TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh & Google
Hampir setiap hari saya menanti kehadirannya. Setiap kali terdengar bunyi motosikal melintas di hadapan rumah, pasti saya terjenguk-jenguk di jendela, adakah motosikal tersebut akan berhenti di hadapan pintu pagar rumah saya. Namun, hampa.
Membaca kegembiraan rakan-rakan sekelas yang telah menerima hadiah masing-masing, menambah lagi kerisauan di dalam hati. Rasa cemburu pun datang bertamu juga. Timbul juga sedikit rasa buruk sangka. "Apakah beliau terlupa untuk mengirimkan hadiah buatku? Atau mungkin alamat yang aku berikan kepadanya tersilap di mana-mana?" Astaghfirullahalaazim.
Tanggal 1 Januari 2014. Saya dan suami sibuk menguruskan hal anak kami Amin yang berpindah ke madrasah baru. Urusan pendaftaran, membelikan barang-barang keperluan dan lain-lain hal yang berkaitan, meragut separuh dari hari cuti am itu dari kami. Sebaik sahaja segala urusan selesai, saya dan suami pulang ke rumah. Sebelum memasuki pintu rumah, tergerak dalam hati saya untuk memeriksa kotak surat yang terletak di tembok rumah. Astaghfirullahalaazim. Rupanya ada yang telah singgah di rumah kami semasa ketiadaan kami. Barangkali kerana keletihan menekan loceng pagar berkali-kali dan tiada sesiapa yang keluar menyambutnya, maka si penghantar bingkisan meninggalkan 'surat pesanan' kepada saya untuk memberitahu bahawa dia sudah singgah tapi saya yang tiada.
Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam rumah, dengan segera saya menelefon nombor yang tertera untuk memohon agar bingkisan tersebut di hantar kepada saya semula. Tapi, malangnya, jawapan yang di terima daripada suara yang dirakamkan di mesin memaklumkan bahawa urusan hanya boleh dilakukan semasa hari bekerja sahaja. Astaghfirullahalaazim. Sekali lagi saya dilanda rasa hampa.
Keesokan harinya, sebaik sahaja waktu pejabat bermula, barangkali sayalah di antara pelanggan paling awal menghubungi talian khidmat pelanggan Poslaju. Selepas memberikan butiran yang tercatat di dalam surat pesanan yang saya terima, pegawai berkenaan memaklumkan kepada saya bahawa penghantaran kali kedua cuma dapat dilakukan keesokan harinya. Astaghfirullahalaazim. Memang Allah mendidik saya untuk belajar bersabar lagi. " Insya allah, besok sampailah tu," saya memujuk diri sendiri.
Dan akhirnya, petang semalam, bingkisan yang ditunggu selama beberapa ini, sampai ke tangan saya. Alhamdullillah. Pembantu rumah saya, Yanti, yang awal-awal telah saya maklumkan tentang penantian saya itu, turut teruja apabila mendengar bunyi motorsikal berhenti di hadapan pagar rumah saya dan membunyikan loceng tembok rumah saya."Ibu, hadiahnya sudah 'sampei' " kata Yanti kepada saya, masih dengan pelat bahasa ibundanya, bahasa Jawa.
Sebelum sempat saya membuka mukasurat pertama, anak dara bongsu saya yang baru pulang dari madrasah telah 'menyambar'nya dan memberitahu saya, "Mak, biar Yaya baca dulu ya Mak?". Hmmm...kena tunggu lagilah jawabnya.
Apapun, jazakumullahu khairan Cikgu Monalita atas kiriman hadiahnya untuk saya. Kabus rindu yang singgah dalam hati saya sehari dua ini semasa menanti kehadiranNYA disisi, bakal terubat nanti insya allah.
Assalamualaikum Kak Kasturi Puteh, seronoknya, saya masih sabar menanti ni. Mujur Cikgu Monalita memahami :)
ReplyDeleteSemoga Yaya terhibur dengan telatah Yaya tu...Dia memang gila-gila, tapi dia sayangkan mamanya. Cuma kadang-kadang dia sukar nak mengungkap rasa sayang dengan caranya yang kasar tu.
ReplyDeleteSiti Nurulhusna, sabar ya.