Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Wednesday 4 December 2013

KEMBAR SHARIFAH AINI?

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Saya seorang yang montel. Sebenarnya, ayat yang lebih sesuai digunakan ialah  saya seorang yang gemuk! Tapi bila menggunakan perkataan gemuk, terasa seperti saya ini tergolong dalam kategori orang yang tidak menarik dan juga tidak cantik langsung! Jadi, menggantikannya dengan perkataan montel, terasa lebih 'afdal', dan 'menenangkan'.

Saya tidak dilahirkan montel. Menurut kata almarhumah nenek saya, saya dilahirkan comel seperti bayi-bayi kecil yang biasa. Semasa di alam kanak-kanak pun, bila saya melihat gambar-gambar lama saya, tubuh badan saya, lebih kurang sama sahaja seperti kanak-kanak sebaya dengan saya waktu itu.

Kemudian, bila saya memasuki alam remaja, sepanjang ingatan saya, saiz  tubuh badan saya lebih kurang sama sahaja dengan saiz tubuh badan rakan-rakan seusia saya. Malah, sewaktu di zaman persekolahan dahulu, saya merupakan seorang yang aktif dalam bidang sukan. Hoki, bolajaring, badminton, ping pong adalah antara permainan sukan yang sangat saya gemari dan sentiasa saya ceburi. Andaikata saya seorang yang montel, rasanya tidak mungkin saya boleh menjadi seorang ahli sukan yang aktif seperti itu.

Apabila saya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi, saya masih juga aktif bersukan. Malah, saya pernah menjadi wakil fakulti dalam pertandingan badminton, pertandingan ping pong dan juga pertandingan bolajaring. Gambar-gambar saya semasa berada di institusi pengajian tinggi menjadi bukti bahawa saya seorang wanita muda yang bersaiz sederhana, berkulit hitam manis dan mempunyai rupa paras yang boleh tahan! Ehem! Bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam bait lagu 'Yang Mana Satu Idaman Kalbu' dari filem 'Labu Labi' : "Lawa tiada, manis ada."  

Sebagai seorang wanita muda, dengan paras rupa yang sederhana, saya juga ada peminat-peminat saya yang tersendiri. Malah, ramai yang mengatakan bahawa rupa paras dan bentuk badan saya sama seperti biduanita tersohor Datuk Sharifah Aini semasa beliau masih muda dahulu. Ehem lagi sekali!

Selepas saya mendirikan rumahtangga dan mempunyai 3 orang cahayamata, masih ramai yang tidak percaya bahawa saya sudah menjadi ibu beranak tiga. Masih saya ingat lagi, satu kejadian, bila satu hari semasa dalam perjalanan pulang sambil memandu kereta dari pejabat , kereta saya diekori oleh sebuah kereta besar sehingga sampai di hadapan rumah mak saya. Saya berlari masuk ke dalam rumah, ketakutan. Ayah yang berada di dalam rumah, terus keluar membawa parang apabila saya maklumkan kepada beliau bahawa ada orang mengekori saya pulang. Rupa-rupanya, yang mengekori saya itu adalah seorang 'peminat rahsia' yang menyangka saya ini masih belum berpunya! Setelah ayah saya menjelaskan kepada 'peminat rahsia' saya itu yang saya ini sudah bersuami dan mempunyai 3 orang anak, barulah dia berlalu pergi. Barangkali kecewa setelah mengetahui yang saya ini sudah dimiliki. Kasihan.

Jadi, bagaimana seorang yang pernah digelar 'kembar Sharifah Aini' dan dikejar sampai ke rumah ibubapa oleh peminat rahsia, boleh bertukar menjadi montel sekarang?

Saya sendiri pun masih tertanya-tanya dan masih mencari jawapannya.

Dan apa pula jawapan suami saya bila saya bertanya kepada beliau mengenai 'kemontelan' saya? 

" Kalau rupa lawa, badan cantik tapi tidak taat kepada suami dan tidak taat perintah Allah, apa gunanya. Tapi kalau seorang isteri itu taat kepada suami dan taat juga kepada perintah Allah, insya Allah, di syurga kelak isteri tersebut akan jadi ketua kepada semua bidadari sehinggakan bidadari sendiri mencemburui kecantikannya."

Saya sayang suami saya lillahitaala, insya allah.







No comments:

Post a Comment