TEKS : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google
25 Oktober 2010.
“ Puteh,
maafkan abang. Ini semua salah abang. Kalau abang tidak sibuk menjawap
panggilan telefon semasa sedang memandu tempohari, tentu kita tidak terlibat
dalam kemalangan tersebut dan kehilangan anak sulong kita yang sedang Puteh
kandung. Maafkan abang Puteh!” Khalil menangis teresak-esak, sambil mengucup
tangan Puteh yang masih kelihatan lemah itu.
“ Tak
mengapa bang. Ini bukan salah abang. Ini semua takdir yang Allah telah tentukan
untuk kita berdua. Puteh redha abang. Dan Puteh mahu abang pun redha juga.
Insya allah, adalah hikmah disebalik semua ketentuan Allah ini,” Puteh dengan
lembut memujuk suaminya Khalil sambil mengusap-ngusap tangan suaminya.
Khalil
mengesat airmatanya dan menggenggam kedua belah tangan isterinya di dalam
tangannya. “Puteh, abang tak boleh maafkan diri abang Puteh. Hukumlah abang!
Abang memang layak terima hukuman sebab buat Puteh jadi macam ni!” Khalil terus
menarik kedua belah tangan isterinya ke mukanya dan digunakannya tangan itu
untuk menampar-nampar mukanya sendiri.
“ Abang,
cukuplah bang. Cukuplah. Puteh sedikit pun tak salahkan abang. Ini semua memang
sudah Allah takdirkan untuk kita. Kita kena redha bang. Allah ambil anak itu
dari kita untuk jadi ‘harta’ kita di akhirat nanti bang insya allah. Yakinlah
bang, itu janji Allah,” Puteh terus memujuk suaminya itu.
Dan
Khalil terus memeluk erat tubuh Puteh.
*****
25 Oktober 2011.
Khalil
merenung air laici yang terletak di atas meja di hadapannya.
"Abang,
apa yang dimenungkan tu? Sampai tak nampak Rozi kat depan abang ni?" Rozi
menyapa kekasihnya itu dengan nada manja.
"Eh!
tak ada apa-apa sayang. Kerja banyak kat pejabat hari ini. Itulah rasa pening
sikit. Dah buat pesanan makanan?" tanya Khalil kepada Rozi, bakal
isterinya itu.
"Dah.
Macam biasa, nasi goreng tomyam satu untuk Rozi dan nasi goreng cendawan satu
untuk abang, betul kan?" tanya Rozi lagi sambil memandang muka Khalil yang
duduk di hadapannya dan melemparkan senyuman manja.
"
Ya, betullah tu. Pandai buah hati abang ni," puji Khalil kepada Rozi,
gadis manis dari utara yang sudah mencecah
umur 27 tahun itu.
Sebagai
seorang Pengurus Kanan di jabatan sumber manusia sebuah bank terkemuka di
ibunegara, memang menjadi salah satu tugas Khalil untuk menjadi penemuduga
calon-calon pegawai baru bank tersebut.
3 bulan
lepas, semasa mengendalikan salah satu sesi temuduga, Khalil mengenali Rozi,
seorang graduan yang baru menamatkan pengajian di universiti luar-negara.
Kepetahan dan kepintaran Rozi menjawab setiap soalan yang dikemukakannya semasa
sesi temuduga, berjaya ‘mengait’ hatinya untuk mengenali wanita muda tersebut
dengan lebih rapat. Ditambah pula dengan perwatakan Rozi yang manja dan juga
rupa parasnya yang manis, Khalil semakin bersemangat.
Dan
setelah Rozi berjaya di dalam temuduga tersebut, Khalil sengaja menempatkan
Rozi untuk bertugas sebagai penolong pengurus di jabatan yang sama dengannya
dengan harapan dapat ‘terserempak’ selalu dengan wanita muda yang telah berjaya
‘memancing’ perasaannya itu.
*****
“ Puteh, abang ingin
berkahwin lagi. Dengan Rozi, kakitangan
di jabatan abang yang abang pernah ceritakan pada Puteh dulu. Puteh, abang ingin punya anak, zuriat abang
sendiri. Abang harap Puteh faham,” jelas Khalil pada isterinya Puteh suatu
petang selepas balik dari kerja sambil
menikmati kueh karipap hasil air tangan isterinya itu.
Menggeletar tangan Puteh
yang sedang menuang air teh ke dalam cawan di hadapan Khalil. Airmata sudah
mula bergenang di bibir matanya. Puteh mengetap bibirnya, menahan rasa sedih
dan juga kecewa di dalam hatinya.
