Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Wednesday 22 January 2014

PENYESALAN YANG TIDAK MENGUNTUNGKAN.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google


Terasa lama benar saya tidak menulis di blog saya ini, Astaghfirullahalaazim.

Sebenarnya pada hari Jumaat minggu lepas, Abang Aji telah bawa saya dan Yaya keluar khuruj fisabilillah selama 3 hari dengan jemaah masturat, Alhamdullillah.

Jemaah masturat ialah beberapa pasangan suami isteri yang keluar sebagai satu jemaah untuk menyambung kerja dakwah Rasulullah. Selalunya dalam satu jemaah masturat terdapat 5 atau 6 pasangan suami isteri. Dan ada ketikanya salah satu pasangan di dalam jemaah tersebut akan membawa bersama seorang anak perempuan mereka yang berusia di atas 12 tahun insya allah.


Selalunya jemaah masturat 3 hari ini akan dihantar ke kawasan berhampiran dengan kawasan tempat tinggal mereka. Kali ini, jemaah masturat kami dari Sri Petaling telah dihantar ke kawasan Segambut.

Para isteri dan anak perempuan yang berada di dalam jemaah masturat akan tinggal selama 3 hari di dalam rumah ahli jemaah di kawasan tersebut. Manakala para suami pula (termasuk suami dan anak lelaki tuanrumah tempat dimana jemaah wanita ditinggalkan tadi) akan beriktikaf di surau atau masjid yang berhampiran dengan rumah tersebut. Pendekata, di dalam rumah tadi, tidak ada langsung lelaki yang baligh di dalamnya, yang tinggal hanyalah isteri dan anak-anak perempuan tuanrumah, juga para isteri dan anak perempuan jemaah masturat tadi, insya allah.
Selama berada di dalam rumah tersebut, semua para isteri dan anak perempuan ahli jemaah dan juga isteri tuanrumah dan anak-anak perempuan mereka akan duduk bersama di dalam majlis-majlis ilmu yang telah diadakan. Antaranya, majlis taaleem, halaqah al-Quran, belajar adab-adab kehidupan seharian ikut cara sunnah, percakapan tentang kebesaran Allah, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dan juga lain-lain program ilmu. Juga digalakkan untuk menambah amal ibadat seperti solat-solat sunat, zikrullah dan pembacaan al-Quran, Alhamdullillah.


Pendekata, selama 3 hari berada di dalam rumah tersebut, ahli jemaah dapat menimba ilmu dan membuat amal ibadat insya allah.


Biasanya, pada sebelah petang, ahli jemaah lelaki akan datang untuk memberikan bayan kepada kaum wanita. Bayan  merupakan percakapan ataupun peringatan tentang kebesaran Allah, tentang perintah-perintah Allah dan juga laranganNYA.

Saya ingin berkongsi sedikit petikan dari bayan petang yang telah diadakan semasa saya khuruj fisabilillah baru-baru ini.

"Allah telah hantar kita ke dunia ini untuk satu masa yang singkat sahaja. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini, satu hari pasti akan pergi dan meninggalkan dunia ini. Dalam dunia ini tiada siapa yang tinggal selama-lamanya. Dunia bukan tempat kita tinggal tetapi dunia ialah tempat kita berurusan, kita datang dan pergi, kita berjalan dalam satu perjalanan, kita bernafas demi nafas dan semakin umur kita bertambah, setiap langkah kita semakin menghampiri alam kubur.


Kehidupan dunia adalah kehidupan yang sementara dan terlalu singkat. Kehidupan akhirat adalah kehidupan yang begitu panjang dan siapa yang pergi ke sana, mereka tidak akan kembali lagi. Kehidupan akhirat adalah untuk selama-lamanya dan tiada kesudahan.

Dalam kehidupan akhirat Allah akan memberi kita samada kejayaan atau kegagalan. Ini bergantung kepada kehidupan kita di dunia ini. Semasa kita berada di dunia ini dalam waktu yang singkat, kita dapat menyediakan kehidupan kita di akhirat  iaitu dengan cara kita membetulkan amal kita. Kita wajib mentaati segala perintah Allah  seperti yang dilakukan Nabi, iaitu kita hidup dengan menghidupkan sunnah Rasulullah, cara kehidupan yang Allah suka. Maka apabila kita hidup dengan cara yang Allah suka maka semasa kehidupan kita di akhirat Allah akan beri kejayaan kepada kita. Kejayaan untuk memasuki syurga dan tinggal di dalamnya selama-lamanya.


