Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Thursday, 19 December 2013

TIDAK LAYAK.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Setiap pagi, selepas suami ke pejabat dan anak-anak pergi ke madrasah, salah satu aktiviti wajib yang akan saya lakukan ialah membuka kitab Muntakhab Ahadith dan membaca sekurang-kurangnya satu hadis sehari insya allah.

Kitab Muntakhab Ahadith ini merupakan himpunan  hadis-hadis pilihan berkenaan dengan enam sifat dakwah dan tabligh. Saya suka membacanya di awal pagi kerana hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab ini banyak memberi peringatan mengenai perintah-perintah Allah dan juga larangan-laranganNYA insya allah.

Dalam entri saya pagi ini, saya ingin kongsi satu hadis yang telah saya baca pagi tadi. Ianya sangat menyentuh perasaan saya hinggakan saya mengalirkan airmata selepas membacanya. Kemudian saya terus menunaikan solat sunat taubat 2 rakaat dan memohon agar Allah ampunkan saya, hambaNYA yang banyak berdosa ini, juga suami dan anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu kami, juga semua saudara muslimin dan muslimat semua insya allah.

Saya mendoakan semoga sesiapa yang sudi membaca entri saya ini akan dikurniakan Allah dengan rahmat, taufiq dan hidayat dan Allah pilih kita semua untuk jadi ahli syurgaNYA insya allah.


"Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : Apabila Allah SWT menciptakan syurga, maka Allah SWT berfirman kepada Jibrail; Pergilah ke syurga dan lihatlah kepadanya. Maka pergilah Jibrail as. dan melihat syurga. Kemudian datang semula dan berkata; WahaiTuhanku, demi Kemuliaanmu, tidak mendengar seseorang akan keindahan syurga kecuali dia memasukinya. Kemudian ditutupi syurga dengan perkara-perkara yang dibenci (semua bentuk ketaatan seperti sembahyang, puasa dan semua syariat yang berlawanan dengan tabiat manusia). Allah SWT berfirman : Wahai Jibrail, pergilah lihat ke syurga. Maka pergilah Jibrail ke syurga melihatnya. Setelah kembali dia berkata : Wahai Tuhanku, demi Kemuliaanmu sesungguhnya aku takut tidak akan ada seorang pun yang masuk ke dalamnya.
Kemudian Allah SWT menciptakan neraka dan berfirman; Wahai Jibrail pergilah melihat neraka itu. Maka dia pergi melihatnya dan setelah kembali dia berkata; Wahai Tuhanku, demi Kemuliaanmu dan Kebesaranmu, tidak mendengar seorang tentangnya kecuali dia menghindarkan diri daripadanya. Maka Allah SWT meliputi neraka dengan syahwat dan keinginan kemudian berfirman; Wahai Jibrail, pergilah lihat ke neraka. Setelah dia kembali, dia berkata; Wahai Tuhanku, demi Kemuliaan dan Kebesaranmu, sesungguhnya aku khuatir tidak akan tinggal seorang pun kecuali dia memasukinya. (HR Abu Daud)."

Astaghfirullahalaazim. Astaghfirullahalaazim. Astaghfirullahalaazim.

"Ya Allah! Aku tidak layak ke syurgaMU tapi tidak pula aku sanggup ke nerakaMU. 
Ampunkan aku wahai Allah. Ampunkan aku hambaMu yang banyak berdosa ini ya Allah."




No comments:

Post a Comment