Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Saturday, 4 January 2014

SAYANG BINI.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Kata orang, hidup ini umpama roda, ada masa di atas, ada masa di bawah. Ada masa gembira, ada kalanya berduka nestapa.
Kebelakangan ini, saya sering berasa gundah gulana. Saya sendiri kurang pasti sebab musababnya. Petang kelmarin, semasa sedang duduk-duduk bersama Abang Aji dan anak-anak, hanya kerana satu perkataan yang diucapkan oleh Abang Aji, saya menjadi sebak dan tiba-tiba menangis tersedu sedan. Terperanjat Abang Aji dibuatnya! Selama ini isteri kesayangannya ini, memang seorang yang mudah bergurau senda dan mudah ketawa. Katalah apapun, saya tak kan mudah berkecil hati apatah lagi sehingga mengalirkan airmata kesedihan. 
Dan pagi-pagi tadi, selepas bersarapan pagi dengan Abang Aji dan anak-anak, saya minta izin dari Abang Aji untuk keluar sebentar.
"Sayang nak ke mana?" Abang Aji bertanya sambil berkerut dahinya memandang saya.
"Keluar ambil angin sekejap." Kata saya sambil mencium tangannya.
"Abang Aji temankan ya? Beritahu saja nak ke mana, kita pergi sama-sama." Kata Abang Aji lagi sambil memegang tangan saya.
"Tak payahlah. Sayang nak keluar sekejap saja. Nak bawa kereta pusing sekeliling kawasan perumahan kita ni saja. Lepas tu Sayang baliklah." Jawab saya sambil mengambil telefon bimbit dan dompet saya, juga kunci kereta di kotak menyimpan kunci yang tergantung di dinding ruang keluarga kami.
Dan tanpa menoleh kebelakang lagi, saya pun terus keluar dari rumah dan melangkah masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin dan terus memandu kereta keluar dari kawasan rumah kami. 
Sambil memandu perlahan-lahan ke destinasi yang saya sendiri tidak ketahui, saya menangis. Saya pun menghentikan kereta di tepi jalan, betul-betul berhadapan restoran mamak kegemaran saya dan suami yang selalu kami kunjungi untuk bersarapan pagi.
Tiba-tiba...cermin tingkap saya diketuk.
Saya menoleh ke kanan dan mendapati Abdullah, pengurus merangkap pelayan di restoran itu sedang tercegat di luar kereta saya sambil mengetuk cermin tingkap kereta saya.
Saya pun menurunkan cermin tingkap kereta.
"Akak, ada mau order ka?" Abdullah bertanya kepada saya. Tapi sebaik sahaja Abdullah melihat mata saya yang masih berlinangan dengan airmata, dia kelihatan sedikit terperanjat.
"Akak, Aji mana?" Abdullah bertanya tentang Abang Aji saya.
"Ada kat rumah." Balas saya, ringkas.
"Akak sama Aji ada gaduh ka?" Abdullah bertanya lagi dengan penuh rasa curiga.
"Eh! Tak ada lah. Akak tak sihat saja." Jawab saya pula dengan jawapan untuk memuaskan hati Abdullah.
"Abdullah, tolong buat 3 bungkusan, isi macam biasa. 1 bungkus teh tarik dan 3 keping roti canai kosong ya?" Saya membuat pesanan kepada Abdullah.
"Kakak tunggu kat sini ok?" Saya memberitahu Abdullah.
"Ok akak. Tunggu sekejap." Balas Abdullah.
Tak sampai 15 minit kemudian, Abdullah membawa 3 bungkusan seperti yang saya minta.
"Berapa semua Abdullah?" Tanya saya.
"Empat belas ringgit akak." Jawab Abdullah.
Dan saya pun menyerahkan duit sebanyak empat belas ringgit kepadanya.
Saya pernah mendengar ceramah dari orang alim yang memberitahu, sekiranya hati rasa sedih dan gundah gulana, maka salah satu ubat yang mujarab ialah dengan memberi sedekah. Sebenarnya itulah yang sering saya lakukan, terutamanya akhir-akhir ini bila rasa sedih dan sayu yang entah dari mana datangnya singgah di sanubari saya.
Jadi, berbekalkan 3 bungkusan yang setiap satunya berisi  teh tarik dan juga 3 keping roti canai, saya pun memandu disekitar kawasan perumahan saya untuk mencari penerima yang sesuai untuk menerima sedekah saya itu.
Dah akhirnya, alhamdullillah, sedekah saya itu sampai ke tangan seorang makcik tukang sapu sampah yang sedang menyapu di tepi jalanraya, seorang pengawal keselamatan yang sedang duduk di tepi sebuah bank dan juga seorang atendan di stesyen minyak.
Alhamdullillah, selepas itu, saya rasa lega sedikit dan terus memandu balik ke rumah. Setibanya saya di rumah, saya dapati Abang Aji sedang duduk di balkoni berhampiran taman kecil saya, sesuatu yang sangat jarang beliau lakukan. Barangkali sedang menanti kepulangan saya dengan risau.
"Dah selesai dah?" Tanya Abang Aji sebaik sahaja saya mencium pipinya.
"Selesai? Selesai apa pula?" Tanya saya pula kehairanan.
"Selesai buat projek sedekah makanan kat orang." Jawab Abang Aji dengan selamba.
Astaghfirullahalaazim! Rupanya tanpa saya sedari, Abang Aji telah mengekori saya semasa saya keluar tadi. Saya memandang Abang Aji sambil tersenyum manja.
"Siapa tak sayang bini oiiii!!!" Kata Abang Aji sambil menggenggam tangan saya.
Alhamdullillah!








No comments:

Post a Comment