalaazim.

ULASAN CERPEN SYARAT GHASIDAH SEGARAGA
Saya terpesona apabila cerita 3 Abdul diolah dengan cara yang bijaksana. Alhamdullillah. Suara hati seorang isteri yang ingin menjadi isteri yang taat dan tidak mahu akur saja seperti adik beradiknya yang lain.

ULASAN CERPEN GULAI AYA UNTUK AYAH
Sedih selepas membaca cerpen ini. Seorang lelaki yang masih merindui isterinya Mahani yang telah ‘pergi’. Dan kerinduannya itu makin bertambah dengan kebijaksanaan anak-anak yang diasuh dan dididik dengan baik oleh Mahani. Juga bau dan rasa gulai aya Mahani yang tiada tolok bandingannya.

ULASAN CERPEN RAUTAN TAKDIR

Bersimpati dengan Firdaus yang sangat menyintai Jannah sekalipun Jannah memutuskan pertunangan mereka sebanyak 3 kali. Akhirnya, ditakdirkan Allah, mereka berjumpa semula di rumah orang-orang tua. Dan Firdaus masih tidak berputus asa.

ULASAN KESELURUHAN E BOOK KUMPULAN CERPEN RAUTAN TAKDIR.
Alhamdullillah. Banyak yang saya pelajari setelah membaca keseluruhan kumpulan cerpen yang terkandung di dalam E Book ini. Dari gaya cerpen yang berbeza-beza, dan bagaimana sesuatu cerpen boleh mempengaruhi perasaan pembacanya. Dan yang pasti, dan yang lebih menyemarakkan semangat saya untuk menulis dan terus menulis ialah saya dapat memberi peringatan kepada diri saya sendiri dan juga kepada sesiapa yang sudi diperingatkan melalui penulisan cerpen, insya allah.


Sunday 29 December 2013

HADIAH PERCUMA

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google


Pengakuan terus-terang. Hari ini saya telah melakukan satu dosa besar. Bukan disengajakan. Tapi dalam pada tidak disengajakan itulah, saya telah lakukan dosa besar tu. Astaghfirullahalaazim.

Pagi-pagi tadi, saya ke rumah kawan saya, Zainah. Beliau seorang wanita yang serba boleh. Beliau boleh jadi tukang urut, boleh juga jadi mak bidan, boleh juga jadi tukang masak. Malah beliau juga boleh menjadi tukang menguruskan dan memandikan jenazah.

Saya pergi ke rumah Zainah pun dengan niat untuk membayar duit bihun putih yang saya tempah dari beliau buat menjamu kawan-kawan anak lelaki saya yang datang bertamu di rumah kami selepas solat Jumaat yang lepas. Bihunnya sudah habis dijamu kepada tetamu, tapi bayarannya masih belum sempat saya lunaskan.

Setibanya di rumah Zainah, beliau sudah sedia menunggu di hadapan pintu rumahnya.
"Masuklah dulu. Boleh duduk kat dapur sambil minum teh secawan dua. Aku ada buat roti halia dengan sup. Boleh juga kau rasa." Pelawa Zainah pada saya
"Tak payahlah Zainah. Aku sekejap saja ni. Nak ke pasar Sungai Besi sekejap. Nak beli  tulang  lembu dan daging sedikit. Nak buat sup untuk suami dan anak-anak." Jawab saya pula.

Maka berdirilah kami berdua sambil menyambung perbualan di luar pintu pagar rumah Zainah.

"Nah, ni duit RM100/- yang aku hutang kau tu. Duit bihun hari tu. Bihunnya dah habis masuk perut orang dan jadi darah daging, duitnya jugak belum aku bayar kat kau. Maaf banyak lah ya Zainah?" jelas saya pada Zainah sambil menghulurkan duit kertas RM100/- sekeping kepadanya.

"Allah! Tak mengapa. Aku faham. Bila aku nak datang rumah kau, kau sibuk. Bila kau tak sibuk, aku pulak sibuk. Tak ada masalah lah. Macamlah kita ni baru kenal." Pujuk Zainah pula. Lega rasa mendengar kata-kata Zainah itu. Kurang sedikit rasa bersalah.

"Kau ada dengar pasal makcik yang meninggal dekat rumah aku baru-baru ni? Dia duduk kat rumah anak dia, tu ha, dekat lorong belakang rumah aku saja." Zainah memberitahu saya.

"Ada aku dengar, tapi biasalah aku ni, apa-apa hal pun, kalau aku nak keluar dari rumah, aku kena minta izin suami aku dulu. Tapi, alhamdullillah, aku dapat kirimkan Fatihah kat arwah." Jelas saya pada Zainah pula.

"Siapa mandi dan uruskan jenazah makcik tu? Kau ke?" tanya saya pada Zainah pula.
"Ya, aku dengan Kak Idah, Dr. Zah dan Ustazah Rosnah. Kamilah uruskan, alhamdullillah." Jelas Zainah pada saya.

