Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Sunday 8 December 2013

'PEMANGKIN' KEGEMBIRAAN.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Malam tadi saya tidur dengan lena. Rasa risau tentang beberapa masalah masih tetap ada, tidak pula kerisauan tersebut lenyap bersama tidur saya. Maksudnya, kalau malam tadi, saya 'relakan' diri saya berjaga sampai tidak tidur malam semata-mata untuk berfikir tentang masalah saya, pasti kepala saya bertambah berat pagi ini kerana masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan kemudian ditambah pula dengan sakit kepala kerana tidak cukup tidur. Alhamdullillah, setidak-tidaknya, saya dapat tidur dengan lena.

Salah satu perkara yang saya belajar melalui pengalaman saya semasa menjadi seorang ibu tunggal ialah jangan terlalu memikirkan tentang masalah yang sedang dihadapi. Memang saat berdepan dengan masalah, perasaan akan jadi tertekan. Dan memang sifat semulajadi kebanyakan wanita, baik saat dilanda rasa sedih mahupun bila berasa gembira, airmata sentiasa menjadi peneman setia.

Melalui pengalaman saya sendiri, apabila saya diuji dengan masalah, saya akan menangis. Pada saya, menangis itu satu terapi, satu cara untuk saya melepaskan rasa 'sesak' dalam dada saya.  Bagaimanapun, cara saya menangis, bukanlah dengan meraung, menekupkan muka ke bantal busuk sambil mengguling-gulingkan diri di atas katil (saya sendiri 'takut' untuk membayangkan rupa saya di dalam keadaan demikian.). Biasanya, saya akan mengambil wudhu, kemudian masuk ke dalam bilik saya, menghamparkan sejadah, memakai telekung, dan terus solat sunat 2 rakaat, insya allah.
Saat itu, saya 'serahkan' diri saya bulat-bulat kepada Allah. Saya curahkan semua airmata kepadaNYA. Saya sujud dan merintih mohon belas kasihan dariNYA. Bukankah saya ini hambaNYA? Bukankah Allah Maha Mengetahui dan lebih mengenali diri saya lebih dari saya mengenali diri saya sendiri? Dan bukankah segala masalah dan ujian yang saya hadapi datangnya dari Allah? Jadi, bukankah sepatutnya kepada Allah saya menangis dan merayu sepuas-puasnya mohon diberi petunjuk dan jalan keluar? Subhanallah.

Suatu ketika dahulu, saya pernah juga mencuba cara melepaskan perasaan yang tertekan dengan berkongsi dengan seorang kawan yang saya anggap rapat dengan saya. Semasa di hadapan saya, beliau menunjukkan rasa simpati yang amat sangat di atas kesedihan saya, seolah-olah beliau sangat memahami situasi saya saat itu. Bagaimanapun tidak berapa lama selepas itu, semua perkongsian saya dengannya tersebar luas di pejabat tempat saya bekerja sehingga mengaibkan saya. Astaghfirullahalaazim.  

Semenjak itulah, saya belajar untuk mencurah rasa dan berkongsi segala yang terpendam di dalam dada hanya kepada Allah. Insya allah, kalau kita yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar, Allah itu Maha Mengasihani dan Maha Penyayang, Allah akan mudahkan segala urusan kita dan Allah akan beri petunjuk untuk kita selesaikan masalah kita. Itulah yang biasa saya alami selepas 'menyerahkan' diri saya kepada Allah. Dan sampai hari ini, itulah cara saya menangani kerisauan dan masalah saya. Alhamdullillah.

Dan tidak lupa juga, sepinggan nasi goreng ikan masin dengan segelas teh o ais limau sebagai 'pemangkin' kegembiraan dalam jiwa yang lara. Juga sebagai penyumbang tambahan kepada lemak yang sudah sedia banyak di dalam badan saya!




No comments:

Post a Comment