Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Monday 13 January 2014

TAK RELA SEJARAH BERULANG.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Alhamdullillah, semua anak-anak saya telah Allah kurniakan dengan kejayaan dalam bidang akademi semenjak mereka berada di sekolah rendah lagi. Masa tu, bila saja diadakan Hari Ibubapa (itu panggilan lama. Kalau tak silap saya, sekarang dinamakan Hari Anugerah Pelajar Cemerlang, betul tak?), pasti anak-anak sayalah yang akan kerap naik ke atas pentas untuk menerima hadiah. Pendekata, selama ada anak-anak saya di sekolah tersebut, maka setiap tahunlah saya akan duduk di kerusi barisan depan untuk meraikan anak-anak saya itu. Sehinggakan, pernah satu masa, ada guru berkata kepada saya , " Kak, tahun depan, kena bawa guni besar datang masa Hari Ibubapa  sebab asyik anak-anak akak saja yang sapu hadiah-hadiah ni." 

Bagaimanapun, ketika ibubapa lain sibuk mengisi borang untuk memohon tempat untuk memasukkan anak-anak mereka ke sekolah menengah berasrama penuh, saya hanya sibuk menguruskan hal persekolahan anak-anak saya di sekolah harian biasa saja.
Ramai guru-guru termasuk gurubesar di sekolah berasa pelik dengan tindakan saya itu.
"Kenapa tak nak masukkan anak kakak ke sekolah berasrama penuh? Anak kakak pelajar terbaik sekolah ni. Ibubapa yang lain berusaha sedaya upaya untuk dapatkan tempat untuk hantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh, tapi kakak ni sebaliknya pula. Kenapa kak?" Tanya guru kelas anak sulong saya, Ina, selepas saya memberitahu kepadanya yang anak saya akan meneruskan pelajaran tingkatan 1 di sekolah menengah harian sahaja. Saya hanya tersenyum dan diam saja tanpa menjawab soalan guru tersebut.
Kenapa saya mengambil tindakan begini? Saya merupakan anak sulong dari sebuah keluarga yang besar. Boleh dikatakan, hampir setiap tahun mak saya akan menambah bilangan kami adik beradik sehingga menjadi satu keluarga yang ramai 'keahliannya'.

Sebagai anak yang sulong, sayalah yang selalu disuruh mak untuk membantu beliau  memikul tanggungjawab menguruskan hal ehwal rumahtangga terutamanya menguruskan makan pakai adik-adik saya yang masih kecil. Barangkali, itu merupakan salah satu sebab saya menjadi cepat matang kalau dibandingkan dengan budak-budak sebaya saya waktu itu. Bayangkan, seawal usia 11 tahun lagi, saya sudah boleh memasak dan menyediakan hidangan untuk mak, ayah dan semua adik-adik saya.
Dan barangkali juga, asbab kesibukan membantu mak menguruskan hal ehwal rumahtangga juga adik-adik saya, maka saya kurang memberi perhatian kepada pelajaran saya sendiri. Akibatnya, saya tidak mendapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan penilaian saya dan tidaklah berpeluang untuk memasuki sekolah menengah berasrama penuh. Saya hanya menyambung persekolahan peringkat menengah saya di sekolah menengah harian biasa sahaja.
Berbeza pula dengan adik-adik saya. Mereka tidak diberi tanggungjawab menguruskan rumahtangga sepenuh masa seperti saya, kalau ada pun, hanya setakat membantu sedikit mana yang patut sahaja. Jadi, mereka mempunyai banyak masa untuk mentelaah pelajaran mereka. Dan sudah pasti, keputusan peperiksaan mereka sentiasa cemerlang. Dan bila sampai masa untuk memasuki sekolah menengah, tidak ada seorang pun dari adik-adik saya yang memasuki sekolah menengah harian seperti saya, semua adik-adik saya berjaya memasuki sekolah menengah berasrama sebaik saja memasuki tingkatan 1. Maka 'berpisahlah' kami adik beradik, dan yang tinggal di rumah, hanyalah saya sahaja bersama-sama adik-adik yang masih kecil, dan semakin bertambah setiap tahun.
Oleh kerana adik-adik yang duduk di sekolah berasrama hanya balik ke rumah semasa cuti sekolah sahaja, maka secara tidak langsung hubungan saya dan mereka menjadi....renggang. Adik-adik saya boleh berkomunikasi dengan mudah sesama mereka kerana mereka belajar di dalam suasana yang sama tetapi bila saya berada dikalangan mereka, mereka beranggapan yang saya 'tidak tahu dan tidak faham' apa yang sedang mereka bincangkan kerana saya tidak bersekolah di sekolah berasrama dan hanyalah belajar di sekolah menengah biasa sahaja. Sedih tau bila 'dipinggirkan' begitu oleh adik-beradik sendiri.
Ada juga adik-adik saya yang berubah setelah menjadi pelajar sekolah berasrama. Berubah dari baik menjadi kurang baik dari segi tingkah laku, akhlak dan juga cara penampilan diri. Dan saya memerhatikan semua ini dengan rasa sedih.

