Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Monday 27 January 2014

HARI INI HARI RAJIN SAYA!

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Ehem ehem!

Hari ini ialah hari 'rajin' saya.

Selepas solat Subuh pagi tadi, saya pun terus memandu kereta dan menghantar bakal hafiz dan hafizah saya ke madrasah masing-masing. Selepas itu, saya terus memandu sendirian ke gerai yang menjual kuih karipap kegemaran saya dan membelinya untuk dijadikan sarapan pagi saya. Errr...tolong jangan tanya berapa biji karipap yang saya beli ya...biarlah ianya menjadi rahsia diantara saya dengan makcik yang menjual kuih itu sahaja.
Dari gerai tersebut, saya pun terus memandu menuju ke sebuah bank yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan saya. Alhamdullillah saya dapat meletakkan kereta saya betul-betul di hadapan bank tersebut. Saya pun dengan segera masuk ke dalam Pusat Perbankan Elektronik bank itu dan mengeluarkan sedikit wang dari mesin pengeluaran wang yang terletak di situ.

Setelah selesai urusan mengeluarkan wang, saya pun masuk ke dalam kereta dan terus memandu ke pasar yang terletak tidak jauh dari bank tersebut. Sebenarnya, bagi orang yang memiliki kaki yang sihat, boleh saja kalau berjalan kaki dari bank tersebut menuju ke pasar itu. Tetapi, bagi seorang yang telah melalui pembedahan di kaki sebanyak 2 kali  seperti saya, adalah lebih 'afdal' sekiranya saya memandu saja ke pasar tersebut. Hmmm...kasihan saya.
Hari ini, saya telah merancang untuk membeli beberapa jenis ikan, udang, sotong dan sayur-sayuran  (dan tidak dilupakan dan wajib beli : Tempe!!!) untuk di jadikan lauk pauk selama seminggu. Bila saya tanya harga barang-barang tersebut kepada penjual di gerai, astaghfirullahalaazim! Terperanjat besar saya! Hampir semua barang-barang tersebut sudah naik harga!

" Hari Jumaat hari besarlah kakak. Hari raya Cina. Malam Khamis ada makan besar sama semua ahli keluarga. Itu sebab ikan, udang, sayur semua ada sikit naik lah harga." Terang Ah Keong, penjual di gerai tempat di mana saya sering membeli ikan, udang dan sotong. Saya hanya menggeleng-gelengkan kepala, tanda tidak puashati.
Selepas selesai urusan membeli belah di pasar, saya pun memandu balik ke rumah. Tiba di rumah, saya pun 'mengerah' anak bujang saya (yang masih belajar di sebuah universiti tempatan dan sedang cuti semester sekarang dan asyik menghabiskan masa dengan meng'qada' tidurnya di ruang keluarga rumah saya.) untuk mengangkut semua barang-barang yang saya beli di pasar tadi dan diletakkan di dapur.

" Apa benda yang mak beli ni? Banyak sangat!" Rungut orang bujang saya tu.
" Suruh angkat barang pun nak bising? Tu belum mak minta duit kamu untuk beli, dan belum lagi mak suruh kamu memasak kat dapur." Jawab saya dengan nada memerli.
"Allahuakhbar! Mak ni kan, kita tanya sikit pun tak boleh." Balas anak bujang saya tu sambil membuat muka merajuknya.
"Mak nak masak apa hari ni?" Tanya anak saya itu lagi.
"Adalah. Kenapa? Kamu nak tolong mak masak hari ni?" Tanya saya.
Senyap. Tiada jawapan. Dan bila saya menoleh ke belakang, bayang anak saya tu pun dah tak kelihatan. Bertuah punya anak!
Setelah mengemas dan menyimpan barang-barang yang saya beli tadi, saya lihat jam dinding yang terletak di dapur menunjukkan pukul 8.30 pagi. Masih awal untuk memasak. Oleh kerana hari ini hari rajin saya, maka saya pun terus ke kawasan di hadapan rumah saya dengan niat untuk menjenguk-jenguk kebun kecil saya yang ada pokok-pokok herba dan bunga-bungaan saya.
Dan asbab terlebih rajin hari ini, saya telah mengalih-alihkan beberapa buah pasu-pasu bunga saya mana yang patut, mencabut rumput-rumput yang tumbuh di dalam pasu-pasu pokok-pokok saya, menyemai beberapa benih bunga ke dalam pasu-pasu baru dan selepas itu terus menyiram pokok-pokok saya sekali. Alhamdullillah, puas betul hati saya bila melihat pokok-pokok saya yang tumbuh dengan subur dan bunga-bungaan yang mekar dengan segar bugar di dalam kebun kecil saya itu.
Selesai berkebun, saya masuk untuk berehat sebentar di dalam rumah. Oh ya! semasa berada di kebun kecil saya tadi, saya sempat mencantas pokok daun pandan saya yang tumbuh dengan rimbun sekali. Oleh kerana hari ini hari rajin saya, maka saya telah mengumpulkan semua daun-daun pandan yang saya cantas tadi, terus saya hiris halus-halus untuk dijadikan bunga rampai. Selesai menghiris kesemua daun-daun pandan tu, saya masukkan daun-daun pandan tersebut ke dalam sebuah bakul kecil dan saya letakkan bakul tersebut di atas meja sudut di ruang tamu rumah saya. Dah siap pun pewangi udara semulajadi untuk ruang tamu saya. Baunya...masyaallah! Sungguh semerbak!
Dan selepas menulis entri ini, saya perlu masuk ke dapur untuk mula menyediakan masakan istimewa saya untuk hidangan kami sekeluarga hari ini.
Masakan istimewa? Kenapa pula saya perlu sediakan masakan istimewa hari ini?
Sebab hari ini hari yang istimewa juga untuk saya. Petang nanti, Abang Aji akan balik dari Tongi, Bangladesh. Abang Aji ke sana semenjak hari Khamis minggu lepas untuk menghadiri ijtimak jemaah tabligh di sana.
Sebab tu lah hari ini hari rajin saya!



No comments:

Post a Comment