"Tapi, kau tau si polan tu, macam biasa, dah nak selesai semua baru tunjuk muka. Dan macam biasa, kecoh lah, menegur itu dan ini, semuanya tak kena di pandangan matanya. Aku, Kak Idah, Dr. Zah dan Ustazah Rosnah diam saja, malas nak layan. Dah masak benar dengan kerenah si polan tu. Masa anak arwah telefon aku minta uruskan jenazah mak dia, aku telefon si polan tu dulu. Macam biasa, jawapan dia, dia sibuk, ada di luar daerah. Jadi aku cakap, tak mengapa, kalau macam tu, biarlah kami-kami yang ada ni yang uruskan." Zainah menjelaskan kepada ku akan keadaan yang berlaku.

Saat itu, sudah terdetik di dalam hati saya, sekiranya saya teruskan juga perbualan dengan Zainah ni, harus kami akan mengumpat mengenai si polan tu, sebab si polan tu memang 'makhluk'  yang sering mengundang kontroversi di taman perumahan kami itu. Namun, di sudut lain dalam hati saya pula seakan 'menghalalkan' perbualan antara saya dan Zainah ini, "apa pulak, ini tak dikira mengumpat, ini memang kejadian benar, apalah pulak salahnya? Boleh dijadikan iktibar ni."

"Hmmmm...macam kau tak kenal si polan tu Zainah....." dan kami berdua mula bercerita tentang pengalaman-pengalaman "manis" yang pernah kami lalui dengan si polan tersebut.
Dan malam ini, saya terfikir semula mengenai perbualan saya dengan Zainah pagi tadi. Adakah saya dan Zainah  telah mengumpat mengenai si polan tu dalam perbualan kami itu? Susah untuk saya membohongi diri sendiri tapi jawapan yang sangat pasti ialah YA! Pagi tadi memang saya dan Zainah telah mengumpat! Astaghfirullahalaazim.

Habislah segala amal ibadat yang telah saya dan Zainah lakukan, semua telah kami 'hadiah'kan dengan percuma kepada si polan tersebut. Astaghfirullahalaazim.

Kalau sudah tahu akan rugi dan 'muflis' begini, mengapa masih terus dibuat juga? Astaghfirullahalaazim.


HANYA KERANA DIA.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

“Perempuan sial! Aku dah larang kau dari hubungi Min. Kenapa kau buat juga? Macam tu kau kata kau isteri solehah? Isteri yang taat? Binatang!” Hamdi merentap  rambut di belakang kepala Yanti dan menggoncangnya sekuat hati.
“Abang, sakit bang! Sakit! Tolong jangan buat Yanti macam ni!” jerit Yanti sambil taangannya cuba sedaya upaya untuk melepaskan rambutnya dari terus direntap oleh tangan Hamdi.
“Tau sakit kan? Tau sakit! Kalau tak nak rasa sakit, jangan buat apa yang aku tak bagi buat! Faham tak?” Hamdi terus melepaskan kemarahannya pada Yanti. Dilepaskannya rambut Yanti yang direntapnya tadi. Gumpalan rambut Yanti melekat di dalam gengaman tangan Hamdi. Masih tidak puashati dengan merentap rambut Yanti, kali ini tamparan demi tamparan pula hinggap di muka Yanti.
“Abang! Abang! Sakit bang! Tolong bang! Jangan buat Yanti macam ni. Ya Allah! Ya Allah!” Rayu Yanti kepada Hamdi yang sedang menamparnya bertalu-talu seperti orang kehilangan akal. Darah sudah mula mengalir keluar dari mulut Yanti. Yanti sudah rasa tidak berdaya lagi untuk melawan kekuatan tenaga seorang lelaki yang bertubuh sasa seperti Hamdi. Pandangan Yanti semakin kabur. Tubuh Yanti menjadi longlai. Dan tiba-tiba semuanya menjadi gelap.
*****
“Mak! Mak! Bangun mak! Mak, ni Ina mak. Mak!” Yanti terdengar suara anak tunggalnya Ina memanggilnya. Sayup-sayup saja bunyinya. Seolah-olah terngiang-ngiang di pendengaran Yanti. Perlahan-lahan, Yanti cuba membuka matanya. Terasa amat payah. Sakit. Pedih. Digagahinya juga. Ingin ditatapnya wajah yang dirinduinya itu.
“Ina…Ina…,”perlahan-lahan Yanti menyebut nama Ina. Mulutnya terasa bengkak dan tidak dapat dibuka langsung.
“Mak, Ina ada kat sini mak. Ina ada kat sini,” Yanti mendengar suara Ina semakin jelas mendekati telinganya. Yanti dapat merasakan Ina mengucup kepalanya dan kemudian mengusapnya perlahan dengan jari jemarinya. Menitik airmata Yanti, tersentuh dengan belaian kasihsayang anaknya itu.
“Mak jangan cakap apa-apa dulu ya? Mak cedera teruk ni mak. Sampai hati lelaki tu buat macam ni kat mak. Makin lama makin melampau! Ina benci dia mak! Ina benci dia!” Ina meluahkan rasa marah dan geram atas perbuatan Hamdi  terhadap Yanti.
Yanti tahu Ina marahkan bapanya itu. Kalau boleh Yanti ingin memeluk Ina dalam dakapannya saat itu juga. “Tak mengapa Ina. Allah kan ada? Dan Allah dah hantar Ina dalam hidup mak. Itu dah cukup untuk mak Ina,” Yanti berkata-kata dalam hati, tangannya menggengam erat jari jemari Yanti. Dan Ina seolah-olah mendengar apa yang dibisikkan Yanti di dalam hati. “
“Ya mak, Allah kan ada,” ulang Yanti sambil mengucup tangan Yanti.

