Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Friday 6 December 2013

REDHA SUAMI.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Petang semalam, sebaik sahaja saya dan suami tiba di Ringlet, Cameron Highland, azan menandakan masuk waktu solat Maghrib berkumandang di masjid berhampiran.

"Mizan, kita ke masjid dahulu untuk solat berjemaah." Suami saya memberitahu pemandu kami, Hamizan. Hamizan, yang sudah lebih dari 4 tahun menjadi pemandu kami, terus menganggukkan kepala dan memandu menuju ke Masjid An Nur Ringlet.

Setibanya di perkarangan Masjid An Nur, suami saya bertanya kepada saya,"Sayang, nak solat di sini kah?"
"Tak mengapalah Abang Aji, Sayang tunggu dalam kereta sahaja. Tadi semasa dengar azan Maghrib tadi, Sayang sudah pun niat jamak takhir." Saya memberitahu suami saya. Mendengar jawapan saya itu, suami saya pun keluar dari kereta bersama-sama pemandu kami dan berjalan menuju ke dalam masjid untuk menunaikan solat jamak taqdim dan qasar waktu Maghrib dan Isyak.
Masjid An Nur Ringlet. Rasanya ini gambar lama.

Sebaik sahaja selesai solat di masjid tersebut, kami pun bergerak menuju ke hotel tempat kediaman kami di Cameron Highland ini. Cuaca memang sangat sejuk, ditambah pula dengan hujan renyai-renyai dan angin yang bertiup agak kencang. Sejuknya terasa sampai ke tulang. 

"Hamizan, dalam pukul 9.30 malam, tolong sediakan kereta untuk kita pergi makan malam di luar ya?" pesan suami saya kepada pemandu kami. Hamizan, seperti biasa, hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala tanda faham.

Kalau nak diikutkan hati, dengan rasa penat duduk selama hampir 4 jam di dalam kereta, saya memang tidak mahu langsung keluar dari bilik hotel kediaman kami itu. Tetapi,  suami saya memang tidak biasa dan tidak senang makan sendirian terutamanya bila bertugas di luar daerah maupun bila bertugas di luar negara. Ini merupakan salah satu sebab utama mengapa suami sering mahu saya mengiringi dan menemani beliau apabila beliau pergi ke mana-mana. Lagipun, setiap kali apabila saya melangkah keluar dari rumah untuk memulakan perjalanan menemani suami kemana mana, memang saya akan berniat  untuk berkhidmat kepada suami dan menemani beliau lillahitaala, insya allah. Jadi sebagai isteri yang taat, saya selalunya mengenepikan segala kemahuan dan kepentingan diri saya dan akur dengan kemahuan dan perintah suami demi untuk menggembirakan hati beliau.

Bukankah redha Allah cuma akan diperolehi oleh seorang isteri hanya apabila suaminya redha padanya?




No comments:

Post a Comment