“ Puteh faham bang. Puteh
sedar Puteh tak mampu melahirkan zuriat untuk abang. Walaupun Puteh rasa sedih, tapi Puteh faham. Yang
penting bagi Puteh, abang dapat laksanakan tanggungjawab sebagai suami dengan
baik bila sudah beristeri dua nanti. Jangan sampai abang lupakan Puteh,
sudahlah,” sayu saja nada suara Puteh menjawap kata-kata suaminya itu.
Khalil tersenyum gembira
mendengar jawapan dari Puteh. Hasratnya untuk memperisterikan Rozi semakin
menjadi kenyataan. Puteh termenung jauh.
*****
“ Rozi tak mahu hidup
bermadu! Tak mahu! Abang pilihlah salah seorang dari kami, Rozi ataupun Puteh!”
bentak Rozi kepada Khalil.
“Tapi, Puteh sedia terima
Rozi untuk menjadi isteri abang. Dia
tidak membantah. Dia faham keinginan abang. Dan abang harap Rozi pun sedia juga
untuk hidup bermadu dengan Puteh. Boleh Sayang?”, Khalil cuba memujuk Rozi buat
hatinya itu.
“Abang tak faham ke apa yang
Rozi cakap ni? Rozi tak mahu hidup bermadu!” Rozi terus memalingkan mukanya dari memandang
Khalil. Khalil menggeleng-gelengkan kepalanya, runsing. Pada Rozi hatinya sudah
terpaut, dengan Puteh hatinya masih sayang.
25 Oktober 2012.
Pagi-pagi
lagi Puteh sudah ke pasar ditemani Mak Mah ibunya. Macam-macam dibeli Puteh di
pasar hari itu.
“Puteh
nak masak istimewa sedikit sempena harijadi Puteh hari ini mak. Abang Khalil
kata dia ada hadiah untuk harijadi Puteh petang ni” Puteh tersenyum memandang
ibunya.
Mak Mah
hanya tersenyum saja memandang kerenah anaknya itu.
*****
" Maafkan
abang Puteh. Abang tiada pilihan. Abang mahukan zuriat sendiri. Abang masih
sayangkan Puteh tetapi Rozi tidak mahu hidup bermadu. Jadi, abang terpaksa ceraikan
Puteh. Abang malu hendak melafazkannya di hadapan Puteh sendiri. Jadi, Puteh
dengarlah baik-baik ya. Saat ini abang ceraikan Puteh dengan talak satu!"
lafaz Khalil dengan suara yang lemah melalui telefon.
Puteh
tergamam. Gagang telefon yang terletak di telinganya tadi terlepas
perlahan-lahan dari gengamannya. Perkataan cerai yang baru sahaja dilafazkan
oleh Khalil, ibarat petir yang menyambar dan terus menikam
sanubarinya.
"Astaghfirullahalaazim.
Ya Allah. Inikah hadiah harijadi dari suamiku untuk ku? Astaghfirullahalaazim."
bisik Puteh perlahan-lahan. Airmatanya sudah tidak dapat ditahan lagi. Puteh
duduk terperosok di sudut sofa disebelah meja telefon rumah itu.
"Puteh!
Puteh! Kenapa ni nak?" tanya Mak Mah kepada Puteh sambil
menggoyang-goyangkan bahu Puteh perlahan-lahan.
Puteh
diam tidak menjawab pertanyaan ibunya. Yang kedengaran hanyalah esak
tangisannya disebalik kedua belah tangan yang menekup mukanya.
"Abang
Aji! Abang Aji! Keluarlah sekejap dari dalam bilik tu. Tengokkan anak kita
ni. Tiba-tiba menangis ni. Saya tanya tak mahu pula dijawabnya." Mak Mah
memanggil suaminya, Haji Ramli dengan nada cemas.
Haji
Ramli bergegas keluar dari bilik tidurnya dan dengan segera menuju ke ruang
tamu. "Puteh! Puteh! Kenapa menangis macam ni? Ada apa ni nak? Cuba
cerita kat abah dengan mak ni Puteh," kata Haji Ramli, memujuk anak
kesayangannya itu.
Perlahan-lahan
Puteh mengalihkan kedua belah tangannya yang dari tadi menekup mukanya.
"Abah..abang
Khalil ceraikan Puteh tadi. Dia lafaz melalui telefon," jelas Puteh kepada
abah dan maknya sambil tersedu-sedu.
"Astaghfirullahalaaazim!
Dah gila si Khalil tu? Tegah dek perempuan tu, sanggup dia ceraikan kau Puteh?
