Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Monday 2 December 2013

PERCUTIAN SINGKAT DI GOLDEN PALM RESORT SEPANG

TEKS        : Kasturi Puteh

GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh Googl

Hujung minggu lepas, saya dan suami telah membawa 4 orang dari 13 orang anak-anak kami (kalau termasuk menantu-menantu dan cucu-cucu jumlah semua sekali ialah 22 orang= dua pasukan bolasepak!) bercuti di Golden Palm Resort Sepang.

Kalau ikutkan hati, memang kami teringin untuk bawa semua anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu kami ikut bercuti sekali. Bagaimanapun, dengan mengambil kira cuti kerja masing-masing yang tidak dapat diambil serentak, dan juga hal-hal lain yang tidak dapat dielakkan, maka kami suami isteri membuat keputusan untuk membawa anak-anak mana yang ada kelapangan untuk bercuti terlebih dahulu, dengan janji, insya Allah, untuk bawa yang anak-anak yang lain bercuti pada masa lain pula.

30/11/2013 (Sabtu)
Kami memulakan perjalanan ke Golden Palm Resort Sepang lebih kurang pada pukul 3.30 petang. Setelah melihat lokasi tempat melalui peralatan GPS, maka suami saya pun mula memandu MPV kami menuju ke destinasi. Pada mulanya perjalanan agak lancar kerana suami menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya menuju ke arah LCCT. Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di persimpangan menuju Kuarters Kakitangan KLIA, kami 'terperangkap' dalam kesesakan lalulintas di simpang empat menuju ke Sepang. Akibat dari itu, kami hanya tiba ke destinasi lebih kurang pada pukul 5.30 petang.

Gambar berhampiran pintu masuk ke Golden Palm Tree Resort Sepang
Bagi kami suami isteri, ini merupakan kali kedua kami tinggal di sini. Pertama kali kami tinggal di sini ialah semasa saya mengiringi suami untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan pada pertengahan tahun ini juga. Disebabkan kami tertarik dengan kecantikan tempat inilah maka kami mengambil keputusan untuk membawa anak-anak kami bercuti di sini.

Sebaik sahaja selesai urusan 'check-in' di lobi dan menerima kunci vila kediaman kami, kami bukan terus masuk ke villa tetapi sebaliknya memandu keluar semula dari pusat peranginan tersebut untuk mencari tempat untuk makan kerana muka anak-anak kami yang berempat itu sudah nampak 'panjang muncungnya' disebabkan kelaparan. Ditambah pula dengan hujan yang mula turun dengan lebat semasa kami sampai di pusat peranginan tersebut, menambah lagi alunan 'keroncong' dari dalam perut yang kosong.

Alhamdullillah, tidak jauh dari pintu masuk ke pusat peranginan tersebut, terdapat deretan kedai-kedai makan kepunyaan orang Islam dan yang paling menarik perhatian kami ialah Restoran Nasi Beriani Gam Johor. Maka di sanalah kami sekeluarga menjamu selera, mengisi perut yang kosong tadi. Tidak sempat pula mengambil gambar di restoran tersebut kerana yang ada dalam fikiran waktu itu ialah makan makan dan makan sahaja!

Selepas selesai menjamu selera, alhamdullillah, kami sekeluarga pun kembali ke pusat peranginan tadi dan terus menuju ke villa kami. Memandangkan villa tersebut antara villa yang terletak paling hujung di pusat peranginan tersebut, maka kami perlu menaiki kenderaan 'buggy' untuk sampai ke villa kami. Setibanya di sana, walaupun badan sudah terasa benar keletihan, tapi asbab pemandangan yang indah, maka puaslah kami anak beranak menjenguk dari setiap sudut villa 2 bilik tersebut untuk menikmati keindahan laut di sekeliling vila kami itu.
Dlm perjalanan menuju villa kami, sempat merakam gambar villa 1 bilik.

Kelihatan dari jauh, villa kami yang letaknya hampir paling hujung sekali.