Semasa di akhirat, Allah akan muliakan kita, Allah akan tinggikan darjat kita dan Allah akan beri nikmat kepada kita yang mana tidak terfikir pun oleh manusia. Nikmat yang paling besar ialah mendapat keredhaan Allah yakni Allah  redha dengan kita. Itulah nikmat yang paling besar di sisi Allah  dan itulah zaulah yang sangat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambaNya.

Sesungguhnya sekarang kita menuju kepada kebinasaan dan kecelakaan. Mengapa? Kerana kita telah letakkan perintah Allah di belakang kita dan kita telah tinggalkan usaha dan agama di belakang kita, kita sibuk dengan dunia kita, kita letak dunia di hadapan kita sehingga kita melekakan amalan-amalan akhirat. Sesungguhnya kita telah menzalimi diri kita sendiri.

Kita telah meletakkan diri kita dalam kebinasaan kerana kita meletakkan perkara-perkara dunia di hadapan kita dan meletakkan akhirat di belakang kita, usaha untuk akhirat kita belakangkan. Apabila kita meninggal, dunia akan berlalu meninggalkan kita dan kita akan menuju akhirat dan akan menyesal disana. Barulah kita bertanya kepada diri sendiri mengapa kita telah merosakkan kehidupan kita di dunia ini dan mengapa kita tidak berusaha untuk akhirat? Penyesalan di akhirat tidak memberi sedikit manafaat pun kepada kita dan kita tidak akan memperolehi apa-apa lagi kerana usaha untuk kita melakukan amalan hanyalah di dunia dan ia telah berlalu dan tempat untuk menyediakan amalan akhirat juga telah tinggalkan kita. Walaupun kita benar-benar menyesal tetapi penyesalan itu tidak memberi keuntungan kepada kita kerana masa yang Allah telah peruntukan kepada kita telah berlalu.

Sekarang kita bina rumah yang besar untuk hidup di dunia ini dan kita sangka apabila kita dapat makanan yang bagus, rumah yang bagus, kenderaan yang bagus maka kita telah berjaya di dalam kehidupan kita. Sebenarnya itu bukanlah kejayaan. Orang yang berjaya ialah orang yang telah mengamalkan kehidupan beragama iaitu segala anggota tubuh badannya digunakan untuk mengikuti perintah Allah. Apabila kita menjalani kehidupan kita dengan mengikuti dan mentaati perintah Allah dan menghidupkan sunnah Rasulullah, sesungguhnya itulah kejayaan hidup yang sebenar. Jika kita lakukan amalan-amalan yang baik dengan anggota kita maka Allah  akan beri kejayaan kepada kita. Kejayaan  bukan kerana kita ada harta, mendapat pangkat, kemuliaan atau kebolehan kita tetapi adanya amalan-amalan yang dituntut oleh Allah dalam kehidupan kita. Apabila adanya kehidupan yang berlandaskan perintah-perintah Allah maka Allah akan menurunkan kebaikan-kebaikan bukan sahaja di dunia ini malah diakhirat nanti. Allah akan beri ganjaran-ganjaran dengan nikmat yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga kita dan tidak pernah terlintas pun di hati kita.'


Jadi, kenapa kita masih ragu-ragu untuk hidup ikut cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi? Sedangkan Nabi adalah kekasih Allah  yang telah dihantar untuk menjadi contoh, untuk menjadi idola yang akan membolehkan kita menempah tempat di syurga? Kenapa masih mengagung-agungkan idola yang tidak pun mengaku bahwa ALLAH itu Tuhan yang satu yang patut disembah?
Semoga apa yang telah saya kongsikan tadi akan dapat sama-sama kita fahami, akan dapat kita amalkan dan akan dapat kita sampaikan dan kongsi dengan saudara-saudari kita yang lain, insya allah.





No comments:

Post a Comment