TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh & Google
Hari Sabtu minggu lepas, entah angin dari arah mana yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menusuk ke dalam sanubari Abang Aji sehingga membuat beliau mengajak saya keluar bersamanya ke lokasi yang dirahsiakannya dari saya.
"Lepas Abang Aji balik dari masjid nanti, kita keluar sekejap. Lepas saja solat Zohor, Sayang terus siap ya?" pesan Abang Aji pada saya sebelum melangkah keluar rumah untuk ke masjid.
"Kita nak kemana?" tanya saya pula.
"Ikut sajalah," jawab Abang Aji.
Sebaik saja selesai mengerjakan solat Zohor, saya pun dengan segera menyiapkan diri, khuatir nanti bising pula Abang Aji bila balik dari masjid dan tengok saya masih belum siap lagi. Seperti anak kecil yang sangat teruja bila diajak ayahnya untuk ke Tutti Frutti atau ke Baskin Robbins untuk membeli aiskrim, begitu jugalah perasaan saya yang berusia separuh abad ini. Dalam hati saya asyik tertanya-tanya,"ke mana Abang Aji nak bawa aku kejap lagi ni?
Apabila Abang Aji memandu kereta melepasi tol Sungai Besi, saya pun bertanya sekali lagi, "kita nak ke mana ni Abang Aji?"
Abang Aji terus mendiamkan diri.
Hmmm...diam ada makna tu!
Dan bila Abang Aji keluar melalui Tol Kajang, saya memang dah tak boleh duduk diam lagi.
"Abang Aji! Cepatlah bagi tau, kita nak ke mana ni?" tanya saya sambil mengoncang lengan kiri Abang Aji.
Abang Aji tersenyum saja sambil berkata, "dari dok bising-bising macam ni, kan baik istighfar banyak-banyak?"
Astaghfirullahalaazim! Mujurlah Abang Aji sedang memandu waktu tu, kalau tidak...hmmm...
Tak lama kemudian, Abang Aji pun memandu kereta membelok masuk ke kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan PKNS Bandar Baru Bangi.
"Jom!" ringkas saja arahan Abang Aji pada saya.
Malas untuk bertanya apa-apa lagi, saya memaut lengan kiri Abang Aji dan berjalan beriringan dengannya menuju ke bangunan tersebut.
Dan belum pun sampai ke pintu utama bangunan itu, dari jauh lagi sudah kelihatan...warna warni yang sangat menarik perhatian saya, seolah-olah melambai-lambai sambil memanggil-manggil saya supaya menghampirinya. Saya memaut lengan Abang Aji dengan lebih erat.
"Kenapa pegang lengan Abang Aji kuat-kuat ni?" tanya Abang Aji sambil tersenyum memandang saya.
"Tu..Tu Abang Aji! Nampak tak tu? Abang Aji nak bawa Sayang ke situ kan?" tanya saya semula kepada Abang Aji.
"Ya lah, nak ke situlah. Kan Sayang suka tempat macam tu?" jawab Abang Aji pula. Langkah saya bertambah pantas menuju ke tempat itu.
Dan apabila tiba saja di tempat itu, masyaallah, tergamam saya seketika, seolah-olah orang lain dah tak wujud disekeliling saya. Yang ada hanya saya...dan pohon-pohon hijau dan bunga-bunga di sana sahaja.
Rupa-rupanya tempat yang Abang Aji rahsiakan dari pagi tadi tu ialah Roha's Rizqi Roses's Nurseri yang terletak di hadapan pintu masuk utama bangunan PKNS Bangi. Memahami hobi saya yang sukakan pohon-pohon hijau dan bunga-bungaan, maka Abang Aji pun membawa saya ke sini, Alhamdullillah.
Rambang mata saya bila melihat sekeliling tempat ini. Apatah lagi bila melihat bunga-bunga ros yang pelbagai warna yang sedang mekar berkembang dengan banyaknya, Allahuakhbar, rasa macam nak angkut semuanya bawa balik kerumah saja.
Cantik kan? Memang saya rasa sungguh gembira berada di nurseri ini. Kebetulan pemilik nurseri tersebut, Encik Kamal berserta isteri dan anak-anaknya turut berada di situ juga. Saya dan Abang Aji pernah menemui beliau lebih kurang 2 minggu lepas semasa Abang Aji membawa saya ke SACC Mall Shah Alam. Encik Kamal ada membuka satu nurseri yang kecil di sana. Melalui pertemuan pertama itulah Encik Kamal mencadangkan agar kami mengunjungi nurseri beliau yang lebih besar di bangunan PKNS Bangi ini. Rupanya Abang Aji ingat lagi pelawaan Encik Kamal tempohari. Alhamdullillah.
Kat bawah ni ialah gambar Encik Kamal bersama isteri dan salah seorang anak mereka yang sempat saya rakamkan.
Saya pun mengambil kesempatan berjumpa dengan Encik Kamal untuk bertanya dan mendapatkan tip mengenai cara menjaga pokok-pokok, terutamanya pokok bunga ros dan juga pokok-pokok ulam dan herba.
Betullah kata orang, kalau sesuatu perniagaan itu dibuat berdasarkan minat, memang perniagaan itu bukan sahaja menjadi punca rezeki malahan turut memberi kepuasan kepada pemiliknya. Begitu jugalah dengan Encik Kamal ni. Bila bercakap tentang pokok-pokok dan tanaman bunga rosnya, beliau kelihatan begitu bersemangat sekali. Dan tidak lokek pula untuk berkongsi ilmu, Alhamdullillah.
Selepas menghabiskan masa lebih kurang 1 jam di nurseri itu, maka saya pun melangkah keluar dengan membawa lebih dari 10 pasu pokok-pokok herba, bunga-bungaan dan juga beberapa peralatan untuk berkebun yang telah dibeli daripada Encik Kamal.
"Dah puashati?" tanya Abang Aji semasa melihat saya tersenyum memanjang selepas keluar dari nurseri tersebut.
"Alhamdullillah. Sangat puashati Abang Aji. Jazakumullahu khairan Abang Aji sebab sudi bawa Sayang ke sini. Nanti bila-bila bolehlah datang lagi ya Abang Aji?" saya berkata kepada Abang Aji sambil memberi pandangan penuh harapan kepada suami saya itu.
"Boleh, insya allah. Tapi lagi sekali bila datang ke sini, kita tak boleh bawa kereta," jawab Abang Aji.
"Habis tu, nak bawa apa pula?" tanya saya kehairanan.
"Kena bawa lori 1 tan tu lah! Sebab Sayang bila dah jumpa pokok-pokok, habis semua Sayang nak beli. Nasib baik Abang Aji bawa duit lebih tadi, kalau tak, kena buka buku tiga lima lah dengan Encik Kamal tu jawabnya." jawab Abang Aji dengan nada perli.
Dan saya memandang Abang Aji sambil menjelirkan lidah padanya.
No comments:
Post a Comment