TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Maziah memandang ke kiri dan
ke kanan. Matanya melilau memerhati setiap kanak-kanak yang berada di setiap
laluan yang di laluinya.
“Mira! Mira! Mira kat mana? Mira keluarlah. Datang
sini kat Mak. Jangan bagi Mak takut
Mira.” Maziah terus memanggil-manggil anak sulongnya Mira yang baru
berusia 4 tahun itu. Hatinya mulai berasa cemas.
Maziah terus menyusuri
setiap laluan yang dipenuhi dengan mangsa-mangsa banjir sepertinya di pusat
penempatan banjir itu. Maya yang masih tidur di dalam kendungannya itu,
sesekali merengek-rengek kecil, barangkali kerana tidurnya asyik terganggu bila
di bawa ke hulu kehilir oleh maknya.
“Shhh..diam sayang diam. Mak
nak cari Kak Mira. Tidur ya nak. Tidur.” Maziah memujuk si kecil Maya.
Maziah berpatah semula ke
tempat di mana dia dan kedua orang anaknya ‘bermukim’ semenjak tiba di pusat
tersebut pagi tadi. Maziah bertanya lagi kepada Kak
Pah, yang juga jiran sebelah rumahnya, yang turut bermukim di situ.
“Kak Pah, ada nampak anak
saya Mira balik kat sini semula tak kak?
Dah puas saya cari ni kak. Manalah pergi anak saya tu kak. Dia kecil lagi. Saya
takut kak. Kalau ada orang bawa lari anak saya. Kalau jadi apa-apa kat anak
saya, apa saya nak buat kak?” Airmata yang dari tadi ditahannya, akhirnya
tumpah juga berderai-derai membasahi pipinya.
“Maziah, sabar dik. Doa
banyak pada Allah. Tak kemana Mira tu, ada dekat dekat sini saja. Jangan panik dulu. Akak
dah suruh Abang Ali dan anak-anak akak tolong carikan juga. Masa Maziah bawa Maya ke bilik air tadi, memang Mira
ada kat sini, main-main dengan Ajoy anak akak ni. Dalam sekelip mata saja, akak
berpusing nak ambil selimut, tengok Mira dah tak ada. Akak tanya Ajoy tadi,
katanya Mira main kejar-kejar dengan anak orang kampung kita juga. Dah dah, jangan nangis
lagi. Letak Maya kat atas selimut tu, akak dah bentangkan. Kejap lagi bila
Abang Ali balik, kita bincang semula apa nak buat. Hendaknya dia bawa balik
Mira sekali,” pujuk Kak Pah cuba menenangkan Maziah. Dalam hati Kak Pah turut
berdoa agar pencarian Abang Ali suaminya dan juga Amin dan Amir anak-anaknya
berhasil menemui Mira.
Maziah meletakkan Maya
perlahan-lahan di atas selimut yang telah dibentangkan oleh Kak Pah. Ditepuknya
paha kecil Maya perlahan-lahan agar anaknya itu terus lena. Sambil itu matanya
terus memerhati sekelilingnya, masih mencari-cari kelibat Mira.
Kebanyakan mereka yang
mendiami pusat tersebut, sudah mula menyediakan tempat tidur masing-masing . Barangkali kepenatan meranduk air banjir
untuk menyelamatkan diri dan apa saja yang sempat dicapai untuk pergi ke pusat tersebut pagi tadi.
Di lihatnya Kak Pah masih
sibuk membentang selimut di atas kepingan-kepingan kotak yang dijadikan alas
tempat tidur mereka sekeluarga. Maziah menghela nafas
panjang.
“Alhamdullillah ada Kak Pah
dan Abang Ali. Kalau tak, macamana agaknya nasib aku dengan anak-anak aku masa
banjir ni. Dulu, masa musim banjir macam
ni, Abang Rizal yang urus semua benda. Tapi sekarang….” perasaan Maziah semakin
sayu bila teringatkan arwah suaminya, Rizal.
Rizal meninggal dunia
setahun yang lalu kerana terlibat di dalam kemalangan jalanraya sewaktu
menunggang motorsikal balik dari pejabatnya. Maziah masih ingat lagi, malam
sebelum hari kejadian itu, Rizal membawa Maziah dan kedua orang anak kecil
mereka menaiki motornya untuk pergi ke pasar malam berhampiran rumah mereka.
“Abang nak belikan Mira
selipar merah jambu yang Mira minta hari tu. Ni dah gaji ni, boleh lah abang
tunaikan janji abang kat Mira,” jelas Rizal pada Maziah sambil tersenyum.
Mira yang terdengar kata-kata
abahnya itu, melompat-lompat keriangan sambil menepuk-nepuk kedua-dua belah
tangan kecilnya.
“Yeh yeh! Abah nak beli
selipar merah jambu untuk Mira! Yeh yeh!” teriak Mira kegembiraan.
