TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Alhamdullillah, baru selesai masak hidangan untuk tengahari ni. Walaupun hanya menyediakan 2 jenis lauk pauk, tapi penatnya seperti berlari 2 kali keliling padang bolasepak. 'Orang lama', begitulah.
Semasa masih menjadi wanita bekerjaya satu ketika dahulu, terusterang, saya sangat mencemburui wanita yang menjadi surirumahtangga sepenuh masa. Waktu itu, saya menyangka bahawa wanita yang duduk sepenuh masa di rumah ni memang sangat beruntung. Mereka mempunyai banyak masa untuk berehat, untuk menonton drama-drama sinetron yang berpuluh-puluh episod, untuk berborak-borak dengan kawan-kawan yang seangkatan dengan mereka. Pendekata, memang saya rasa wanita yang menjadi surirumahtangga ini punya banyak masa untuk 'goyang kaki'! Cemburunya saya!
Sedangkan kami , golongan wanita yang bekerjaya ni, boleh dikatakan tidak dapat menikmati masa santai untuk berehat, tengok drama sinetron, berborak-borak dengan kawan-kawan sesukahati. Sebaik saja bangun awal pagi dah terkejar-kejar menyediakan anak-anak yang perlu dihantar ke rumah penjaga kanak-kanak, yang perlu dihantar kesekolah, tak termasuk menguruskan hal suami yang nak ke pejabat dan juga menyediakan diri sendiri untuk ke pejabat juga. Memandu awal pagi dan tersangkut dalam kesesakan laulintas semasa nak ke pejabat, menyiapkan tugasan-tugasan di pejabat, menghadiri mesyuarat-mesyuarat...astaghfirullahalaazim! Pendekata, memang sibuklah bila menjadi wanita korporat ni! Memang tertekan sungguh masa tu!
Tapi semenjak 2 tahun lepas, sebaik sahaja saya melepaskan jawatan saya sebagai seorang wanita korporat dan menyandang pula jawatan sebagai seorang surirumahtangga sepenuh masa, barulah saya faham realiti kehidupan sebagai wanita yang duduk di rumah sepenuh masa. Sebelum suami dan anak-anak bangun dari tidur, sayalah orang pertama yang akan bangun. Sayalah yang akan terkejar-kejar ke dapur untuk menyediakan sarapan. Sayalah yang akan tergesa-gesa mengejutkan suami dan anak-anak agar bersiap-sedia untuk solat Subuh. Sayalah yang akan 'terlompat-lompat' memastikan segala persiapan anak-anak untuk ke madrasah cukup lengkap dan segala pakaian dan keperluan suami untuk ke pejabat juga sempurna. Sayalah juga yang akan memandu dengan laju ala-ala polis peronda yang sedang mengejar perompak di jalanraya semata-mata untuk memastikan anak-anak tiba ke madrasah masing-masing tepat pada masanya. Saya jugalah yang akan duduk melayan suami untuk bersarapan pagi sebelum beliau bergerak ke pejabat. Sayalah juga yang akan menyiram dan 'bercakap-cakap' dengan semua pokok-pokok di taman kecil depan rumah saya. Kemudian saya jugalah yang perlu ke dapur semula untuk mengeluarkan bahan-bahan seperti ikan, ayam, daging juga sayur-sayuran dari petisejuk sebagai persediaan untuk memasak waktu tengahari nanti. Lepas tu saya jugalah yang perlu mengutip semua kain baju kotor di dalam setiap bakul basuhan yang terdapat di 5 buah bilik yang ada di dalam rumah saya. Astaghfirullahalaazim! Saya menulis ni pun dah rasa berpeluh!
Itu baru 1/3 sahaja dari rutin harian saya di rumah. Belum lagi saya cerita tentang tugasan-tugasan lain yang perlu saya laksanakan sebagai seorang isteri dan ibu. Penat tau! Pembantu rumah? Memang ada tapi bukan pembatu rumah sepenuh masa. Saya rimas dan tidak selesa bila ada orang lain selain dari suami, anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu duduk di dalam rumah saya. Jadi pembantu rumah saya hanya datang dua kali seminggu, itupun untuk membantu saya membuat kerja-kerja berat seperti membersihkandanop dapur, seluruh kawasan rumah, tangga, membersihkan cermin-cermin tingkap juga lain-lain kerja yang saya tidak berdaya untuk lakukan sendiri. Saya ni kan 'orang lama'!
Walaupun ada pembantu rumah yang membantu, saya masih tidak menang tangan untuk menguruskan semua kerja-kerja rumah yang seolah-olah tiada penghujungnya. Kadang-kadang saya terfikir, mungkin saya rasa begitu sebab saya seorang yang cerewet. Kalau dulu semasa masih bekerja, saya buat apa yang saya mampu buat sahaja. Tapi sekarang, kalau boleh saya mahu semuanya sempurna. Dan yang penting, saya mahu bila suami yang seharian penat bekerja di pejabat dan anak-anak yang balik dari madrasah, balik dan melihat rumah yang bersih, wangi dan sentiasa ada hidangan kesukaan mereka siap terhidang di atas meja. Dan yang penting sebaik sahaja suami sampai di pintu rumah, saya sudah sedia menanti dengan senyuman manis, rambut yang siap di dandan seperti yang disukainya dan dengan tubuh dan pakaian yang berbau wangi semerbak. Errr...mampu kah saya bertukar menjadi 'bidadari' selepas apa yang saya lalui sepanjang hari? Atau oleh kerana keletihan menguruskan rumahtangga saya hanya mampu berdiri depan pintu rumah sambil memakai 'uniform surirumah' sambil memegang penggelek roti???
Alahai surirumah semua! Baru sekarang saya mengerti dan memahami. Bukan senang jadi ibu dan isteri. Tidak pernah dapat cuti dan tidak pernah dapat gaji. Bonus apatah lagi! Tabik hormat saya untuk semua surirumahtangga sepenuh masa!
Alhamdulilah seronok membacanya...kak,
ReplyDeleteitulah Akademik rumahtangga,
saya seawal 4.30 pagi sudah bangun,sebelum 2 kaki ini melangkah ke dapur...berurusan terlebih dahulu dengan BOS BESAR...usai solat subuh terus masuk ke dapur...6.50 pagi dalam keaadaan masih suram2 subuh dah menghantar anak kesekolah...masyaAllah berat sungguh tugas sorang surirumah yer...coretan akan buat saya terharu...:)