*****
“Sayang, jangan risau. Dia tak kan berani ganggu Min lagi. Abang dah ajar dia cukup-cukup tadi.” Hamdi memujuk Min, kekasih gelapnya yang sedang menarik muka masam, konon-kononnya sedih dengan perbuatan Yanti menelefonnya di pejabat pagi tadi.
“Ya lah tu. Abang saja cakap macam tu untuk pujuk Min kan? Ya lah, siapa lah Min ni. Dia tu isteri abang, Min ni cuma kekasih abang saja kan?” balas Min untuk menguji perasaan sebenar Hamdi terhadapnya. Sedar pula yang dirinya itu tiada ikatan yang halal dengan Hamdi.
“Min, Min..percayalah Min, sayang abang kat Min tak ada tolok bandingannya dengan perempuan tu. Min pun tau, abang memang  tak ada perasaan apa-apa kat dia . Min saja yang ada dalam hati abang. Min saja yang faham diri abang. Abang sayang sangat kat Min. Betul ni Min. Kalau Min tak percaya, ambil lah kapak, belah lah dada abang ni. Min akan lihat nama Min saja dalam dada abang ni,” Hamdi meluahkan rasa sayangnya dengan bersungguh-sungguh pada Min.
Min tersenyum manja memandang kesungguhan Hamdi membuat perakuan sayang padanya. Terasa puas di dalam hatinya. Mudah saja Min memperdayakan Hamdi dengan mengatakan Yanti yang menyerangnya melalui telefon pagi tadi. Sedangkan yang sebenarnya, Min lah yang menelefon Yanti dan memaki hamunnya.
“Padan muka kau Yanti! Sepatutnya, akulah yang lebih berhak menjadi isteri Hamdi. Bukan perempuan kampung seperti kau. Lama kami bercinta di universiti, tapi disebabkan mak Hamdi memilih kau sebagai menantunya, Hamdi akur saja sebab tak mahu melukakan hati maknya. Kau mungkin boleh memiliki tubuh badan Hamdi, tapi hati dan perasaan Hamdi, tetap akan jadi milik aku, selamanya!” Min berkata-kata di dalam hati. Min tersenyum puas.
*****
“Mak, Ina rasa eloklah mak buat lapuran polis pasal penderaan yang mak alami ni. Tadi masa Ina jumpa doktor yang merawat mak tu pun, dia cadangkan perkara yang sama. Kali ni lelaki tu dah melampau mak! Sampai pengsan mak dipukulnya. Mujur ada pak cik Mat Nor dengan mak cik Normah, jiran sebelah rumah kita datang meleraikan lelaki tu dari terus memukul mak hari tu. Kalau tak, entah apa dah jadi kat mak. Kalau mak tak nak buat lapuran polis, biar Ina saja yang buat untuk mak.” Ina berkata kepada Yanti dengan tegas. Di dalam hatinya, perasaan benci dan dendam kepada Hamdi semakin membuak-buak.
“Ina, orang yang Ina panggil lelaki tu, kan ayah kandung Ina?” jawab Yanti mengingatkan anaknya itu.
“Huh! Ayah apa macam tu mak! Perempuan yang bukan mahram digilai dan dilayan macam permaisuri. Isteri yang halal diperlakukan lepas tu dibelasah macam hamba abdi. Dan mak masih nak bela dia lagi? Ina tak boleh terima semua ni mak! Lebih baik Ina tak ada bapa dari ada bapa macam dia yang berperangai macam binatang!” bentak Ina, meluahkan rasa marahnya.
“Ina, istighfar banyak nak. Mak tak didik anak mak untuk jadi begini. Biarkanlah dia. Kita doa banyak-banyak semoga Allah beri rahmat, taufiq dan hidayat kat ayah Ina tu. Hati dan perasaan manusia ni, Allah yang pegang. Kita manusia ni tak ada kuasa nak paksa orang ubah hati dan perasaan dia terhadap kita. Kan ke doa tu senjata orang mukmin? Kita berdoalah banyak-banyak Ina. Mak yakin, satu hari nanti, ayah Ina akan berubah, insya allah.” Yanti menasihati Ina dengan lembut. Ina menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan sambil terus memandu kereta membawa Yanti pulang ke rumah mereka. Masih banyak rasa tidak puashati di dalam hati Ina.

*****
“Kalau kau tak nak terima Yanti sebagai isteri, kau jangan panggil aku ibu lagi Hamdi!” jerkah Hajjah Mariam kepada anak sulongnya itu.
“Apa kurangnya Yanti tu? Rupa parasnya cantik, bagus agamanya, aleemah lepasan madrasah, pandai menguruskan rumahtangga, berbudi bahasa, hormat orang tua dan dari keturunan keluarga baik-baik pula. Nabi suruh pilih salah satu dari 4 syarat perempuan yang layak dijadikan isteri. Ni kau dapat bakal isteri yang cukup keempat-empat syarat Hamdi! Apa lagi yang kau nak?” Hajjah Mariam terus ‘menyerang’ Hamdi dengan soalan yang bertalu-talu. Hamdi diam membisu. Walaupun dalam hatinya mahu saja dia menjerit dan memberitahu ibunya itu,”Mak! Saya cintakan Min bukan Yanti! Saya nak kawin dengan Min bukan dengan Yanti!" Tapi disebabkan takut kepada ibunya, juga bercampur dengan rasa sayang dan taat, maka Hamdi terus membatukan diri. Tidak berani melawan dan tidak juga menentang kata-kata ibunya itu.
Malah sehingga saat diijab kabulkan dengan Yanti pun, Hamdi mengikut saja. Dan bila ibunya mencadangkan mereka duduk serumah saja dengannya selepas mereka berkahwin, Hamdi akur juga. Sedikit pun tidak membantah. Sehinggalah ibunya menimang cucu pertamanya, Ina, Hamdi terus diam tidak berkata apa-apa.
Tetapi, sebaik sahaja Hajjah Mariam meninggal dunia 3 tahun yang lepas, rumah yang dahulunya menjadi syurga buat Yanti dan Ina, bertukar menjadi neraka. Hamdi yang selama ini pendiam bertukar menjadi seorang lelaki yang sangat berbeza perwatakannya. Dan yang lebih menghancurkan hati Yanti, kaki dan tangan Hamdi sudah semakin kerap hinggap di tubuh badannya. Hanya kerana seorang kekasih bernama Min.
*****
“Siapkan pakaian aku. Aku nak ke luar negara seminggu.” Kasar perintah Hamdi kepada Yanti. Yanti tidak berkata apa pun. Tidak berani sebenarnya. Rasa sakit kerana dipukul Hamdi masih lagi terasa di mukanya. Yanti terus mengeluarkan beg pakaian yang sederhana besarnya dari dalam almari.
“Tu nak bawa perempuan tu samalah kan?” Ina yang tiba-tiba muncul di pintu bilik mak dan ayahnya itu, bertanya dengan kasar kepada Hamdi.
Yanti memandang Ina, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, seolah-olah memberikan isyarat supaya Ina jangan berkata apa-apa lagi.
“Kenapa mak? Kenapa Ina tak boleh tanya lagi? Mak isteri dia, bukan hamba dia kat dalam rumah ni. Mak berhak tau dia nak bawa siapa pergi makan angin dengan dia tu!” Ina terus meluahkan rasa marahnya dengan berani.
“Kau diam! Jangan jadi anak kurang ajar!” Hamdi bersuara kasar kepada Ina sambil  menjengilkan matanya.
Melihat keadaan yang semakin tegang itu, Yanti cepat-cepat menarik tangan Ina keluar dari bilik itu.
“Ina, sudahlah tu. Ina sayang mak kan? Ina tak mahu tengok mak susah hati kan? Ina jangan cakap apa-apa lagi ya nak? Ina pergilah ke dapur tolong mak sediakan makan tengahari untuk kita ya? Nanti bila mak dah selesai siapkan pakaian ayah, mak akan ke dapur. Boleh kita masak sama-sama ya nak?” pujuk Yanti sambil menolak badan Ina perlahan-lahan ke arah dapur mereka. Walaupun kecewa, namun Ina akur dengan suruhan maknya itu.
*****
“Kau ajar anak kau tu supaya jangan biadap dengan ayah sendiri! Budak tu jadi macam tu sebab kau tak tau didik anak! Kau ingat, kau tu aleemah, kau dah pandai semua benda? Sedar diri kau tu sikit. Bukan aku yang nak kawin dengan kau! Kalau tak sebab paksaan ibu aku, aku tak ingin nak buat kau jadi bini aku tau tak!” Hamdi terus mengherdek Yanti dengan kata-kata yang berbisa.


Yanti mengetap bibirnya kuat-kuat. Yanti tahu sepatah sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya, akan memburukkan lagi keadaan. Yanti tak mahu Ina mendengar maki hamun Hamdi yang selalu dilontarkan kepadanya. Yanti tidak mahu mengganggu fikiran Ina yang sedang belajar di tahun akhir di sebuah universiti nun jauh di utara. Sesekali Ina balik, biarlah segalanya nampak tenang sahaja. Walaupun di dalam hati Yanti sendiri sentiasa bergelora.  Demi Ina, Yanti sanggup korbankan segalanya. Cukuplah ada Allah yang Maha Mengetahui menjadi tempat Yanti mencurah rasa. Dan cukuplah Ina menjadi penghibur hatinya yang lara. Yanti pasrah.

ISTERI ZAMAN SEKARANG.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Selepas solat Maghrib tadi, saya memandu ke klinik berhampiran dengan rumah saya. Klinik yang biasa kami sekeluarga kunjungi untuk mendapatkan rawatan bila ada diantara kami yang sakit. Kali ini, saya membawa suami dan anak bongsu saya, Yaya, yang demam dari semalam.

Setibanya di klinik, alhamdullillah, cuma ada 4 orang yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan. Sementara menunggu untuk dipanggil masuk menemui doktor, saya, suami dan Yaya duduk di ruang menunggu klinik tersebut. Yaya sibuk membaca buku novelnya dan suami saya pula sibuk menuntun siaran berita yang sedang ke udara di peti televisyen yang ada di situ.
Mulanya, saya juga sibuk menuntun siaran berita bersama suami. Bagaimanapun, saya terdengar satu 'perbualan' yang menarik antara sepasang suami isteri yang juga sedang menunggu giliran untuk berjumpa dengan doktor. Saya ingin kongsi perbualan tersebut di dalam entri blog saya kali ini insya allah. Semoga ianya dapat menjadi peringatan dan pengajaran buat kita semua terutamanya buat yang bergelar isteri.

Mulanya si isteri duduk bersebelahan suaminya. Tiba-tiba telefon bimbit si isteri berdering. Kelihatan si isteri menjawap panggilan tersebut  dengan serta-merta. Kemudian si isteri tadi dengan penuh khusyuk berbual dengan si pemanggil yang menelefon beliau tadi.

Si suami (yang memakai baju sejuk dan ada 'koyok' bertampal di kiri kanan dahinya) mulai kelihatan resah. 

Suami : Anis, sudahlah tu. Bercakap dengan siapa lama benar tu? Abang ni kan demam?
Isteri : (Mulai memandang suaminya dengan mata bulat dan dahi berkerut, sebelah tangan menutup sebahagian telefon bimbitnya) Shhhh...abang ni pun, Anis tengah bercakap dengan Eton lah, kawan baik Anis tu. Dia tengah ada masalah serius dengan suami dia tu. Kejap lah bang.
Dan si isteri terus bangun dari tempat duduk di sisi suaminya tadi dan beralih ke kerusi yang jauh sedikit dan terus bercakap di telefon dengan kawan baiknya. Si suami memandang dengan pandangan kecewa..dan mungkin bercampur perasaan marah. Kemudian beliau terpandangkan saya yang sedang memerhatikan kerenah mereka suami isteri.

"Tengok kak, isteri zaman sekarang. Suami sakit bukan masalah besar pada dia. Kawan baik ada masalah, itu jadi masalah besar pula kat dia! Agaknya dia fikir, kawan baik dia lah yang boleh bawa dia masuk syurga kat akhirat nanti. Nasib sayalah kak." Kata si suami tadi dengan nada sedih kepada saya sambil tunduk menggeleng-gelengkan kepalanya.
Mendengarkan keluhan si suami itu tadi, saya semakin merapatkan badan saya kepada suami saya yang sedang duduk disebelah  sambil meletakkan tangan saya ke dahinya dan bertanya, "Abang Aji, masih demam lagi ke? Sakit kepala tadi dah reda sikit? Nak Sayang tolong picitkan kepala Abang Aji lagi?"

Dan suami saya menoleh ke arah saya, dan meletakkan pula tangannya di dahi saya sambil bertanya,"Sayang pun dah demam juga ke?"





Wednesday 25 December 2013

KITA REDHA ABANG AJI NIKAH SATU LAGI!

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google


Semenjak aku kena 'operate' kat kaki,
Jalan berdengkut menampung diri.
Walaupun makan ubat setiap hari.
Kata doktor mungkin lama aku begini.
Aku bertanya kepada suamiku, Abang Aji.
"Malu ke dapat isteri dah tempang begini?
Isteri orang lain segak lagi seksi.
Sayang duduk lama pun payah apa lagi kalau lama berdiri."
Sambil tersenyum Abang Aji menjawab, "syukor banyak pada Illahi, Sayang masih ada kaki."


Kalau dulu aku masih boleh melompat, boleh berlari.
Meredah sungai, bukit pun aku boleh daki.
Masuk padang golf hampir setiap hari.
Tapi sekarang semua tu aku dah tak boleh buat lagi.
Allah dah tarik satu saja keupayaan diri.
Tanda peringatan, kubur dah mula panggil, "mari! mari! mari!".

Minggu lepas, aku telefon suami  yang bertugas di luar daerah lagi.
"Abang Aji, Sayang rasa Sayang sedia untuk berpoligami.
Kalau ada anak dara atau janda yang Abang Aji berkenan dihati,
Sayang redha Abang Aji bernikah satu lagi.
Sebab Sayang sedar diri.
Abang Aji perlu isteri untuk dibawa ke sana ke sini,
Menemani Abang Aji ke majlis-majlis rasmi."

Tapi, dalam pada tu airmataku mengalir deras di pipi.
Terlintas di fikiran, "betul ke apa yang aku nak buat ni?
Betul ke aku sanggup berpoligami?
Atau pertanyaan aku tu sekadar menguji hati suami?"

Macamana kalau isteri baru Abang Aji cantik macam bidadari?
Macamana kalau Abang Aji terus lupa pula kat aku nanti?
Macamana bila malam-malam Abang Aji tak tidur di sisi?
Macamana kalau aku asyik cemburu dan sakit hati?
Astaghfirullahalaazim! Macam ni tak boleh jadi!
Aku rasa aku kena batalkan cadangan untuk Abang Aji berpoligami!
Sebab bukan aku khuatirkan Abang Aji.
Tapi aku takut pada kelemahan diri dan imanku sendiri.
Kononnya nak buat pahala, tapi dosa pula yang aku himpun nanti.


Tak sampai setengah jam, aku pun telefon semula dan cakap kat Abang Aji .
"Abang Aji, maafkan Sayang pasal kesediaan untuk berpoligami tadi.
Tadi tu Sayang saja nak uji Abang Aji.
Sebenarnya Sayang belum sedia lagi.
Nak tengok Abang Aji jabat tangan lagi sekali depan Tok Kadi.
Boleh tak dilupakan saja apa yang Sayang beritahu tadi kat Abang Aji?"
Rayu kita semula dengan penuh debaran di dalam hati.

Lama Abang Aji membisukan diri.
Menambah getar di dalam hati.
Takkan Abang Aji dah setuju nak berpoligami?
Habislah aku, nahas aku cari sendiri,
Kemudian...aku dengar jawapan dari Abang Aji.

"Sayang seorang dah cukup untuk Abang Aji.
Umur kita berdua pun bukan makin muda setiap hari.
Rumah dah kata pergi, kubur pun dah sedia menanti.
Tingkatkan ibadah, buat kerja dakwah Nabi.
Supaya tak menyesal di akhirat nanti."

Alhamdullillah! Sayang Abang Aji, Lillahitaala, Insyaallah!


Tuesday 24 December 2013

ULASAN E BOOK 101 TIP PENULISAN NOVEL

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

ULASAN E BOOK 101 TIP PENULISAN NOVEL
Penulis : MAZLIA MURAT


Semua orang mempunyai pengalaman hidup yang berbeza. Ada yang hanya mahu menyimpan sahaja pengalaman hidup yang mereka lalui di dalam 'kotak khazanah' sejarah hidup mereka dan tidak mahu mengingatinya lagi.

Namun ada juga yang suka untuk berkongsi pengalaman hidup yang pernah dilalui dengan orang lain, dengan harapan ianya dapat menjadi peringatan dan panduan kepada mereka yang sedang melalui perkara yang sama.

Perkongsian itu mungkin ditulis dalam bentuk sajak, lagu atau menjadi sebuah cerita yang dibukukan sebagai novel. Dan saya adalah salah seorang dari mereka yang ingin berbuat demikian. Berkongsi mengenai pengalaman hidup saya melalui penulisan. Ya, saya bercita-cita untuk menjadi seorang penulis, insya allah.

Saya tidak tahu pandangan orang lain yang bercita-cita untuk menjadi penulis juga, tapi, selama ini saya sangka  bukanlah susahpun untuk menjadi seorang penulis. Asalkan ada idea, tahu bagaimana untuk menyusun ayat dan mengeja, memiliki sebuah komputer dan tahu cara menggunakannya, itu sudah cukup untuk memulakan langkah sebagai penulis. Betul! Memang betul! Tapi, penulis yang bagaimana?

Sehinggalah Allah 'membuka' jalan kepada saya untuk menyertai Bengkel Penulisan Islami pada bulan November 2013 yang lepas, barulah saya faham, rupanya bukan mudah untuk menjadi seorang penulis yang baik. Dan kemudian Allah 'temukan' pula 'jodoh' saya dengan Kelas Asas  Blog Penulisan Kreatif, maka saya semakin memahami keadaan 'dunia' penulisan yang sebenar. Dan melalui kelas ini pula, saya dapat mendalami lagi ilmu penulisan melalui pembacaan beberapa EBook berkaitan penulisan, termasuklah EBook 101 Tip Penulisan Novel ini.

Selepas membaca EBook ini sebanyak dua kali, barulah saya mendapat gambaran yang sebenar mengenai dunia penulisan novel. Penulis EBook ini, Puan Mazlia Murat telah membawa pembaca 'mengembara' sambil 'memandu' pembaca langkah demi langkah ke alam  dunia penulisan novel.

Bermula dengan Bab 1 - 25 Sebab Manuskrip Ditolak Penerbit. Menurut Puan Mazlia Murat, ianya perlu diketahui oleh bakal penulis mahupun penulis lama supaya dapat menjimatkan masa daripada melakukan kesilapan semasa proses penulisan dan juga meninggikan peluang manuskrip diterima dan diterbitkan.

Diikuti pula dengan Bab 2 - Memulakan Langkah. Bab ini memperincikan aspek yang perlu diambil kira sebagai panduan untuk memulakan penulisan seperti memilih genre, menentukan tema, memilih sasaran pembaca dan lain-lain.

Bab 3 - Inti Pati Novel. Di dalam bab ini, Puan Mazlia Murat menerangkan bahawa terdapat empat perkara asas yang perlu ada dalam novel iaitu watak dan perwatakan, latar, plot dan juga konflik.

Bab 4 - Merangka Cerita. Selepas memilih tema dan plot utama, merangka cerita merupakan langkah seterusnya bagi seorang penulis untuk mengembangkan idea dalam penulisannya. Di dalam bab ini juga Puan Mazlia Murat memperkenalkan beberapa teknik analisis seperti Diagram Tulang Ikan/Ishikawa Diagram, teknik menggunakan rajah mengikut keselesaan dan juga teknik KJ Method.

Bab 5 - Teknik Penceritaan. Bab ini mengupas teknik penceritaan yang perlu digunakan dalam penulisan bagi menjadikan sesebuah novel menarik untuk dibaca.

Bab 6 - Semakan dan Suntingan. Di dalam bab ini, penulis EBook ini menegaskan mengenai empat langkah yang perlu diambil sebelum seseorang penulis menghantar manuskrip kepada penerbit : Semak, Sunting, Maklum balas dan Ubah.

Bab 7 - 25 Ciri Penulis Yang Disukai Penerbit. Puan Mazlia Murat  menerangkan bahawa menulis manuskrip yang baik sahaja tidak mencukupi. Beliau telah menyenaraikan 25 ciri yang perlu ada kepada setiap penulis agar terjalin hubungan yang baik antara penulis dengan penerbit.

Bab 8 - Memahami Hak Penulis. Bab ini merupakan nasihat daripada Puan Mazlia Murat kepada bakal-bakal penulis yang biasanya teruja mahu melihat manuskrip diterbitkan sehingga mengabaikan perkara lain yang penting dalam melindungi hak penulis. Dua perkara yang disebut ialah hak cipta dan hak penerbitan.

Bab 9 - Jual Sebelum Terbit. Dalam bab ini pula Puan Mazlia Murat menyentuh mengenai tanggungjawab menjual dan mempromosikan novel tulisan seseorang bukanlah terletak dibahu penerbit sahaja, tetapi juga tanggungjawab penulis novel itu sendiri

Bab 10 - 20 Ciri Penulis Best Seller Yang Prolifik. Definisi prolifik bermaksud banyak menghasilkan karya, banyak hasil tulisannya. Manakala best seller pula adalah buku yang paling popular dan laris dijual dengan jumlah yang luarbiasa.

Puan Mazlia Murat turut berkongsi dengan pembaca tiga buah cerpen hasil karya beliau yang amat menarik dan berlainan setiap satunya dari segi gaya penulisannya. 

Kesimpulan yang saya perolehi setelah membaca EBook ini ialah bukan mudah untuk menjadi seorang penulis yang baik. Apatah lagi untuk menjadi penulis best seller yang prolifik. Dan EBook ini merupakan satu EBook panduan yang baik dan wajib dibaca oleh setiap bakal-bakal penulis untuk membantu mereka ke arah itu.

Seperti yang ditulis oleh Puan Mazlia Murat di dalam Tip 1 EBook ini :

''Tanpa keberanian mimpi tidak bermakna. Selagi kita tidak memulakan langkah pertama, bermimpi setiap malam mahu jadi penulis pun tiada gunanya.'



Monday 23 December 2013

KERANA KASIH DAN CINTA SEJATI.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Alahai saudara-saudariku!
Kenapalah kami yang berpurdah ini selalu  dijadikan isu?
Yang tak tutup aurat, pakai baju tapi 'telanjang', kenapa kalian tak tegur selalu?
Bila tengok "ketelanjangan" mereka, kenapa kami yang berpurdah pula yang rasa malu?
Mereka  lalu lalang depan kami, depan suami dan anak-anak lelaki kami, kami pula yang tersipu-sipu.