Selepas solat Maghrib, anak-anak meminta izin untuk pergi ke lobi untuk mengambil basikal-basikal yang memang disediakan secara percuma untuk para pengunjung pusat peranginan sahaja dan hanya boleh digunakan untuk bersiar-siar di dalam kawasan pusat peranginan sahaja. Suami saya telah lama tidur nyenyak di atas katil mungkin kerana keletihan memandu dan terperangkap pula dalam kesesakan lalulintas semasa dalam perjalanan. Saya pula sibuk mengeluarkan baju dan barang-barang lain dari dalam beg pakaian yang dibawa dan menyusunnya ke dalam almari di dalam bilik kami. Anak-anak pula mendiami bilik yang sebuah lagi.
Gambar  bilik kami suami isteri ini saya rakam dari luar beranda bilik kami

Lebih kurang sejam selepas anak-anak keluar mengambil basikal dan bersiar-siar di sekitar kawasan pusat peranginan sambil merakamkan gambar-gambar untuk dijadikan kenangan, mereka balik semula ke villa kami. Selepas solat Isyak berjemaah, kami pun makan malam bersama-sama. Memandangkan semua keletihan dan tidak mahu keluar untuk makan malam di luar dari pusat peranginan tersebut, maka saya telah membuat tempahan perkhidmatan bilik (Room Service) sahaja untuk makan malam kami sekeluarga. Alhamdullillah.

Usai makan malam, kami sekeluarga duduk berhimpun bersama-sama di ruang tamu villa tersebut dan mengadakan Majlis Taaleem harian seperti yang kami amalkan di rumah kami setiap kali selepas solat Isyak. Memang kami suami isteri akan memastikan, walaupun kami membawa keluarga kami kemana sekalipun, Majlis Taaleem harian akan terus diadakan, insya Allah.

Selesai majlis tersebut, maka kami semua pun masuk 'beradu' di kamar masing-masing, tidak sabar untuk meneruskan aktiviti percutian kami esok pagi, insya Allah.

1/12/2013 (Ahad)

Seperti biasa, kami suami isteri bangun pada jam 4.30 pagi untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Pada jam 5.15 pagi, kami mengejutkan pula anak-anak untuk melaksanakan tugas mereka sebagai hamba Allah juga. Sementara menunggu masuk waktu Subuh, kami membaca Al-Quran dan berzikir, dan banyakkan berdoa semoga Allah SWT memudahkan urusan kami sekeluarga dari dunia sampai akhirat, insya Allah.

Selesai solat Subuh berjemaah, kami duduk sebentar untuk mengadakan mesyuarat keluarga bagi membincangkan aktiviti percutian kami untuk hari ini. Anak-anak minta izin untuk berbasikal dan melihat-lihat kawasan pantai pula pagi-pagi ini. Sementara itu kami suami isteri, duduk di beranda bilik kami berborak-borak sambil menikmati kopi panas dan biskut yang disediakan. Lebih kurang pada pukul 7.30 pagi, anak-anak balik dari berbasikal dan terus bersiap untuk ikut kami keluar bersarapan di kedai makan yang terletak berhampiran pusat peranginan tersebut. Menu kami pagi ini :  Pisang tanduk goreng, keledek goreng dan yang paling sedap - nasi lemak dibungkus dalam daun pisang diiringi kopi o kampung yang panas, pekat dan manis! Memang sungguh menyelerakan.
Kopi o kaw! (Bukan gambar sebenar)
Sungguh menyelerakan! (Bukan gambar sebenar)

Selesai bersarapan, sudah pun hampir pukul 10.15 pagi. Kami terus menuju ke destinasi pertama kami untuk memulakan program pertama kami pada hari itu : permainan Go Kart! Bayaran yang dikenakan untuk setiap orang yang ingin bermain Go Kart ialah sebanyak RM20/- untuk 5 minit. Anak-anak kelihatan sangat teruja kerana inilah pertama kali mereka akan bermain permainan tersebut. Saya dan suami hanya duduk di tepi litar untuk menjadi pemerhati dan untuk menjadi jurukamera sahaja. Sebenarnya, dalam hati saya, dan rasanya begitu juga dalam hati suami saya, kami berdua teringin juga untuk turut serta bermain Go Kart. Bagaimanapun, bak kata suami," apalah rupanya pula bila orang tengok dua orang atok dan nenek tua berempit main Go Kart kat dalam litar ni!"  Astaghfirullahalaazim!
Gambar yang sempat dirakamkan di litar Go Kart .