Maziah dan Rizal memandang
keletah anak sulong mereka itu sambil tersenyum.
Dan malam itu, Mira tidur
sambil memeluk selipar merah jambu hadiah dari abah kesayangannya.
Keesokkan paginya, selepas
bersarapan pagi, Rizal masuk ke dalam bilik dan mengejutkan Mira yang masih
tidur. Maziah yang melihat suaminya mengejutkan Mira menegurnya. “Biarlah Mira
tidur bang. Malam tadi penat dia bergaya depan cermin dengan selipar merah jambu yang abang belikan tu. Tu yang tidur lena sangat tu bang.”
Tapi Rizal terus
mengusap-ngusap rambut Mira sambil memanggil, ”Mira, Mira, bangun nak. Abah nak
pergi kerja dah ni. Bangun sayang. Abah nak tengok Mira pakai selipar merah jambu yang abah belikan tu. Bangun nak.” Rayu Rizal lagi. Mira menggerak-gerakkan
badannya sedikit sambil merengek, matanya masih tertutup rapat. Maziah memandang
saja kerenah suaminya itu.
Maziah memandang kearah jam
loceng yang terletak di atas meja bersebelahan tempat tidur Mira. Pukul 8.45
pagi. “Bang, dah lewat dah ni bang. Nanti lambat pula abang sampai pejabat.”
Maziah mengingatkan Rizal. Terbayang rasa kecewa di wajah Rizal kerana tidak dapat
mengejutkan Mira. Terus diciumnya pipi dan dahi anaknya itu berkali-kali. “Mira,
jaga selipar merah jambu tu baik-baik ya nak. Jangan bagi orang lain ambik selipar
tu dari Mira. Tu abah beli untuk Mira saja tau?” Sempat lagi Rizal berbisik dan
berpesan kepada Mira. Dan Maziah nampak walaupun
matanya masih pejam, Mira seolah-olah
mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham
dengan pesanan abahnya itu.
Maziah mengekori Rizal
hingga ke muka pintu rumah mereka. Sambil menyarungkan helmet ke kepalanya,
Rizal memandang kearah Maziah dan merenungnya.
“Kenapa bang? Ada tertinggal
barang ke?” Maziah bertanya kehairanan.
“Tak, tak ada,” jawab Rizal
sambil duduk di atas motornya. Matanya terus merenung wajah Maziah.
“Maz, jaga anak-anak kita
baik-baik.” Pesan Rizal kepada Maziah. Dan sebelum sempat Maziah berkata
apa-apa, Rizal telahpun menunggang motorsikalnya keluar dari kawasan rumah
mereka. Maziah memandang hingga bayangan Rizal tidak kelihatan lagi.
Dan pada petang itulah, Kak Pah
dan Abang Ali datang kerumahnya membawa bersama mereka berita yang sangat menyedihkan. Rizal
terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori semasa dalam perjalanan pulang ke
rumah dari pejabat. Lemah longlai seluruh anggota tubuh Maziah apabila Kak Pah
memberitahunya yang Rizal sudah tiada lagi.
“Maziah! Maziah! Bangun.”
Maziah tersentak dari lamunannya apabila mendengar namanya dipanggil.
“Kak Pah! Dah jumpa Mira ke?”
Tanya Maziah sebaik saja memandang Kak Pah yang sedang duduk disebelahnya. Di
belakang Kak Pah berdiri Abang Ali. Wajahnya kelihatan risau.
“Kak Pah! Mana Mira kak?”
Maziah bertanya lagi apabila dilihatnya Kak Pah diam dan menundukkan muka.
Jantung Maziah mula berdegup laju. Maziah dapat merasakan yang Kak Pah dan
Abang Ali sedang cuba merahsiakan sesuatu darinya.
“Maziah, sabar banyak dik.
Maziah kena kuat ya?” Kak Pah memegang kedua belah tangan Maziah.
“Kak! Kenapa ni kak? Apa dah
jadi ni? Ni pasal Mira ke kak? Cepatlah bagi tau saya kak! Abang Ali! Abang dah
jumpa Mira ke bang? Mana anak saya bang?” Maziah bingkas bangun dan berdiri di
hadapan Abang Ali.
Abang Ali memandang kearah Kak Pah. “ Pah, bawa Maziah ikut abang. ” Abang Ali memberitahu isterinya.
“Rozi, datang duduk sebelah Maya ni. Dia
tengah tidur. Jaga Maya elok-elok. Ayah dengan mak nak bawa makcik Maziah ke
depan sana sekejap.” Abang Ali berpesan kepada anak sulongnya Rozi yang baru
selesai menduduki peperiksaan SPM.
“Baik Ayah,” jawab Rozi
sambil bangun dari tempat duduknya tadi dan beralih duduk di sebelah Maya.
“Jom dik, ikut Kak Pah ya?”
