TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh
Hari ini, Selangor cuti. Cuti sempena menyambut Hari Keputeraan Sultan Selangor yang ke 68. Jadi, walaupun suami saya bukan orang Selangor, tapi disebabkan pejabat beliau terletak di dalam negeri Selangor, maka hari ini suami saya pun layak bercuti juga.
Biasanya, dihari-hari cuti begini, sebaik sahaja balik dari masjid, suami akan masuk ke bilik tidur kami dan menarik selimut semula. Maksudnya, menyambung tidurnya semula lah.
Bagaimanapun, hari ini, kebiasaan itu tidak berlaku. Sebaliknya, beliau bertanya kepada saya yang sedang sibuk bersiap untuk ke pasar.
" Sayang nak ke pasar ya? Hari ni Abang Aji nak ikut boleh?" tanya suami saya kepada saya.
" Hah? Abang Aji nak ikut Sayang ke pasar? Betul kah ni? Atau Sayang bermimpi disiang hari? Abang Aji demam kah?" soal saya pula kepada suami saya. Terkejut dengan 'keluarbiasaan' suami pagi ini.
"Eh! tak ada lah. Abang Aji sihat saja. Salah kah kalau Abang Aji nak temankan isteri Abang Aji ke pasar sekali sekala?" tanya suami saya semula kepada saya. Ada nada ingin tahu dalam suaranya.
" Mestilah tak salah, malah Sayang lagi suka kalau Abang Aji sudi temankan Sayang ke pasar," jawab saya dengan nada gembira.
Maka pagi tadi, oleh kerana suami saya ada bersama dan beliau yang memandu, maka saya mengajak suami untuk ke pasar yang letaknya agak jauh sedikit dari rumah kami. Pasar Sungai Besi.
Sekiranya tiada anak-anak yang menemani saya, memang saya tidak akan datang langsung ke Pasar Sungai Besi ini. Lokasinya yang agak jauh dari kawasan rumah saya, dan juga persekitarannya yang sibuk dan juga kepayahan mendapatkan tempat letak kereta berhampiran dengan kawasan pasar, merupakan antara faktor yang menyebabkan saya tidak akan datang ke pasar ini jika tiada berteman.
Bagaimanapun, di Pasar Sungai Besi ini terdapat lebih banyak pilihan barang-barang basah dan juga barang-barang kering sekiranya dibandingkan dengan pasar yang terletak di dalam kawasan rumah saya sekarang. Sebab itu, sekali sekala, bila saya berpeluang untuk datang ke pasar ini, saya tidak akan melepaskan peluang untuk membeli barang-barang basah dan kering yang susah untuk saya temui di pasar yang saya biasa pergi.
Tambahan pula, pagi ini, suami saya sendiri yang menemani saya ke pasar. Seronok betul rasanya sebab bukan senang untuk dapat peluang ditemani suami bila saya ke pasar. Tambahan pula, bila ke pasar sendirian, saya perlu berjimat cermat berbelanja. Tapi, bila suami ada di sisi, apa yang saya perlu lakukan hanyalah, tunjuk sahaja apa yang saya perlukan dan suami akan membayarnya untuk saya. Masyaallah! Jimat duit dapur saya minggu ini!
Saya sempat mengambil gambar beberapa gerai yang pasti saya akan kunjungi bila saya ke Pasar Sungai Besi untuk saya kongsi di dalam blog saya ini.
Gerai sayur ;Abang Hensem' yang selalu saya kunjungi.
Gerai barangan kering 'Adik Manis' yang peramah dan berpatutan harganya.
Eh? Baru saya perasan. Kenapa tiba-tiba kawan-kawan saya yang menjadi penjual di gerai-gerai kegemaran saya ini tidak ramah dan bising-bising menyakat saya seperti kebiasaan mereka bila saya datang membeli barang dengan ditemani anak-anak bujang saya? Ooo..baru saya faham. Rupa-rupanya mereka segan dengan suami saya yang menjadi 'bodyguard' saya ke pasar pagi ini.
Banyak betul 'keluarbiasaan' terjadi pagi-pagi ini.
No comments:
Post a Comment