Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Monday 16 December 2013

AIR OH AIR!

Semenjak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mengeluarkan kenyataan minggu lepas mengenai gangguan bekalan air di hampir semua tempat di Selangor dan di Kuala Lumpur mulai esok (17/12/2013) sehingga Ahad (22/12/2013), keadaan di persekitaran rumah saya menjadi agak kelam kabut sedikit. Rumah saya tidak terkecuali.
Seperti biasa, selepas selesai Majlis Taaleem*, kami akan mengadakan mesyuarat harian keluarga untuk membincangkan hal-hal yang perlu untuk dibawa kepada pengetahuan setiap ahli keluarga dan juga untuk membuat keputusan kepada hal-hal yang perlu diputuskan. Dan salah satu agenda utama mesyuarat harian keluarga kami malam tadi ialah :  Cara untuk menangani keperluan air rumah kami sewaktu terjadinya gangguan air selama 6 hari nanti. Lama tuuuu!!!
*(majlis dimana kami sekeluarga duduk berkumpul beramai-ramai di rumah  setiap hari selepas solat Isyak dan mengadakan pembacaan ayat-ayat suci al-Quran, hadis-hadis dan juga kisah para sahabat dan sahabiah. Juga percakapan tentang kebesaran Allah.)
Semua ahli keluarga yang hadir diminta memberi cadangan masing-masing berhubung cara untuk menangani keperluan air di rumah kami semasa gangguan air nanti. Setelah mendengar cadangan dan pandangan semua ahli mesyuarat, maka 'Pengerusi' mesyuarat (atau biasanya kami panggil 'Amir Sab') lah yang akan memberi kata putus. Dan keputusan beliau adalah muktamad, insya allah. Errr...yang selalunya menjadi 'Amir Sab' sudah pastilah ketua keluarga kami iaitu suami saya insya allah.
Saya ingin berkongsi cadangan-cadangan yang telah disyorkan oleh semua ahli keluarga saya berhubung cara untuk menangani keperluan air di rumah kami semasa gangguan bekalan air nanti insya allah. Semoga dapat digunapakai oleh yang lain insya allah.

Satu sahaja pesanan saya kepada yang membaca entri saya ini :

Yang baik ambillah buat tauladan,
Yang nampak kurang sedikit tu, silalah jadikan sempadan.

Antara cadangan-cadangan dari anak-anak dan juga dari saya sendiri :

1. Beli tong takungan air yang besar untuk diletakkan di dalam 3 dari 4 bilik air yang ada di dalam rumah kami - usul ini diluluskan oleh 'Amir Sab'.
2. Mula berpuasa sunat dari hari ini, Isnin. Dan kemudian sambung berpuasa sunat hari putih mulai esok, lusa dan tulat. - usul ini juga diluluskan .
3. Masak hanya satu jenis lauk sahaja setiap hari selama gangguan air tersebut bagi mengelakkan penggunaan air berlebihan semasa proses penyediaan makanan. - usul ini TERPAKSA 'Amir Sab' luluskan sebab ianya usul dari isteri 'Amir Sab' iaitu saya. (Jika tidak, saya 'ugut' yang saya tidak akan masak langsung sepanjang masa gangguan air itu)
4. Makan secara berjemaah, yakni makan dalam satu dulang sahaja supaya tidak perlu cuci pinggan mangkuk yang banyak. - usul yang diluluskan juga. (dan ini juga merupakan sunnah Nabi Muhammad kita.)
5. Dan cadangan yang paling dipersetujui oleh semua ahli keluarga KECUALI...'Amir Sab'! Pergi bercuti ke destinasi di luar Selangor dan Kuala Lumpur sepanjang 6 hari gangguan air tersebut! - satu satunya usul yang di TOLAK!






No comments:

Post a Comment