Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Thursday 16 January 2014

PUJAAN HATIKU.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google



Siapa nak teka siapakah jejaka ni? Adakah ini Abang Aji saya? Kalau betullah begini paras rupa Abang Aji saya, jangan harap saya akan pamerkan langsung gambar Abang Aji dalam blog saya ni! Malah, saya akan simpan gambar Abang Aji, dengan Abang Aji sekali, dalam peti besi yang kuncinya hanya ada pada saya! Hehehe...begitulah tahap cemburu saya pada Abang Aji saya. Astaghfirullahalaazim.

Nama jejaka yang berwajah kacak di dalam gambar di atas ialah Omar Borkan Al Gala. Warga Arab Saudi. Omar pernah dihalau keluar dari satu festival yang diadakan di Arab Saudi, semata-mata kerana rupanya yang terlalu kacak yang dikhuatiri akan menyebabkan kaum wanita yang menghadiri festival itu  teruja, tidak dapat mengawal diri dan tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada acara yang diadakan di festival tersebut. Susah juga jadi orang yang kacak ni ya?  Astaghfirullahalaazim.

Selepas membaca kisah Omar ni, saya teringat kepada kisah Nabi Yusuf a.s. yang dikatakan sebagai lelaki paling kacak rupa parasnya yang telah dicipta Allah SWT. Kalaulah melihat gambar Omar ni pun, orang perempuan dah rasa teruja, bagaimanalah pula agaknya rupa paras Nabi Yusuf a.s. sehingga Zulaikha tergila-gilakannya. Dan apabila Nabi Yusuf melintasi majlis yang dihadiri oleh wanita-wanita yang dijemput oleh Zulaikha di istananya, semua wanita tersebut begitu terpesona dan teruja selepas melihat rupa paras Nabi Yusuf a.s. sehingga mereka tidak menyedari yang mereka telah terpotong jari masing-masing dengan pisau pemotong buah yang disediakan. Astaghfirullahalaazim.
Adakah rupa paras seseorang lelaki itu menjadi salah satu faktor penting semasa kita memilih calon suami? Hmmm...kalau soalan itu diajukan pada saya, maka jawapan saya ialah...50 50. Maksudnya, tak perlulah kacak seperti Omar, tapi janganlah pula 'terlebih kacak' seperti Popeye! Bak kata orang sekarang, asalkan sedap mata memandang cukuplah, Alhamdullillah.

Melalui pengalaman perkahwinan saya yang terdahulu, rupa paras yang kacak yang ada pada seorang suami, lebih banyak mendatangkan huru-hara dari mendatangkan kebaikan di dalam sesebuah rumahtangga. Dan saya juga belajar bahawa seorang suami yang memiliki rupa paras yang 'biasa-biasa' saja tetapi mempunyai pengetahuan agama yang baik dan hidup dengan berpandukan al-Quran dan hadis, adalah jauh lebih baik dan membahagiakan sesuatu perkahwinan insya allah.

Jadi, nasihat saya kepada anak-anak dan adik-adik muslimat yang sedang dalam dilema nak memilih jejaka yang mana satu untuk dijadikan bakal suami, carilah lelaki yang ada latarbelakang pendidikan agama yang baik dan juga mengamalkan ilmu agama yang dimilikinya itu insya allah. Sebab, kalau ada ilmu tapi tidak mengamalkannya pun tidak berguna juga. Dengan memiliki ilmu agama yang baik, insya allah, seorang suami akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga  seperti yang dituntut dalam agama insya allah.
Abang Aji saya hanyalah lelaki yang 'biasa-biasa' saja. Tapi, kalau diletakkan Abang Aji berdiri bersebelahan Omar Borkan Al Gala, insya allah, Abang Aji tetap menjadi pujaan hati saya. Semoga kasihsayang dan rasa cinta kami terhadap satu sama lain kekal dari dunia ini sampai ke syurga, lillahitaala, insya allah.





No comments:

Post a Comment