Kak Pah bangun sambil memegang lengan Maziah. Maziah bangun. Lemah. Dalam
hatinya penuh dengan tanda tanya, dan kebimbangan.
“Ya Allah! Beri aku kekuatan
ya Allah! Beri aku kekuatan ya Allah!” Maziah terus memohon kepada Allah.
Tangan kanan Maziah terus
memaut lengan kiri Kak Pah. Diturutinya saja hala langkah Kak Pah. Abang
Ali terus berjalan di hadapan mereka sambil menuju ke pintu besar dewan tersebut.
“Tolong beri laluan ya,
tolong beri laluan sikit,” terdengar suara Abang Ali meminta laluan di celah-celah
orangramai yang telah mula berkumpul di situ.
Bila tiba di hadapan pintu dewan tersebut,
kelihatan beberapa orang anggota polis berdiri di situ. Dan di atas pengusung
yang terletak di atas lantai, terbujur kaku satu tubuh kecil yang telah ditutupi
dengan sehelai kain pelikat. Abang Ali kelihatannya berbisik sesuatu kepada
salah seorang anggota polis tersebut.
Sebaik sahaja Maziah
ternampak tubuh yang bertutup di atas pengusung itu, Maziah terus terjelepuk ke
atas lantai.
“Ya Allah! Ya Allah! Mira ke
tu kak? Kak Pah! Anak saya ke tu kak?” suara Maziah meraung. Kak Pah terus
memeluk Maziah.
“Sabar dik. Sabar. Kita
tengok dulu.” Kak Pah cuba menenangkan Maziah. Airmata Kak Pah pun sudah tidak
dapat ditahan lagi.
Abang Ali memberi isyarat meminta
izin daripada anggota polis tadi untuk melihat tubuh di atas
pengusung tersebut. Abang Ali menyelak kain yang menutupi tubuh tersebut perlahan-lahan. Abang Ali menatap wajah disebalik
kain tersebut, menarik nafas panjang dan kemudian menutup kain tersebut semula. Abang
Ali berpaling dan memandang Kak Pah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Abang Ali tersenyum.
“Maziah! Maziah! Itu bukan
Mira! Bukan Mira dik.” Kak Pah memegang muka Maziah yang sedang menangis
teresak-esak.
Serta-merta Maziah
mengangkat mukanya. “Itu bukan anak saya Mira kak?” Tanya Maziah kepada Kak Pah
sambil memandang kearah pengusung itu.
“Bukan dik, tu bukan Mira.” Jawab
Kak Pah sambil tersenyum. Maziah terus memeluk Kak Pah.
“Alhamdullillah.
Alhamdullillah. Alhamdullillah,” tak putus-putus ucapan zikir tersebut
diucapkan oleh Maziah.
Perlahan-lahan Maziah
berjalan sambil memaut lengan Kak Pah. Masih terasa lagi lemah tubuh badannya
selepas melihat tubuh yang disangkakannya milik anaknya Mira. Mereka berjalan
perlahan-lahan menuju ke tempat mereka bermukim di dewan itu.
Tiba-tiba, dari kejauhan
Maziah nampak Mira sedang duduk disebelah Rozi anak Kak Pah sambil
bercakap-cakap. Terus Maziah melepaskan lengan Kak Pah dan berlari menuju kearah
Mira.
“Mira! Mira! Mira anak mak!”
terus dipeluknya Mira dan dicium anaknya itu sambil menangis. Kak Pah dan Abang
Ali yang sudah berada di belakang mereka kelihatan lega.
“Makcik Tipah isteri pakcik
Din Teksi yang datang hantar Mira ke sini tadi. Dia cakap, tadi Mira main
kejar-kejar dengan anak dia Tini. Bila sampai kat tempat dia sekeluarga
berkumpul, mereka sedang makan. Jadi makcik Tipah pun bagi Mira makan sekali. Mira cakap kat makcik Tipah, mak
pergi bilik air bawa adik Maya.” Rozi memberitahu Maziah.
“Alhamdullillah. Ya Allah,
lega betul rasanya ni.” Kata Maziah sambil mengusap-ngusap muka Mira. Maziah
memandang pula kearah Maya. Kelihatannya masih tidur dengan nyenyak di atas
selimut tadi.
“Lain kali, Mira jangan buat
macam ni lagi ya nak? Kalau nak kemana-mana, kena tunggu mak, kena beritahu mak
dulu ya?” pesan Maziah dengan lembut kepada anak kecilnya itu.
“Tapi mak, tadi Tini ambik
selipar merah jambu Mira. Itu yang Mira kejar dia sebab Mira nak ambil balik selipar merah jambu Mira tu. Kan abah dah pesan kat Mira, jaga selipar merah jambu Mira tu
baik-baik dan jangan bagi orang lain ambil selipar merah jambu tu? Kan mak?” dengan
petah Mira memberitahu Maziah.
Maziah terkedu. Airmatanya
tumpah semula.
No comments:
Post a Comment