Selesai anak-anak bermain Go Kart, kami menuju pula ke lapangan permainan Paintball. Bayaran yang dikenakan ialah RM10/- seorang. Kali ini, kami suami isteri tidak melepaskan peluang untuk turut serta, Sukacita dimaklumkan di sini, penembak paling handal antara kami semua ialah saya sendiri! Subhanallah! Alhamdullillah! Allahuakhbar!
Gambar untuk hiasan saja. (Bukan gambar sebenar)

Terletak betul-betul bersebelahan lapangan permainan Paintball tersebut ialah lapangan sasar untuk memanah, satu lagi permainan yang disertai oleh kami sekeluarga. Bagi saya, inilah pertama kali saya memegang busur dan anak panah. Bukan mudah rupanya. Teringat kepada kecekapan para sahabat r.anhum memanah semasa menyertai peperangan bersama-sama Nabi SAW. Masyaallah! Memang mereka hamba-hamba Allah yang hebat!
Gambar untuk hiasan juga. (Bukan gambar sebenar)
Saya dan suami dikalahkan oleh anak-anak dalam permainan memanah ini. Walaupun ini merupakan kali pertama anak-anak bermain permainan ini, nampaknya sudah ada yang menunjukkan bakat yang menyerlah. Bagus juga kerana memanah ini adalah salah satu permainan yang sangat digemari oleh Nabi SAW. Ianya satu permainan sunnah.

Sebaik sahaja selesai permainan ini, jam sudah menunjukkan hampir pukul 12 tengahari. Kami pun bergegas pulang ke villa dan mula berkemas kerana perlu mendaftar keluar pada jam 12 tengahari.  Selesai proses daftar keluar, kami pun memulakan perjalanan balik ke rumah kami. Dalam perjalanan, sempat juga singgah sebentar di sebuah kedai menjual bantal kekabu yang terletak di tepi jalan Sungai Pelek. Setelah membeli beberapa biji bantal kekabu, suami mengajak kami berhenti di sebuah masjid di Sungai Pelek untuk membolehkan kami menunaikan solat Zohor. 

Usai solat Zohor, kami pun meneruskan perjalanan pulang. Oleh kerana keletihan selepas melakukan berbagai aktiviti, saya dan juga anak-anak tertidur dalam perjalanan. Kasihan suami, memandu seorang tanpa teman untuk diajak berbual. 

Entah berapa lama kami tertidur, tau tau saya terdengar suara suami mengejutkan saya supaya bangun. "Jom singgah makan tengahari sekejap. Lepas makan, kita singgah di Masjid Al-Hasanah Bangi untuk solat Asar. Lepas tu giliran Yang pula memandu." Suami memberi arahan.

Tiba-tiba kedengaran suara anak-anak menjerit,"nasi beriani lagiii???"
Astaghfirullahalaazim! Rupa-rupanya suami saya memberhentikan kereta kami betul-betul di hadapan Bangi Beriani House! Hehehe...nasiblah  anak-anak oiii!!! Kalau babah dah kemaruk nak makan nasi beriani hari-hari, kita ikutkan sajalah. 
Gambar buat hiasan saja.
Selesai makan tengahari di Bangi Beriani House, kami menuju ke Masjid Al-Hasanah Bangi. Dan selesai menunaikan solat Asar di sana, saya mengambil alih tugas memandu hingga sampai ke rumah kami. Alhamdullillah.

Sepanjang perjalanan itu saya dihiburkan dengan alunan dengkuran 'pelbagai rentak' dari sidia yang tidur lena disebelah saya...hmmm...oh suamiku!

No comments:

Post a Comment