Kurang ajar punya menantu!" Mak Mah mula meninggikan suara. Dalam hatinya
geram benar dengan tindakan menantunya itu.
"Astaghfirullahalaazim!
Awak ni pun Che Mah! Banyakkan istighfar! Jangan cakap ikut sedap mulut, ikut
perasaan marah. Nanti menyesal." Haji Ramli menegur isterinya.
Mak Mah
menjeling ke arah suaminya sambil mencebikkan bibir.
"Orang
lelaki! Bila dah jumpa perempuan lain, yang halal jadi haram. Yang haram dibuat
macam halal! Apa salah anak kita sampai diceraikan pula? Sebab kecuaian dia
lah, cucu kita yang masih dalam kandungan mati dan anak kita tidak boleh
mengandung lagi!" bentak Mak Mah kepada suaminya sambil tangannya memeluk
bahu anak sulongnya itu.
"Sudahlah
tu. Ini bukan masanya untuk cari salah sesiapa pun. Kita semua kena bawa bertenang
dulu." Kata Haji Ramli cuba untuk menenangkan keadaan.
"Puteh,
pergi ambil wudhu dulu ya? Lepas tu solat sunat 2 rakaat ya nak? Sebaik-baik
tempat mengadu segala masalah hanyalah pada Allah. Bersabarlah dan berdoalah
minta bantuan dari Allah ya nak?" Haji Ramli memujuk anaknya.
Puteh
mengesat airmata di pipinya. Perlahan-lahan Puteh bangun dari sofa tadi. Mak Mah
cuba untuk membantu, khuatir kalau anaknya rebah tiba-tiba.
"
Tak mengapa mak, Puteh boleh bangun sendiri. Puteh nak masuk bilik dan pergi
solat sunat dulu ya mak, abah?" kata Puteh meminta izin daripada kedua
orang tuanya. Di dalam hatinya Puteh berbisik sendirian," 25 Oktober, tarikh 'kiamat' hidupku." Dan Puteh terus melangkah longlai menuju biliknya.
*****
Puteh termenung jauh
memandang tasik yang tenang di hadapannya.
Semenjak diceraikan Khalil, setiap
petang Puteh akan memandu ke Taman Tasik Permaisuri, dan setiap kali pasti Puteh akan duduk di bangku
yang sama mengadap tasik tersebut. Puteh berasa damai di situ.
“ Aina! Jangan lari nak!
Nanti jatuh dalam tasik tu, bahaya!” Kedengaran suara seorang lelaki menegur
anaknya.
Puteh mengalihkan
pandangannya ke sebelah kanan dan melihat seorang budak perempuan yang comel sedang memegang bola
sambil berlari-lari menghampiri tepi tasik tersebut. Khuatir akan keselamatan anak
kecil itu, Puteh terus menyapanya sambil menarik tangan anak kecil itu
perlahan-lahan ke arahnya.
“ Mari sini dekat makcik. Jangan main dekat tepi tu,
nanti jatuh ke dalam tasik, bahaya,” suara Puteh lembut menegur anak kecil itu.
Si kecil bermata bundar dengan rambut bergulung kasar itu memandang Puteh sambil tersenyum.
“ Siapa nama ni?” Puteh
bertanya kepada si kecil yang comel itu.
“ Aina.” Jawab Aina sambil
tersenyum memandang Puteh.
“Maaf Cik. Anak saya ni
memang nakal sikit. Makin ditegur, makin pantas pula langkahnya,” jelas lelaki
tadi kepada Puteh.
“ Tak mengapa. Budak-budak,
memang macam tu. Namanya Aina ya? Cantik namanya. Macam orangnya.” Jawab Puteh
pula.
“ Aina, jom ikut papa balik.
Hari dah petang ni sayang. Jangan ganggu makcik tu ya?” lelaki tersebut cuba
memujuk Aina. Tapi semakin dipanggil papanya,
semakin kuat Aina berpaut kepada lengan Puteh.
“ Aina tak mau balik. Aina
nak duduk sini dengan makcik ni. Nak tengok ikan kat situ,” jawab Aina sambil
jari comelnya menunjuk ke arah tepi tasik tersebut.
“ Janganlah begitu Aina. Jom
ikut papa masuk kereta, nanti papa belikan aiskrim ya sayang?” Papa Aina terus
cuba memujuk anaknya itu.
“ Tak mahu! Aina nak duduk kat sini dengan makcik,” bentak Aina sambil menghentak-hentakkan
kakinya.
“ Tak mengapalah Encik.
Biarlah Aina duduk sebentar di sini dengan saya. Saya pun bukan nak
kemana-mana.” Jelas Puteh sambil memandang ke
arah lelaki tersebut.