Disebabkan pengalaman yang pernah saya alami  dengan adik-adik saya inilah, maka apabila saya telah mempunyai anak-anak sendiri, maka saya tidak benarkan sama sekali walau seorang pun anak-anak saya memasuki sekolah berasrama penuh. Biarlah pandai dan cemerlang macamana sekalipun anak-anak saya dalam pelajaran mereka di sekolah. Untuk menghantar mereka ke sekolah berasrama penuh, sama sekali tidak! Bak kata orang tua-tua : PANTANG TOK NENEK! 
Tambahan pula setelah menjadi ibu tunggal dan membesarkan anak-anak saya sendirian, maka saya sentiasa cuba memastikan agar semua anak-anak saya sentiasa ada bersama-sama saya. Saya didik mereka supaya menyayangi, menghormati dan melindungi satu sama lain. Saya tidak mahu hubungan anak-anak saya renggang, sepertimana renggangnya hubungan saya dengan adik beradik saya. Dan saya tidak mahu anak-anak saya berubah dari baik menjadi kurang baik dari segi tingkah laku, akhlak dan juga cara penampilan diri seperti yang pernah berlaku kepada beberapa orang adik-adik saya. Saya tak mahu sejarah berulang!
Jadi, dari anak-anak saya di sekolah rendah lagi, sehingga mereka memasuki sekolah menengah, tidak ada seorang pun anak-anak saya yang belajar di sekolah berasrama. Saya gembira bila melihat semua anak-anak saya ada di rumah disebelah malam. Mereka sama-sama menyelesaikan kerja sekolah dan pelajaran masing-masing, makan bersama-sama dan juga sama-sama membantu saya menguruskan rumahtangga. Pendekata, semua anak-anak saya menjadi sangat akrab dengan satu sama lain. 

Bayangkanlah, begitu rapatnya hubungan antara anak-anak saya dengan satu sama lain, dan juga dengan saya sendiri, hinggakan pada satu ketika apabila anak sulong saya diwajibkan menghadiri perkhemahan untuk pengawas-pengawas sekolahnya dan perlu bermalam pula di sekolah, saya dan adik-adiknya sanggup tidur di dalam kereta yang saya letakkan di tepi sekolah semata-mata kerana kami sekeluarga tidak dapat tidur kerana rindu dan risaukan beliau.
Bagaimanapun, apabila anak-anak saya mula melangkah keperingkat universiti, mahu tak mahu, akhirnya saya terpaksa juga melepaskan anak-anak saya duduk di asrama. Memang bukan sesuatu yang mudah untuk kami sekeluarga berpisah, terutamanya diri saya sendiri. Sehinggakan semasa anak sulong saya mendaftar masuk ke UKM Bangi, saya berura-ura pula untuk mencari rumah sewa berhampiran universiti tersebut supaya tidak terlalu jauh berpisah dengan anak saya tu. Sampai macam tu sekali!
Bagaimanapun sekarang, alhamdullillah, selepas mendirikan rumahtangga hampir 10 tahun dengan Abang Aji, dan juga selepas seorang demi seorang anak-anak saya  berumahtangga dan berpindah ke rumah mereka sendiri, perlahan-lahan saya mulai sedar bahawa selama ini saya MUNGKIN terlalu melindungi dan MUNGKIN juga terlalu mengongkong anak-anak saya. Tapi, itu tidak bermakna saya telah bersedia untuk melepaskan 2 orang lagi anak-anak saya yang berumur 14 dan 15 untuk belajar dan tinggal di madrasah berasrama. Apatah lagi bila mendengar dan membaca berbagai berita dan cerita mengenai penderaan dan kes-kes 'pelik' yang berlaku di sekolah/madrasah berasrama, astaghfirullahalaazim, semakin bertambah rasa khuatir saya untuk melepaskan 2 orang anak saya itu.
Dan yang bagusnya, Abang Aji sendiri sangat bersetuju dan menyokong tindakan saya untuk tidak menghantar anak-anak saya yang  berusia 14 dan 15 tahun itu ke madrasah berasrama.
"Biarlah anak-anak tu duduk dengan kita dulu. Bukan lama lagi, pejam celik pejam celik, mereka pun jadi dewasa. Dan bila dah berkeluarga nanti, mereka akan tinggalkan kita juga" kata Abang Aji kepada saya.

Saya bersetuju dan menyokong pendapat suami saya itu 100%! Insya allah.












No comments:

Post a Comment