TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
ULASAN E BOOK ASAS
BLOG
Penulis : Masayu
Ahmad.
Terus terang, semasa saya membaca EBook Asas Blog ini buat
pertama kalinya sehingga tamat, saya tahu yang saya perlu membacanya semula
buat kali kedua untuk betul-betul memahaminya. Walaupun ‘jalan ceritanya’ nampak
mudah, tetapi sebenarnya untuk ‘menghayati’ dan ‘memahami’nya memerlukan
ketelitian dan kesungguhan yang tinggi. Dan ditambah dengan faktor usia saya
yang sudah masuk separuh abad ini, maka keupayaan untuk ‘menghadam’ maklumat
mengambil masa yang lama sebelum dapat ‘mengenyangkan’ ‘perut’ minda. Oleh
kerana itu, setelah membaca EBook ini untuk kali ke 3, barulah saya berani
membuat ulasan mengenainya, insya allah.
Selepas membaca dan memahami sedikit sebanyak isi kandungan
EBook ini, saya dapati banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari untuk menjadi
seorang penulis. Baru saya sedar, rupa-rupanya selama ini, bila saya menulis di
blog lama saya, saya menulis dengan gaya ‘syok sendiri’. Saya tidak menggunakan
bahasa Melayu yang betul (Bahasa Melayu Tinggi), saya terikut-ikut stail
percakapan orang orang muda sekarang bila menulis di dalam blog saya, saya
tidak menggunakan tatabahasa yang betul dan saya tidak peduli langsung samada
tanda-tanda bacaan yang saya gunakan itu sesuai ataupun tidak.
Astaghfirullahalaazim.
Bagaimanapun, selepas membaca hingga tamat EBook ini
(selepas membacanya untuk kali yang kedua ya!), barulah datang rasa ‘insaf’ dan
juga malu di dalam diri saya.
Saya membaca berkali-kali analisa blog Faridah Yusoff,
Aishah Hussein dan Ashikin Hashim yang terdapat di dalam EBook ini. Banyak
betul pelajaran dan pengajaran yang saya perolehi.
Contohnya melalui analisa blog Ashikin Hashim, ada
dinyatakan bahawa entri pertama dalam sesuatu blog adalah sangat penting kerana
ia ibarat resume diri yang lengkap dan juga untuk memperkenalkan diri penulis
blog kepada pembaca atau bakal pelanggan. Sebaik sahaja mengetahui tentang kepentingan
entri pertama ini, saya serta-merta menggubah entri PENGENALAN saya yang
merupakan tugasan pertama selepas selesai membina blog baru saya. Alhamdullillah.
Selain daripada itu, melalui EBook ini juga saya memahami
matlamat saya menyertai Kelas Asas Blog dan Penulisan ini. Di antaranya ialah untuk
menjadikan blog sebagai pentas awal bagi memperkenalkan diri peserta kepada dunia
online bakal pembaca/pelanggan.
Melalui EBook ini juga, saya mempelajari beberapa ciri yang boleh menjadikan sesebuah blog itu berpengaruh.
Contohnya : blog mestilah mesra pembaca, sentiasa ada entri baru dan segar dan
juga menjadikan pembaca ‘ketagih’ untuk datang membaca blog itu lagi dan lagi.
Kesimpulan yang saya perolehi dari membaca EBook ini ialah
apabila seseorang menjadi penulis blog, kalau tiada ilmu dan tunjuk ajar dan
panduan, akhirnya akan mengakibatkan penulisnya menulis secara syok sendiri
sahaja, akan terus melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang kali kerana
tiada yang menegur, ketandusan idea dan
lama kelamaan akan menimbulkan rasa malas untuk membuat entri dan meneruskan
penulisan.
Meminjam antara kata-kata ‘hikmah’ di dalam EBook ini : “Blog
yang tidak update ibarat sebuah kedai yang telah disiapkan tetapi kemudian
ditinggalkan sahaja sehingga pelanggan yang datang berasa kehilangan kerana
tiada siapa melayan.”
Yang pasti, saya bersyukur banyak kepada Allah kerana membuka
hati saya untuk membaca EBook ini (walaupun terpaksa khatam 3 kali baru saya
benar-benar faham) kerana banyak pelajaran dan pengajaran yang saya perolehi
melaluinya yang saya yakin dapat membantu saya untuk menjadi penulis blog yang berjaya
insya allah.
No comments:
Post a Comment