Lelaki tersebut mengeluh. Nampak benar rasa kecewa
dengan kedegilan anaknya itu.
“ Berapa umur Aina ?” Puteh
bertanya sambil memandang Aina.
“ 3 tahun lah!” Dengan petah
Aina menjawab sambil menunjukkan 3 jari kanannya kepada Puteh.
Puteh tersenyum. Terhibur
dengan keletah Aina. Papa Aina yang sedang berdiri tidak jauh dari bangku yang
diduduki Puteh dan Aina, turut tersenyum.
“ Mama Aina tak datang
sekali dengan Aina?” Tanya Puteh lagi kepada anak kecil itu.
Aina merenung wajah Puteh.
Seolah-olah tidak faham dengan soalan Puteh itu. Aina kemudian berpaling kearah
papanya, seperti meminta bantuan papanya untuk menjawab soalan Puteh itu.
“Aina, jom kita balik nak.
Kesian Tok Mak tunggu Aina kat rumah.” Rayu papa Aina lagi tanpa menghiraukan
soalan Puteh kepada anaknya tadi.
“Aina pergilah ikut papa ya?
Kesian Papa Aina.” Puteh turut cuba memujuk anak kecil itu.
“Besok Aina jumpa makcik
lagi kat sini ya?” Aina bertanya sambil menggenggam jari jemari Puteh.
“Insya allah, boleh.” Jawab
Puteh sambil mencubit lembut pipi Aina.
Dan mata Puteh terus
mengiringi pemergian Aina dan Papanya hingga hilang dari pandangan.
*****
Shafiq memandang Aina,
anaknya yang sedang bermain di laman di hadapan rumahnya.
“Kasihan Aina. Masih terlalu
muda untuk memahami keadaan ini.” Bisik hati kecil Shafiq.
“Tapi sampai bila aku perlu
biarkan Aina begini? Aina perlukan belaian kasihsayang dari seorang ibu. Aku
sentiasa sibuk dengan kerjaku. Dan ibuku semakin uzur dan tak mampu untuk
mengasuh Aina selamanya.” Shafiq mengeluh.
“Shafiq, kenapa mengeluh ni?”
Tanya Hajjah Rosnani kepada anak sulongnya itu.
“Tak ada apa-apa mak. Saja
mengenangkan nasib ni,” jelas Shafiq
kepada ibunya.
“Jangan dikenang orang yang
dah tak ada. Dah 3 tahun dah arwah Liza
meninggal. Kamu pun dah lama sangat membujang. Aina pun dah semakin membesar.
Eloklah cari pengganti Liza dan juga ibu untuk Aina.” Hajjah Rosnani memujuk
anaknya itu.
Shafiq terdiam mendengar
kata-kata ibunya itu. Semenjak arwah isterinya Liza meninggal dunia selepas
melahirkan anak sulong mereka, Aina, dunia Shafiq hanyalah Aina dan juga
perniagaannya. Mujur ada ibunya Hajjah Rosnani yang sanggup duduk bersamanya
dan membantu menjaga anaknya Aina. Tapi, sampai bila?
*****
Shafiq tercari-cari wanita
yang sering dilihatnya duduk di bangku batu mengadap tasik di taman tersebut.
Hampir setiap petang selepas balik dari pejabat, Shafiq akan membawa Aina
bersiar-siar di taman tersebut. Dan entah mengapa, semenjak akhir-akhir ini,
ianya menjadi satu rutin yang wajib untuk Shafiq membawa Aina ke sana.
Dan setiap kali melihat
kelibat wanita berkulit putih kuning dan bertubuh sederhana itu berada di
bangku tersebut, Aina pasti berlari-lari dengan gembira menuju terus ke dalam
pangkuan wanita tersebut, seolah-olah Aina sudah lama mengenalinya.
Petang itu, Shafiq akhirnya
memberanikan diri menyapa wanita itu, “maafkan saya, bolehkah saya bertanya
sesuatu kepada Cik?” Tanya Shafiq kepada Puteh.
Puteh memandang wajah lelaki
tersebut dari sudut matanya, dan perlahan-lahan menganggukkan kepalanya.
“Sebelum itu, saya Shafiq,
papa Aina. Nama Cik?” Tanya Shafiq.
Senyap.
“Kalau Cik keberatan, tak
mengapalah. Maafkan saya dan Aina kerana sering mengganggu ketenteraman Cik di
sini,” Shafiq berkata lagi, seolah-olah merajuk.
“ Saya Puteh,” jawab Puteh
perlahan.
