Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Thursday 28 November 2013

CUKUPLAH ALLAH BAGI KU.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Nama saya Kasturi Puteh. Tapi itu bukanlah nama sebenar saya seperti yang tercatat di dalam kad pengenalan saya. Atas kemahuan suami, saya hanya dibenarkan untuk menggunakan nama samaran Kasturi Puteh sahaja sekiranya saya ingin meneruskan hasrat saya untuk menjadi seorang penulis. Sebagai isteri, saya akur dan saya taat. Tambahan pula, saya amat meminati dunia penulisan. Tidak kiralah syarat apa pun yang dikenakan oleh suami (asalkan tidak bercanggah dengan hukum hakam agama), saya akur.

Saya seorang wargaemas, sebenarnya baru sahaja melangkah ke alam wargaemas pada bulan Oktober tahun ini. Saya mempunyai kelulusan ijazah dari universiti tempatan. Merupakan anak sulong dari adik beradik yang ramai. Di lahirkan di sebuah negeri di selatan tanahair tetapi seminggu selepas dilahirkan, saya dibawa ke Kuala Lumpur oleh mak dan ayah saya. Di Kuala Lumpurlah saya dibesarkan. Bersekolah rendah dan menengah di Kuala Lumpur. Mendirikan rumahtangga dan melahirkan lima orang cahayamata saya juga di Kuala Lumpur. Juga bercerai dengan bekas suami di Kuala Lumpur.


Cerai? Ya betul, setelah mempunyai lima orang cahayamata, saya bercerai dengan bekas suami pertama saya. Sebenarnya, penjelasan yang lebih tepat ialah saya yang memfailkan perceraian saya di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur. Melalui perkahwinan pertama ini saya telah melalui pengalaman berumahtangga yang amat perit dalam hidup saya. Dipukul, didera, dihina dan dimalukan, merupakan asam garam kehidupan harian di dalam perkahwinan pertama saya. Dan pengalaman pahit ini juga menjadikan saya seorang ibu tunggal yang keras hati, yang garang, yang tabah dalam membesarkan kelima-lima anak saya sendirian dalam jangkamasa yang agak lama.


Alhamdullillah, atas belas kasihan dan kasihsayang Allah SWT, berbekalkan sedikit kelulusan yang saya miliki, saya berjaya mendaki tangga kerjaya saya dari peringkat bawah sehinggalah saya menjawat jawatan diperingkat pengurusan. Pengalaman hidup yang perit dan juga tekad untuk menjaga dan mendidik anak-anak saya untuk berjaya di dunia dan akhirat telah menjadikan saya berjiwa kental dan tahan lasak dalam menghadapi kehidupan.


Bagaimanapun, semua kejayaan bukan datang dengan mudah dan sekelip mata sahaja. Bukan senang membesarkan lima orang anak sendirian. Semasa mendaki tangga kerjaya, banyak dugaan dan halangan yang saya hadapi. Saya bercerai sebelum saya mendapat pekerjaan tetap. Untuk menyara lima orang anak sendirian tanpa suami adalah satu cabaran yang berat. Saya pernah mengambil upah menggosok baju di kilang baju, pernah juga menjadi tukang masak di rumah orang kenamaan semata-mata kerana saya dibenarkan membawa balik saki-baki lauk-pauk yang sedap-sedap untuk diberi makan kepada anak-anak saya. Saya juga pernah menjadi juruhebah sambilan di stesyen radio,  bangun seawal pukul 3 pagi untuk buat kueh-mueh dan masak nasi lemak yang kemudian saya hantar ke kantin-kantin sekolah berhampiran rumah sewa saya. Pendekata, saya sanggup lakukan apa saja, asalkan saya memperolehi rezeki yang halal untuk menyara kehidupan kami anak-beranak.

Sehinggalah satu ketika, saya ditawarkan untuk bekerja menjadi Penolong Pengurus disebuah badan swasta, bermula dari situlah kehidupan kami anak beranak berubah menjadi lebih baik. Saya dapat menyewa rumah yang lebih selesa, membeli kenderaan untuk kegunaan kami sekeluarga dan sudah mampu untuk membelikan anak-anak baju baru semasa hariraya, membawa anak-anak menjamu selera di tempat makan yang mereka suka dan membawa anak-anak pergi bercuti sekali sekala.


Dalam pada itu, banyak dugaan yang saya hadapi apabila memiliki status 'JANDA'. Tanggapan masyarakat terhadap wanita yang bergelar janda ini, kebanyakannya negatif belaka. Yang perempuan sentiasa memandang saya dengan penuh rasa gerun, khuatir seolah-olah saya akan merampas suami mereka. Manakala yang lelaki pula sering memandang saya dengan lirikan penuh bermakna, seolah-olah janda seperti saya mudah benar  menyerahkan diri saya kepada mereka. Astaghfirullahalaazim.


Tidak saya nafikan, selama menjadi ibu tunggal, ada beberapa lamaran yang saya terima. Baik melalui ayah saya, melalui jiran saya dan ada juga melalui rakan-rakan sepejabat. Tetapi perasaan saya waktu itu seakan-akan fobia dengan alam perkahwinan. Saya khuatir pisang berbuah dua kali. Tambahan pula, pada waktu itu saya sudah pun memiliki hampir segalanya dan saya gembira kerana dapat membesarkan anak-anak saya yang semakin meningkat dewasa dan alhamdullillah berjaya dalam pelajaran.


Tetapi, kita manusia hanya mampu merancang, penentu segala takdir kehidupan kita hanyalah Allah jua. Hampir setiap malam, disaat saya 'mencurah' segala rasa kepada Allah , saya berdoa kepadaNYA, " Ya Allah, andaikata masih ada lagi jodohku dengan sesiapa saja hambaMU di mukabumi ini, maka aku mohon padaMU wahai Allah, temukanlah aku dengan seorang lelaki yang cinta pertamanya DIKAU wahai Allah dan cinta keduanya Rasulullah. Dan jadikanlah rumah pertamanya masjidMu wahai Allah. Sekiranya masih ada lelaki seperti ini, maka KAU jodohkanlah aku dengannya.Amin."


Akhirnya, Alhamdullillah, Allah telah makbulkan doa saya. Melalui seorang rakan sepejabat, saya diperkenalkan kepada suami saya sekarang. Waktu itu, beliau merupakan seorang duda yang kematian isteri dan mempunyai anak-anak yang ramai. Pada pertemuan pertama, dengan ditemani beberapa rakan saya dan rakan beliau, kami saling menyenangi satu sama lain. Ciri-ciri yang ada dalam doa saya setiap malam, memang semuanya ada pada beliau. Masyaallah!


Dipendekkan cerita, lebih kurang 3 bulan selepas pertemuan pertama itu, beliau membawa bapa saudara dan kakak-kakaknya datang meminang saya daripada mak dan ayah saya sendiri. Kami bertunang selama 3 minggu dan selepas itu terus diijabkabulkan dan menjadi suami isteri yang sah, sehingga kini, dan mudah-mudahan kekal hingga ke syurga insya Allah.


Inilah sedikit (rasanya agak banyak juga ni) mengenai diri saya. Beberapa tahun selepas menjadi suami isteri, oleh kerana tugas beliau sebagai Pegawai Kanan Kerajaan memerlukan beliau banyak ke luar negara, maka suami mencadangkan saya meletakkan jawatan saya. Tambahan pula, dengan bilangan ahli keluarga kami yang semakin bertambah : menantu-menantu dan cucu-cucu, maka saya kini menjawat jawatan isteri, ibu dan nenek sepenuh masa, alhamdullillah.


Dan bila saya sudah ada banyak masa duduk di rumah, maka saya ambil kesempatan tersebut untuk melakukan apa yang sangat saya gemari tetapi tidak dapat saya lakukan selama ini. Menulis. Saya berharap dan berdoa kepada Allah semoga melalui hasil-hasil tulisan saya nanti, saya akan dapat berkongsi pengalaman-pengalaman saya agar dapat dijadikan tauladan dan iktibar kepada wanita-wanita lain di luar sana insya Allah. 


Pesanan saya kepada semua wanita-wanita di luar sana : Jangan mudah putus asa bila menghadapi apa-apa masalah. Makin kita diuji, makinlah dekatkan diri dengan Allah SWT. Doa dan terus berdoa. Allah SWT sentiasa mendengar walaupun suaraNYA tidak kedengaran ditelinga kita. Yakinlah, Allah SWT ambil sesuatu dari kita kerana hendak digantikanNYA dengan sesuatu atau seseorang yang jauh lebih baik, insya Allah.












No comments:

Post a Comment