TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
Pagi-pagi tadi saya telah 'dikejutkan' dengan satu 'rahsia' yang menyebabkan paras darah tinggi saya naik mendadak. Astaghfirullahalaazim!
Anak dara bongsu saya, Yaya, yang baru berusia 13 tahun, yang sedang belajar untuk menjadi seorang hafeezah (dan sekarang telah hafal 7 juzuk al-Quran) ada akaun FB! Dan saya langsung tidak tahu menahu mengenainya! Astaghfirullahalaazim!
OK, mungkin ada antara yang membaca entri saya ini, akan berkata, "alah, biasalah tu, budak-budak sekarang. Apa yang nak dijadikan isu sangat? Ada akaun FB je, bukan dia lari dari rumah ikut teman lelaki pun!"
Assalamualaikum! Hello! Ada akaun FB je? Mungkin untuk anak orang lain, itu perkara biasa, tapi untuk anak-anak saya, saya ada peraturan saya sendiri di rumah. Selagi anak-anak saya masih dalam lingkungan umur belum cukup matang untuk berfikir mana yang baik dan mana yang buruk, semua hal yang berkaitan dengan kehidupan mereka, menjadi tanggungjawab saya untuk tahu.
Memang bunyinya macam zalim sangat saya ni, tak ubah macam sikap seorang pemimpin 'diktator'. Tapi, saya berpegang kepada prinsip 'mencegah lebih baik dari mengubati'. Tak kan bila anak dah lari ikut teman lelaki yang dikenali melalui laman FB, baru kita terhegeh-hegeh nak soalsiasat semua kenalan dalam laman FB anak? Dan baru nak jenguk-jenguk apa yang selama ini anak kita kemaskini dalam laman FB mereka? Kan?
Saya selalu beritahu anak-anak saya, bila kita pergi ke luarnegara, kita kena ikut undang-undang dan peraturan negara tersebut. Contohnya, bila kita ke Germany, peraturan jalanraya mereka, tidak sama dengan peraturan jalanraya di negara kita. Bayangkan, di lebuhraya Germany, lorong sebelah kiri sekali adalah lorong untuk kenderaan yang di pandu laju, manakala lorong sebelah kanan sekali adalah untuk kenderaan berat dan juga kenderaan yang di pandu dengan perlahan. Peraturan yang sebaliknya di negara kita. Jadi, bayangkan, sekiranya kita memandu dengan menggunakan peraturan jalanraya negara kita di negara seperti Germany, apakah akibatnya? Nauzubillah minzalik!
Begitu jugalah keadaannya di dalam rumah saya sendiri. Saya ada peraturan dan undang-undang yang telah saya gariskan untuk diikuti oleh semua ahli rumah saya (termasuk saya dan suami saya juga). Dan antara 'ayat pusaka' yang selalu saya gunapakai bila ada anak-anak yang melanggar undang-undang dan peraturan rumah saya ialah : "Kalau nak duduk dalam rumah mak, tolong ikut peraturan dan undang-undang dalam rumah mak ni. Kalau tak suka dan tak mahu ikut, sila keluar dari rumah ni dan pindah ke rumah lain ya!"
*Eh? Seperti pernah saya dengar ayat ini, tapi, dimana ya?*
Jadi, selepas menghabiskan separuh waktu pagi saya 'meneroka' laman FB anak dara saya itu (setelah saya 'minta' kata laluannya dengan penuh 'berhemah'), maka saya terus menyahaktifkan akaun FB tersebut serta-merta!
Ingat senang jadi mak? Bak kata orang lama yang 'bijaksini' dan 'bijaksana' : "Lebih mudah menjaga sekandang kerbau dari menjaga seorang anak perempuan!"
Memanglah mudah sebab kerbau tak celik IT dan tak ada akaun FB!
No comments:
Post a Comment