Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Sunday, 29 December 2013

HADIAH PERCUMA

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google


Pengakuan terus-terang. Hari ini saya telah melakukan satu dosa besar. Bukan disengajakan. Tapi dalam pada tidak disengajakan itulah, saya telah lakukan dosa besar tu. Astaghfirullahalaazim.

Pagi-pagi tadi, saya ke rumah kawan saya, Zainah. Beliau seorang wanita yang serba boleh. Beliau boleh jadi tukang urut, boleh juga jadi mak bidan, boleh juga jadi tukang masak. Malah beliau juga boleh menjadi tukang menguruskan dan memandikan jenazah.

Saya pergi ke rumah Zainah pun dengan niat untuk membayar duit bihun putih yang saya tempah dari beliau buat menjamu kawan-kawan anak lelaki saya yang datang bertamu di rumah kami selepas solat Jumaat yang lepas. Bihunnya sudah habis dijamu kepada tetamu, tapi bayarannya masih belum sempat saya lunaskan.

Setibanya di rumah Zainah, beliau sudah sedia menunggu di hadapan pintu rumahnya.
"Masuklah dulu. Boleh duduk kat dapur sambil minum teh secawan dua. Aku ada buat roti halia dengan sup. Boleh juga kau rasa." Pelawa Zainah pada saya
"Tak payahlah Zainah. Aku sekejap saja ni. Nak ke pasar Sungai Besi sekejap. Nak beli  tulang  lembu dan daging sedikit. Nak buat sup untuk suami dan anak-anak." Jawab saya pula.

Maka berdirilah kami berdua sambil menyambung perbualan di luar pintu pagar rumah Zainah.

"Nah, ni duit RM100/- yang aku hutang kau tu. Duit bihun hari tu. Bihunnya dah habis masuk perut orang dan jadi darah daging, duitnya jugak belum aku bayar kat kau. Maaf banyak lah ya Zainah?" jelas saya pada Zainah sambil menghulurkan duit kertas RM100/- sekeping kepadanya.

"Allah! Tak mengapa. Aku faham. Bila aku nak datang rumah kau, kau sibuk. Bila kau tak sibuk, aku pulak sibuk. Tak ada masalah lah. Macamlah kita ni baru kenal." Pujuk Zainah pula. Lega rasa mendengar kata-kata Zainah itu. Kurang sedikit rasa bersalah.

"Kau ada dengar pasal makcik yang meninggal dekat rumah aku baru-baru ni? Dia duduk kat rumah anak dia, tu ha, dekat lorong belakang rumah aku saja." Zainah memberitahu saya.

"Ada aku dengar, tapi biasalah aku ni, apa-apa hal pun, kalau aku nak keluar dari rumah, aku kena minta izin suami aku dulu. Tapi, alhamdullillah, aku dapat kirimkan Fatihah kat arwah." Jelas saya pada Zainah pula.

"Siapa mandi dan uruskan jenazah makcik tu? Kau ke?" tanya saya pada Zainah pula.
"Ya, aku dengan Kak Idah, Dr. Zah dan Ustazah Rosnah. Kamilah uruskan, alhamdullillah." Jelas Zainah pada saya.

"Tapi, kau tau si polan tu, macam biasa, dah nak selesai semua baru tunjuk muka. Dan macam biasa, kecoh lah, menegur itu dan ini, semuanya tak kena di pandangan matanya. Aku, Kak Idah, Dr. Zah dan Ustazah Rosnah diam saja, malas nak layan. Dah masak benar dengan kerenah si polan tu. Masa anak arwah telefon aku minta uruskan jenazah mak dia, aku telefon si polan tu dulu. Macam biasa, jawapan dia, dia sibuk, ada di luar daerah. Jadi aku cakap, tak mengapa, kalau macam tu, biarlah kami-kami yang ada ni yang uruskan." Zainah menjelaskan kepada ku akan keadaan yang berlaku.

Saat itu, sudah terdetik di dalam hati saya, sekiranya saya teruskan juga perbualan dengan Zainah ni, harus kami akan mengumpat mengenai si polan tu, sebab si polan tu memang 'makhluk'  yang sering mengundang kontroversi di taman perumahan kami itu. Namun, di sudut lain dalam hati saya pula seakan 'menghalalkan' perbualan antara saya dan Zainah ini, "apa pulak, ini tak dikira mengumpat, ini memang kejadian benar, apalah pulak salahnya? Boleh dijadikan iktibar ni."

"Hmmmm...macam kau tak kenal si polan tu Zainah....." dan kami berdua mula bercerita tentang pengalaman-pengalaman "manis" yang pernah kami lalui dengan si polan tersebut.
Dan malam ini, saya terfikir semula mengenai perbualan saya dengan Zainah pagi tadi. Adakah saya dan Zainah  telah mengumpat mengenai si polan tu dalam perbualan kami itu? Susah untuk saya membohongi diri sendiri tapi jawapan yang sangat pasti ialah YA! Pagi tadi memang saya dan Zainah telah mengumpat! Astaghfirullahalaazim.

Habislah segala amal ibadat yang telah saya dan Zainah lakukan, semua telah kami 'hadiah'kan dengan percuma kepada si polan tersebut. Astaghfirullahalaazim.

Kalau sudah tahu akan rugi dan 'muflis' begini, mengapa masih terus dibuat juga? Astaghfirullahalaazim.


No comments:

Post a Comment