Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Wednesday 8 January 2014

JAMPI MENTERA.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Semasa saya baru memasuki alam berumahtangga, almarhumah ninda saya ada memberikan beberapa pesanan mengenai kehidupan berumahtangga. Antara pesanan beliau kepada saya, " kalau nak suami selalu ingat kat kita, nak suami sentiasa balik ke rumah jumpa kita, kita kena 'tawan' perut suami dulu." 
'Tawan' perut suami? Mula-mula saya pun tak faham apa maksud ninda saya itu. Tapi bila saya perhatikan cara beliau melayan suaminya, iaitu almarhum datuk saya, barulah saya faham. Rupanya maksud 'tawan' perut suami itu ialah dengan menyediakan dan menghidangkan makanan kesukaan suami setiap hari terutamanya bila suami balik dari bekerja.
Alhamdullillah, pesanan ninda saya itu masih saya amalkan sampai sekarang insya allah. Dan memang tidak dinafikan, strategi 'menawan'' perut suami itu adalah salah satu faktor utama yang membuat suami saya selalu tertarik untuk terus balik ke rumah sebaik saja habis waktu pejabat.
Mana tidaknya, belum pun sampai ke rumah, semasa dalam perjalanan balik dari pejabat, awal-awal lagi suami saya akan menelefon dan bertanya, "Sayang masak apa untuk Abang Aji hari ni?". Dan saya akan memberitahu Abang Aji juadah yang telah saya sediakan untuk beliau hari itu. Yang pasti, apapun juadah kesukaan Abang Aji yang saya sediakan hari itu, hidangan itu tidak akan lengkap tanpa kehadiran satu benda penting yang amat menjadi kegemaran Abang Aji...tempe goreng!
Sebagai seorang isteri dan juga sebagai seorang mak, mak mertua dan juga seorang nenek, adalah menjadi satu kepuasan kepada saya apabila saya dapat memasak untuk suami, anak-anak, menantu-menantu dan juga cucu-cucu saya. Apatah lagi, bila melihat mereka makan dengan penuh berselera sambil menikmati masakan-masakan saya, masyaallah, saat itu hilang semua rasa penat lelah semasa memasak.
Malah, semakin bersemarak pula rasa rajin untuk memasak lagi dan lagi untuk semua ahli keluarga saya itu.
Abang Aji pernah bertanya kepada saya,"Kenapa bila Abang Aji makan kat luar, lauk yang sama, tapi rasanya berbeza? Apa yang Sayang letak dalam masakan Sayang sampai Abang Aji selalu teringat-ingat kat masakan Sayang ni?"
Dan saya dengan selamba berkata kepada Abang Aji, " Sayang tak letak apa-apalah Abang Aji. Sayang cuma jampi saja."
Saya perhatikan airmuka Abang Aji berubah semasa mendengar jawapan saya itu.
"Jampi? Astaghfirullahalaazim! Biar betul! Sayang pakai jampi mentera apa kat Abang Aji ni?" Tanya Abang Aji kepada saya dengan nada cuak.
"Abang Aji nak dengar jampi mentera yang Sayang gunakan tu?" tanya saya kembali kepadanya.
"Eh! Mestilah nak dengar." jawab Abang Aji.
"Haaa..Abang Aji dengar baik-baik ya? Mula-mula menumis, Sayang akan beristighfar 3 kali. Selepas tu, Sayang akan berselawat 3 kali. Dan bila Sayang mula menumis, Sayang akan kacau tumisan tu ikut arah tawaf Kaabah." Saya menerangkan satu persatu kepada Abang Aji yang mendengar dengan tekun.
"Itu saja?" Tanya Abang Aji.
"Ehhh! Ada lagi! Itu baru muka mukadimah saja Abang Aji. Sambil mengacau tumisan, Sayang akan baca jampi mentera ajaib Sayang tu." Terang saya lagi kepada Abang Aji.
"Cuba baca jampi mentera ajaib Sayang tu bagi Abang Aji dengar," pinta Abang Aji seperti tidak sabar-sabar lagi untuk mengetahui jampi mentera apa yang telah saya gunakan selama ini.

"Begini jampi menteranya Abang Aji : 'Sahaja aku masak makanan ini lillahitaala. Semoga sesiapa saja yang makan masakanku ini terutamanya suamiku, anak-anakku, menantu-menantuku dan cucu-cucuku akan mengasihiku dan mengasihaniku dari dunia sampai akhirat lillahitaala. Dan pilihlah kami semua untuk menjadi daeMU dan jadi asbab hidayat tersebar keseluruh alam wahai Allah. Amin amin amin ya rabbal alamin.' Sambil tu Sayang akan banyakkan beristighfar sehingga selesai memasak." Saya memberitahu Abang Aji jampi mentera ajaib yang saya gunakan selama ini semasa memasak untuk keluarga kami.

Saya lihat Abang Aji tersenyum lega dan memandang saya dengan penuh kasihsayang. Kemudian Abang Aji memegang tangan saya, mengucupnya sambil berkata, " Abang Aji redha Sayang terus jampi Abang Aji, anak menantu juga cucu-cucu kita insya allah."

Masyaallah, syahdu sungguh rasanya waktu itu.
Subhanallah! Alhamdullillah! Allahuakhbar!

Nota tambahan : 
Apa yang saya lakukan di atas, dari mula saya menumis makanan sehingga saya selesai memasak, adalah antara adab-adab memasak ikut cara para sahabiah insya allah.
Seelok-eloknya, semasa kita memasak, hendaklah kita dalam keadaan berwudhuk dan juga menutup aurat.
Banyakkanlah beristighfar semasa memasak, kerana kata orang alim, apabila kita memasak dengan zikrullah, maka sesiapa yang makan masakan kita itu, hatinya akan lembut dan mudah melakukan amal ibadat. Sedangkan, jika kita memasak sambil menyanyi-nyanyi dan bercakap-cakap tentang hal-hal dunia, maka sesiapa yang makan masakan tersebut, hatinya menjadi keras dan berat untuk beramal ibadat.
Apatah lagi, sekiranya masakan yang kita makan itu, di masak oleh orang yang tidak beriman yakni yang tiada kalimah syahadah di dalam hatinya. Astaghfirullahalaazim.
Jadi, kalau nak beli atau makan makanan di luar, tengok-tengoklah dahulu siapa yang memasaknya ya? Insya allah.





No comments:

Post a Comment