Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Thursday 6 February 2014

SALAH SIAPA?

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Apakah perasaan anda semua selepas melihat video yang saya jadikan pembuka entri saya kali ini? Terperanjat? Sedih? Risau? Atau tak ada rasa apa-apa langsung? Astaghfirullahalaazim.

Video ini telah ditunjukkan kepada saya oleh Abang Aji malam semalam. Turut menonton bersama saya ialah kedua orang anak saya Amin dan Yaya. Selepas 2 minit menontonnya, airmata kami menderu membasahi pipi kami anak beranak. Rasa khuatir, sedih dan takut menyelubungi diri kami. Mengapa? Mereka yang kami lihat di dalam video ini langsung tidak pernah kami temui dan tidak pula kami kenali. Jadi mengapa kami perlu berasa begitu khuatir, berasa sedih dan juga berasa takut?

Sebab mereka adalah saudara seagama kami, dan juga saudara seagama buat semua muslimin dan muslimat di mukabumi ini. Dan sekarang, mereka hanya Islam pada nama sahaja. Mereka tidak mendirikan solat, mereka tidak tahu pun untuk membaca Fatihah dan lebih menyedihkan, mereka tidak kenal siapa Rasulullah. Astaghfirullahalaazim.
Jadi mengapa kita semua, saudara seagama dengan mereka ini pula yang perlu rasa risau, khuatir dan takut dengan kekurangan mereka itu?
Kerana sebenarnya yang bersalah dalam hal ini adalah kita semua! Ya! Kita semua yang bersalah!
Kenapa pula kita yang bersalah?
Baiklah. Cubalah anda semua baca dan fikir baik-baik apa yang saya akan tuliskan ini.
Junjungan kita, Nabi Muhammad yang kita kasihi tidak pernah pun mengenali kita semua. Baginda tidak pernah pun menemui kita. Tetapi, mengapa Baginda risaukan nasib kita semua di akhirat nanti? Mengapa, dalam keadaan sentiasa dihina, dicaci, diugut dan dicederakan pun sewaktu Baginda membuat kerja dakwah, Baginda tidak sedikitpun berputus asa malah tetap meneruskan kerja dakwah Baginda. Sedangkan Baginda telah Allah janjikan tempatnya di dalam syurga Firdaus yang paling tinggi kedudukannya? Baginda tidak pernah menemui kita apatah lagi mengenali kita. Jadi, mengapa Baginda bersusahpayah untuk kita semua? Mengapa sehingga hampir akhir hayat Baginda, yang Baginda risaukan adalah kita semua? "Ummati, Ummati" inilah antara kata-kata terakhir Baginda sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
 
Baginda terus berdakwah dengan harapan agar semua manusia beriman kepada Allah. Baginda mahu membawa semua manusia untuk masuk syurga bersama Baginda di akhirat nanti. Begitulah sayangnya Baginda kepada kita semua umatnya. Begitulah risaunya Baginda kepada semua manusia. Umat yang kebanyakkannya tidak pernah Baginda temui dan tidak juga Baginda kenali.
Sekiranya Baginda berputus asa kerana sentiasa dihina, dicaci dan dicederakan semasa berdakwah dan Baginda berhenti dari terus berdakwah kepada umatnya dari dulu lagi, maka kita semua, umat Baginda yang masih hidup hari ini, sudah pasti dan pasti akan hidup dalam keadaan tidak mengenali Allah dan kita tidak akan melaksanakan segala perintah Allah tapi sebaliknya kita tidak akan meninggalkan segala larangan Allah. Sepertimana yang terjadi kepada saudara-saudara kita di dalam video di atas. Astaghfirullahalaazim.

Sekiranya Baginda berhenti berdakwah kerana telah berasa puashati sebaik sahaja Baginda mengetahui bahawa Allah telah menjamin tempat di syurga buat diri Baginda sendiri, sudah pasti dan pasti kita semua akan menjadi penghuni neraka. Nauzubillah min zalik. 
Kerana itulah, wahai saudara-saudaraku, kita perlu sambung kerja dakwah Nabi ini. Kita kena pergi ke seluruh pelusuk dunia dan buat kerja dakwah ini. Kita kena ada kerisauan mengenai saudara-saudara kita yang lain sepertimana kerisauan yang ada dalam diri Nabi kita. Inilah kerja kita yang sebenar di dunia ini. Untuk sambung kerja dakwah Nabi kita.

Pasti ada yang berkata pula, " saya sendiri pun jahil, banyak hal-hal agama yang saya tak faham dan tak tahu. Macamana pula nak pergi dakwah orang lain? Buat malu saja nanti."
Astaghfirullahalaazim.
Nabi sendiri seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Apabila Baginda mula menerima wahyu dari Allah melalui perantaraan Jibrail, maka Baginda pun mula berdakwah mengajak manusia waktu itu untuk memeluk Islam. Dan kemudian para sahabat Baginda juga menuruti jejak Baginda untuk berdakwah. Dan kerja dakwah berterusan sehinggalah hari ini. Masyaallah. 
Sekalipun usaha dakwah Nabi masih berjalan dan diteruskan, ianya masih tidak mencukupi. Kerana masih ramai lagi saudara-saudara kita yang tertinggal dan belum ditemui untuk didakwahkan. Ramai lagi yang Islam hanya kerana dilahirkan di dalam keluarga Islam. Ramai lagi yang Islam hanya pada nama sedangkan cara kehidupan mereka sangat bertentangan dengan syariat Islam.

Salah siapa semua ini wahai saudara-saudaraku? Salah siapa?
Ya Allah! Semua ini salah kami ya Allah! Kami pentingkan diri kami dan kami terlalu leka dengan tipudaya dunia sehingga kami lupa untuk buat kerja dakwah ya Allah. Kami lupakan saudara-saudara kami diseluruh pelusuk dunia ya Allah. Hingga mereka tidak solat,Tidak tahu baca Fatihah dan tidak kenal Nabi SAW.Apakah yang kami akan jawab di akhirat kelak bila saudara-saudara kami ini datang menuntut hak mereka dari kami. Astaghfirullahalaazim. 

No comments:

Post a Comment