Alahai saudara-saudariku!
Orang berpurdah, kalian cakap ketinggalan zaman.
Orang berpurdah, kalian kata jangan dibuat kawan.
Orang berpurdah, kalian tuduh sesat punya amalan.
Orang berpurdah, kalian sindir seolah-olah kami tiada perasaan.

Alahai saudara-saudariku!
Memang kami bukan hamba yang sempurna.
Masih banyak ilmu agama yang wajib kami timba.
Tapi,
Allah berikan kami fikir risau agar aurat kami dijaga.
Allah anugerahkan kami hidayah supaya kekal berpurdah sepanjang masa.
Allah bantu kami menutup aurat kami dari mata-mata durjana.
Allah pelihara kami dari seksa dan azab neraka. 

Astargfirullahalaazim.
Wahai ayah!
Wahai suami!
Wahai abang!
Wahai adik lelaki!
Kerana kasih dan cinta sejati.
Kasih dan cinta sejati kami pada kalian mahram kami.
Maka kami menjaga aurat kami dengan sepenuh hati.
Kami berpurdah agar tidak terselak sedikit pun aurat pada lelaki ajnabi.
Kerana kalian bertanggungjawab terhadap kami.
Setiap helai rambut kami, setiap lekuk tubuh kami yang terdedah pada lelaki ajnabi,
kalianlah yang bakal dicampak ke dalam api...api neraka yang panasnya tidak terperi.
Jadi,
di dunia ini, lindungilah kami.
Pertahankanlah kami saat kami dihina, dikeji dan diragui.
Hanya kerana kami berpurdah dan memelihara aurat kami.

Semoga ALLAH beri rahmat, taufiq dan hidayah kepada kita semua ummat Nabi  yang lemah iman dan hidup di zaman fashaq dan mungkar ini.

* LUAHAN PERASAAN SELEPAS DIPANGGIL 'BURUNG GAGAK'  SEMASA MENGHADIRI  MAJLIS PERKAHWINAN ANAK KEPADA KAWAN SUAMI
.*

Sunday 22 December 2013

KASIHNYA IBU.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google



Kisah ini berlaku semasa semua anak-anak saya masih bersekolah lagi. Ada yang belajar di sekolah menengah, dan yang kecil-kecil masih belajar di sekolah rendah. Waktu itu saya sedang duduk-duduk di ruang tamu dengan semua anak-anak saya. Tiba-tiba, anak lelaki saya yang ketiga, Amir (semasa tu beliau belajar dalam darjah 3) bertanyakan soalan ni kepada saya :

Amir : Mak, katalah kita sekeluarga pergi mengembara ke dalam hutan. Tiba-tiba, muncul seekor harimau dan terus mengejar kita semua. Antara semua anak-anak mak yang ada ni, yang mana satu yang mak akan selamatkan dulu? Dan anak-anak mak yang mana pula yang mak akan biarkan untuk selamatkan diri mereka sendiri?


Astaghfirullahalaazim. Agaknya, kalau anda yang ditanya dengan soalan begini oleh salah seorang daripada anak anda, apakah jawapan anda kepada anak anda itu?

Setelah beristighfar beberapa kali dan menarik nafas panjang sejenak (sebenarnya saya sedang meminta bantuan dari Allah dan juga 'menangguh' masa untuk mendapatkan ilham untuk menjawap soalan Amir itu tanpa 'melukakan' hati semua anak-anak saya), maka inilah jawapan saya kepada soalan Amir tadi.

Saya : Mak tak kan selamatkan sesiapa pun insya allah!
Amir : Huh? Kenapa? Mak tak sayangkan anak-anak mak ke?
Saya : Mana ada mak yang tak sayangkan anak? Sebab mak sayang anak-anaklah, mak buat begitu!
Amir : Huh? Amir tak fahamlah mak!
Saya : Kalau harimau tu kejar kita semua, mak akan berhenti berlari dan berdepan dengan harimau tu. Biar harimau tu terkam mak. Jadi, masa mak tengah berlawan dengan harimau tu, mestilah anak-anak mak semua akan sempat selamatkan diri masing-masing kan? Lagipun, kalau harimau tu dapat kalahkan mak, tentu dia akan makan mak, bila dia sibuk makan mak, tentu masa tu dia tak kan kejar anak-anak mak lagi insya allah.
Dan selepas mendengar jawapan saya tu, semua anak-anak saya menerpa ke arah saya dan memeluk saya beramai-ramai sambil menangis. Alhamdullillah!

'KASIHNYA IBU MEMBAWA KE SYURGA, SAYANGNYA IBU SANGGUP BERKORBAN APA SAJA, INSYA ALLAH.'