“Alhamdullillah,” jawab
Shafiq sambil tersenyum.
“Makcik, Aina nak tengok
ikan kat sana,” pinta Aina kepada Puteh sambil menarik tangan Puteh untuk
bangun mengikutnya ke tepi tasik.
“Aina! Jangan buat makcik
macam tu,” Shafiq menegur anaknya.
“Tak mengapa Encik Shafiq, bukan jauh pun,” lantas Puteh terus bangun dan
memimpin tangan Aina untuk melihat ikan di tepi tasik tersebut.
Shafiq memandang telatah anaknya
Aina dan Puteh. Ada perasaan baru berputik di dalam hati Shafiq.
*****
“Mak, Shafiq rasa Shafiq dah
jumpa calon ibu untuk Aina mak,” kata Shafiq kepada Hajjah Rohani beberapa hari
kemudian.
“Alhamdullillah! Betul ni
Shafiq? Shafiq tak bergurau kan?” Tanya Hajjah Rohani meminta kepastian dari
anaknya itu.
“Insya allah mak. Shafiq pun
dah buat solat istiqarah. Alhamdullillah, Allah telah bantu Shafiq dan berikan
petunjuknya.” Jelas Shafiq kepada ibunya itu.
“Alhamdullillah. Inilah
berita gembira yang mak tunggu-tunggu selama ini Shafiq. Mak kenal ke orang nya
ni Shafiq? Seingatan mak, semenjak arwah meninggal, Shafiq tidak ada berkawan
dengan sesiapa. Shafiq asyik sibuk menguruskan perniagaan Shafiq dan juga Aina
saja. Bila nak kenalkan dengan mak ni?” Tanya Hajjah Rohani seperti tidak
sabar-sabar untuk mengenali bakal menantunya itu.
“Insya allah mak, dalam
jangkamasa terdekat ni, Shafiq kenalkan dia dengan mak. Namanya Puteh mak,”
Shaqif memberitahu ibunya.
*****
Petang itu, seperti yang
dijanjikan, Shafiq pergi menemui Puteh di tempat biasa di tasik tersebut. Kali
ini kehadiran Shafiq tanpa membawa Aina bersamanya.
“Aina mana? Tak dibawa
sekali?” Tanya Putih kepada Shafiq bila dilihatnya Shafiq datang sendirian
petang itu.
“Tidak, Aina ada di rumah
saya dengan mak saya,” jawab Shafiq.
Puteh diam. Matanya terus
memandang tasik di hadapan tempat duduknya itu. Timbul rasa segan bila duduk berdua bersama Shafiq
tanpa kehadiran Aina.
“Puteh, kita telahpun
mengenali serba sedikit mengenai diri masing-masing. Saya perhatikan Aina pun
sangat serasi dengan Puteh. Di rumah, Aina asyik bercerita mengenai Puteh
kepada mak saya. Biarlah saya berterusterang Puteh. Sebenarnya, saya sendiri,
sangat senang dengan kehadiran Puteh dalam hidup kami. Rasa seolah-olah, hidup
saya bercahaya semula. Susah saya nak
gambarkan perasaan saya ini Puteh,” ucap Shafiq sambil memandang Puteh. Puteh tunduk
. Pipinya bertukar menjadi putih kemerah-merahan sebaik mendengar pengakuan
Shafiq itu.
“Puteh, sudikah Puteh
menjadi isteri saya dan ibu kepada Aina?” Shafiq memberanikan diri bertanyakan
soalan cepumas itu kepada Puteh.
Puteh masih menundukkan
wajahnya. Dalam hatinya berdebar kencang.
Dan air tasik di hadapannya
kelihatan berkilauan dengan tenang.
25 Oktober 2013.
“ Saya
nikahkan kamu, Shafiq bin Abdul Rahman dengan anak saya, Puteh binti Ramli
dengan mas kawinnya RM500/-, tunai!” ucap Haji Ramli sambil menjabat tangan
Shafiq.
“ Saya terima nikahnya, Puteh binti Ramli,
dengan mas kahwinnya RM500/- tunai!” lafaz Shafiq dengan tenang.
Dan tidak
jauh di belakang Haji Ramli, kelihatan Puteh tersenyum sambil menitiskan
airmata sambil memeluk Aina dan mencium pipi anak barunya itu.
Di dalam hati Puteh berbisik sendirian, " 25 Oktober, tarikh 'keramat' ku, alhamdullillah."
Teringin pula nak tahu kisah Khalil dan Rozi...bahagiakah? dpt anakkah? Kalau buat babak mereka terserempak dan Khalil tu terkilan pun ok juga kan
ReplyDelete