Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Friday, 24 January 2014

PENGORBANAN.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Hari ni hari Jumaat kan? Penghulu segala hari insya allah. Pada hari Jumaat kita sangat digalakkan untuk meningkatkan segala amal ibadat kita insya allah. Banyakkan zikrullah, banyakkan bersedekah, banyakkan membaca al-Quran, banyakkan berdoa. Pendekata, kita kena gunakan setiap detik pada hari Jumaat untuk mengaut sebanyak mungkin 'bekalan' untuk hari akhirat nanti insya allah.
Saya pun ingin juga mengaut pahala sebanyak mungkin pada hari Jumaat ni insya allah. Jadi, dalam entri saya hari ini, saya ingin kongsikan sebuah kisah sedih untuk dijadikan peringatan kepada diri saya sendiri, juga kepada sesiapa saja yang sudi untuk diperingatkan insya allah. Semoga kisah ini akan dapat sama-sama kita fahami dan menjadi asbab kita menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh 'wira' di dalam kisah ini insya allah.

TABAH TERHADAP KESUSAHAN UNTUK AGAMA : PERJALANAN NABI SAW KE TAIF


Setelah mendapat tugas kenabian, Nabi menjalankan usaha dakwah di Mekah selama 9 tahun dan terus berusaha demi petunjuk dan islah kaum Baginda. Dikalangan orang yang menolong Baginda terdapat hanya segolongan kecil daripada mereka yang telah menerima Islam serta segelintir orang yang masih belum memeluk Islam. Kebanyakan orang kafir Mekah berusaha sedaya upaya untuk menyusah dan mempersendakan Baginda serta para sahabat dengan berbagai-bagai cara tanpa melepaskan sebarang peluang yang ada.

Bapa saudara Baginda, Abu Talib juga ialah antara mereka yang baik hati. Walaupun tidak memeluk Islam, dia tetap membantu Baginda dalam semua segi. Selepas 10 tahun Baginda  menjadi nabi, apabila Abu Talib meninggal dunia, orang kafir pun mendapat lebih banyak peluang untuk menghalang penyebaran Islam dan menyeksa orang Islam dengan berbagai-bagai cara secara terbuka. Nabi  telah pergi ke Taif dengan anggapan bahawa di sana ada kabilah Thaqif yang ramai bilangannya. Sekiranya kabilah tersebut memeluk Islam maka kaum muslimin di Mekah akan mendapat keselamatan daripada segala kesusahan tersebut dan Taif akan menjadi pusat penyebaran Islam.

Setelah tiba di sana, Baginda  telah berbicara dengan 3 pembesar yang dianggap tinggi darjatnya. Baginda  menyeru mereka kepada agama Allah dan berusaha menarik perhatian mereka untuk membantunya. Walau bagaimanapun, mereka bukan sahaja tidak menerima ajaran Baginda sebaliknya telah menjawab secara kasar dan tidak berakhlak sekali. Sekurang-kurangnya mereka patut melayan tetamu yang baru datang dengan baik sesuai dengan sifat suka melayan tetamu yang memang termasyhur di kalangan bangsa Arab. Sebaliknya mereka telah menjawab secara kasar. Mereka juga tidak rela Nabi tinggal di sana. Nabi  menganggap mereka yang merupakan pembesar kaum ialah orang yang baik  dan akan bercakap dengan sopan tetapi salah seorang daripada mereka telah berkata, "Hoi! Engkaukah orangnya yang Allah hantar sebagai nabi?"
Orang yang kedua pula berkata, "Tiadakah orang lain daripada kamu yang Allah temui untuk diutus sebagai nabi?"
Orang yang ketiga pula berkata, "Aku tidak ingin bercakap dengan kamu. Kerana kalaulah kamu sememangnya nabi sebagaimana didakwa maka mengingkari percakapanmu mendatangkan musibah dan sekiranya kamu seorang pendusta, aku tidak ingin bercakap dengan orang seumpama itu."

Apabila Nabi tiada menaruh harapan lagi terhadap pembesar-pembesar itu, Baginda  cuba bercakap-cakap pula dengan orang lain kerana Baginda  ialah seorang yang mempunyai hemah dan kecekalan seumpama gunung. Malangnya tiada seorang pun yang sanggup menerima. Bukan sahaja mereka tidak menerima bahkan mereka telah berkata kepada Nabi, "Keluarlah dari bandar kami ini serta-merta! Pergilah ke mana-mana yang kamu suka!"

Apabila Baginda sudah langsung tidak menaruh harapan lagi terhadap mereka maka Baginda telah memulakan langkah untuk pulang. Mereka telah menghantar budak-budak untuk mengejar, mengejek, mempersenda dan melontari Baginda dengan batu hinggakan kedua-dua kasut Baginda dilumuri dengan darah yang mengalir. Dalam keadaan itulah Nabi  pulang.

Apabila Baginda sudah selamat daripada pengacau-pengacau tersebut Baginda pun berdoa. "Ya Allah, kepadaMu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya-upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya! Arhamarrahimin! Engkaulah Tuhan orang yang ditindas. Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang akan menguasai aku? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatMu sudah cukup buatku. Aku berlindung dengan nur wajahMu yang menerangi segala kegelapan dan teratur di atas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada Engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. Kepada Mulah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya (untuk melakukan kebaikan) dan tiada upaya (untuk meninggalkan kejahatan) kecuali dengan petunjukMu."

Dengan doa sedemikian, bersemaraklah sifat qahhar Allah, Raja segala kerajaan. Lalu Jibrail datang memberi salam dan berkata, "Allah  telah mendengar perbualan kaum itu dengan tuan dan telah mendengar jawapan mereka serta menghantar satu malaikat yang bertanggungjawab ke atas gunung ganang. Perintahkan sahaja malaikat itu supaya melakukan apa-apa yang tuan kehendaki."

Selepas itu, malaikat tersebut memberi salam dan berkata," Saya akan menunaikan segala yang diperintahkan oleh tuan. Sama ada diperintahkan supaya saya melagakan bukit-bukau di kedua-dua arah supaya mereka semua akan hancur atau apa-apa sahaja hukuman yang tuan tetapkan."

Baginda ialah seorang yang amat pengasih lagi belas kasihan. Baginda telah memberi jawapan. "Aku tetap menaruh harapan kepada Allah bahawa walaupun mereka ini tidak memeluk Islam, pasti akan lahir orang yang akan menyembah Allah dan beribadat kepadaNya di kalangan anak-anak mereka."
Inilah dia akhlak peribadi mulia seorang yang kita kononnya berbangga-bangga mengaku menjadi pengikutnya. Sebaliknya, apabila kita sendiri mengalami sedikit kesusahan atau kita dilempari dengan kata-kata kesat, kita akan menjadi begitu marah sehingga kita menaruh perasaan dendam yang tidak padam-padam seumur hidup kita terhadap orang yang telah menyakiti kita. Kezaliman demi kezaliman kita lakukan ke atasnya sedangkan kita mengaku yang kita ialah pengikut Nabi Muhammad  yang mengikut jejak langkah Baginda. Setelah menanggung kesusahan dan penderitaan yang sebegitu dahsyat, Baginda sendiri tidak pun mendoakan keburukan ke atas mereka dan tidak juga mengambil sebarang tindak balas.

(RUJUKAN : KITAB FADHILAT AMAL)







No comments:

Post a Comment