Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Thursday 23 January 2014

MENGIDAM?

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google



Kebelakangan ni, selera Abang Aji macam orang perempuan bunting sulong yang sedang mengidam. Ada-ada saja lauk pauk dan kuih-muih yang dimintanya.

Minggu lepas semasa saya ke pasar dan singgah di gerai yang menjual sayur dan ulam kampung, ternampak ubi keledek kuning dijual berlonggok-longgok. Tak pula terlintas di fikiran nak buat apa dengan ubi keledek tu tapi saya beli juga selonggok, konon-kononnya, kalau pun tak sempat saya jadikan kuih, boleh saja direbus dan dimakan cecah dengan gula.
Tapi petang tu, bila melihat ubi keledek yang telah siap direbus, datang pula rasa terlebih rajin saya. Terus saya lenyek ubi keledek tu, tambah tepung gandum sedikit dan diuli hingga menjadi doh. Kemudian terus saya bulat-bulatkan dan buat lubang di tengah. Hasilnya, ubi keledek 'bertukar' menjadi kuih keria.
Dan bila dihidangkan kuih keria tu di hadapan Abang Aji sebagai minum petang sebaik saja beliau balik dari pejabat, masyaallah, bukan main berselera lagi Abang Aji...habis semua 5 biji kuih keria yang saya hidang dalam piring tu dimakannya. Sambil tersenyum lebar dan menghabiskan air teh o panas yang saya letakkan beberapa helai daun pudina di dalamnya, Abang Aji pun berkata,"Sayang, esok-esok, bolehlah buatkan Abang Aji kuih rengas pula...dah lama tak rasa kuih rengas."

Dan seperti yang Abang Aji minta, keesokan harinya, sepiring kuih rengas  bersama teh o panas berperisa daun pudina menjadi hidangan minum petang kami sekeluarga. Semakin lebar senyuman suami saya tu.

"Besok Sayang nak buat kuih apa pula untuk Abang Aji? Tak sabar pula nak balik kerja esok," kata Abang Aji sambil menggosok-gosok perutnya yang semakin buncit seperti orang perempuan mengandung 5 bulan.

"Besok Sayang tak  boleh buat kuih apa-apa lagi dah!" jawab saya tegas.

"Eh? Kenapa pula?" tanya Abang Aji sambil memandang saya dengan wajah ingin tahu.

"Sebab, harga gula, harga tepung, harga minyak, harga semua barang dapur dah naik. Kalau nak makan kuih sedap-sedap macam ni, kena bagi naik elaun duit dapur, boleh tak Abang Aji?" jawab saya sambil memandang Abang Aji dengan wajah serius.

"Errr...kalau macam tu, tak mengapalah. Mulai besok, sebelum balik kerja, Abang Aji singgah sajalah kat warung jual kuih muih kat depan sekolah tu, ada macam-macam kuih kat situ. Budak perempuan Indonesia yang jadi pembantu kat situ pun, baik budibahasanya dan manis juga senyumannya," jawab Abang Aji dengan selamba.

Abang Ajiiiii!!!!!






1 comment: