TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Selepas bersarapan pagi dengan suami di 'Coffee House' yang terletak di dalam hotel tempat kami tinggal ini, suami menghantar saya balik ke bilik semula.
"Sayang, Abang Aji ada mesyuarat pukul 9.00 pagi nanti. Selesai bermesyuarat, kami akan terus pergi buat lawatan tapak pula. Mungkin terus pergi solat Jumaat. Kalau Sayang rasa sunyi duduk sendirian dalam bilik hotel ini, turunlah ke lobi hotel dan tanya tentang perkhidmatan spa yang ada di dalam hotel ni. Nanti 'charge' terus ke dalam bil bilik kita saja." Pesan suami saya. Ada nada risau di dalam kata-katanya.
"Abang Aji, tak mengapa. Sayang OK saja duduk dalam bilik ini. Janganlah risau. Lagipun Sayang perlu masuk kelas penulisan 'online' Sayang pagi-pagi ini. Banyak tugasan yang perlu dibuat. Dan banyak buku 'online' yang Sayang perlu baca. Abang Aji pergilah urusankan hal pekerjaan Abang Aji tu. Jangan risaukan Sayang. Insya allah, pandailah Sayang uruskan masa Sayang nanti." Saya cuba menenangkan kerisauan suami.
Saya melihat suami tersenyum, barangkali lega setelah mendengar penjelasan saya. Saya pun terus menghantar suami ke pintu bilik, mencium tangannya dan menerima kucupan di dahi saya sebagai balasan pula. Satu kebiasaan kami suami isteri setiap kali bila menghantar suami ke pintu depan rumah setiap kali beliau hendak ke pejabat.
" Jaga diri baik-baik Abang Aji. Jangan lupa niat keluar untuk mencari rezeki yang halal buat keluarga dan juga untuk buat kerja dakwah walau di manapun berada dan dengan siapa pun Abang Aji jumpa." Pesan saya kepada suami. Juga satu pesanan yang biasa saya ucapkan setiap kali mengiringi suami ke pintu depan rumah.
"Insya allah. Sayang jaga diri baik-baik juga ya?" Pesan suami pada saya pula.
"Insya allah Abang Aji. 'I love you'." Ucapan penutup saya yang mengiringi suami selalu.
Saya selalu berpesan kepada anak-anak perempuan saya yang sudah berumahtangga supaya melakukan perkara yang serupa: menghantar suami yang akan keluar bekerja dengan penuh kasihsayang. Saya minta mereka mencontohi cara saya mengiringi suami saya sehingga ke depan pintu setiap kali suami akan keluar ke pejabat.
Pesan saya lagi, biarlah suami keluar bekerja dengan hati yang senang dan tenang. Dan jadikanlah senyuman dan lambaian kasihsayang kita pengiring suami ke tempat kerja. Dan sebaik sahaja kenderaan suami bergerak, iringilah dengan doa, semoga Allah mempermudahkan segala urusan suami di dunia dan akhirat, dan semoga Allah pelihara suami dan juga diri kita dan anak-anak yang ditinggalkan.
Lagipun, manalah kita tahu, mungkin itu senyuman dan lambaian terakhir dari kita buat suami.
No comments:
Post a Comment