Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Tuesday, 10 December 2013

SELIPAR.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh Googl

Gambar di bawah ini ialah gambar selipar yang baru saya beli untuk anak bujang saya, Amin petang semalam. Apa yang istimewa sangat tentang selipar ini hingga menyebabkan ia 'layak' dipaparkan di dalam blog saya? Kerana selipar ini merupakan selipar ketiga yang saya belikan dalam bulan Disember 2013 ini sahaja untuk anak saya itu . Ya, betul! Selipar ketiga dalam bulan ini sahaja!
Amin sedang belajar untuk menjadi seorang hafiz di sebuah madrasah yang terletak berhampiran dengan rumah saya. Disebelah madrasah tersebut terletak masjid dimana suami saya dan anak-anak lelaki kami (termasuk Amin) juga menantu-menantu lelaki kami pergi untuk mengerjakan solat fardhu setiap hari insya allah. 

Yang 'menariknya', antara ramai-ramai ahli keluarga kami yang sering berulang-alik ke masjid, Amin lah yang selalu kehilangan seliparnya. Boleh dikatakan, purata selipar Amin yang 'hilang' ialah 3 pasang setiap bulan. Pelik bin Ajaib! Macam-macam cara telah Amin cuba untuk 'mempertahankan' seliparnya, namun tidak berjaya. Kasihan anak bujang saya itu.
Jadi, petang semalam, semasa saya membawa Amin ke kedai yang terletak di dalam kawasan masjid berhampiran rumah kami itu untuk membeli selipar baru untuknya, Amin memberitahu saya mengenai rancangan terbarunya untuk 'menyelamatkan' selipar yang baru dibeli itu dari 'hilang' seperti selipar-seliparnya sebelum ini.

" Mak, lepas ni, boleh tak mak tolong hantar Amin ke kedai buku? Amin nak beli pen 'liquid paper'," pinta Amin pada saya.

" Amin nak buat apa dengan pen 'liquid paper' tu?" saya bertanya kepada Amin.

" Amin nak tulis alamat rumah kita di atas kedua-dua belah selipar baru Amin ni. Jadi kalau hilang juga, takkanlah orang yang 'terambil' selipar Amin tu tak perasan akan alamat rumah kita yang tertulis atas kedua belah selipar Amin tu kan? Lagipun, kalau orang lain tengok, mesti orang tau itu bukan selipar milik dia kan mak?" jelas Amin bersungguh-sungguh kepada saya. Masyaallah! Bijak sungguh orang bujang saya Ini!

"Bagus juga idea Amin ni. Mak sokong 100% insya allah." Saya memberikan kata-kata semangat kepada Amin.

Balik dari kedai buku tersebut, Amin sibuk menulis alamat rumah kami di atas kedua-dua belah selipar barunya itu. 

Berapa lama pula agaknya selipar baru ini akan bertahan sebelum di 'bawa lari' oleh 'peminat rahsia' selipar-selipar Amin? Wallahualam.

Saya terfikir, sekiranya langkah 'keselamatan' yang telah Amin ambil tadi masih tidak berkesan dan Amin tetap akan kehilangan seliparnya, maka saya sendiri akan mengambil langkah 'pencegahan' intensif untuk menyelamatkan selipar Amin dari terus dibawa lari.

Saya akan memasang mangga pada selipar Amin!




No comments:

Post a Comment