Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Tuesday 3 December 2013

TIADA CUTI, TIADA GAJI DAN TIDAK BOLEH BERHENTI!

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Rutin harian saya setiap kali selepas azan Subuh berkumandang di masjid berhampiran dengan rumah saya : Menjerit!

"Amir! Bangun! Orang sudah lama azan! Bangun! Pergi solat Subuh di masjid!" teriakan pertama saya kepada anak bujang saya itu.
Senyap. Tiada respon.
"Amir! Dengar atau tidak ni? Bangunlah! Orang dah azan Subuh tu! Pergi solat di masjid!" teriakan kedua saya, tinggi sedikit nadanya dari teriakan pertama tadi.
"Ya Mak. Amir dah bangunlah ni." Jawab orang bujang saya itu.
Beberapa minit berlalu. Senyap. Tiada tanda pergerakan apa-apa pun dari biliknya ditingkat satu.
"Woi Amir! Kamu mahu mak menjerit kuat lagi sehingga semua jiran-jiran boleh dengar suara mak ya? Kamu bangun sekarang sebelum mak naik ke atas dan sesah kamu dengan rotan ni. BANGUN AMIR!!!" kali ini, teriakan sudah bertukar menjadi pekikan yang pasti dapat didengar seisi rumah. Geram.
Terdengar bunyi kaki menapak perlahan-lahan menuruni tangga.
"Awal lagilah mak. Orang belum qamat lagi pun." Pandai pulak anak seorang ini membebel balik pada saya.
"Awal kamu kata! Kamu nak tunggu orang azan Zohor baru kamu nak pergi ke masjid untuk solat Subuh? Jalan! Bergerak sekarang!" Jerkah saya padanya semula.

Setiap kali anak bujang saya ini berada di rumah, memang inilah rutin saya setiap kali selepas azan Subuh berkumandang. Selalu juga terlintas difikiran saya bagaimana agaknya anak saya ini bangun untuk solat Subuh sewaktu duduk di asrama universiti.

"Payah sangat makcik. Naik letih kami rakan-rakan sebilik kejutkan. Kadang-kadang rasa geram dan rasa nak jirus air sebaldi kat dia pun ada. Memang liat sungguh nak bangun solat Subuh lah Amir ni makcik." Jelas Khairuddin, salah seorang rakan sebiliknya di universiti kepada saya sewaktu saya menemuinya di pendaftaran semester baru di universiti.
"Habis tu, Amir selalu tak bangun solat Subuh lah macam tu ya Khairuddin?" soal saya lagi, ingin tahu.
"Bangun makcik, tapi biasanya dapat 'Subuh Gajah' lah." balas Khairuddin kepada pertanyaan saya.

Hmmm...bertuah punya anak. Selagi saya hidup, jika beginilah perangai anak bujang saya yang susah nak bangun solat Subuh, dia akan terus mendengar  "teriakan dan pekikan" Subuh saya setiap hari. Itu antara tugas wajib saya untuk mendidik anak-anak saya supaya taat dengan segala perintah Allah..

Begitulah antara tugas menjadi  seorang mak ;
Tidak ada cuti. 
Tidak ada gaji. 
Dan tidak boleh minta berhenti!



1 comment: