Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Friday 13 December 2013

HANTU?


TEKS        : Kasturi Puteh

GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh Googl

Pagi-pagi tadi, saya telah pergi ke Hospital Pakar Ampang Puteri untuk menghadiri temujanji saya dengan Pakar Ortopedik yang merawat saya. Memang saya perlu menemui beliau sekali setiap bulan. Dua tahun lepas saya terjatuh di tempat wudhu yang terletak di dalam sebuah masjid dan akibatnya saya terpaksa menjalani pembedahan di lutut saya yang retak akibat 'kemalangan' tersebut. Semoga kesakitan yang saya alami itu menjadi asbab Allah mengkifarah dosa-dosa saya yang banyak. Astaghfirullahalaazim.










Klinik Pakar Ortopedik yang saya temui ini terletak di tingkat dua bangunan hospital tersebut. Jadi, terdapat dua pilihan untuk naik ke sana. Pertama, dengan menaiki lif yang disediakan. Dan kedua, dengan 'menapak' memanjat tangga.Untuk orang yang masih sakit seperti saya, sudah pastilah memilih pilihan pertama : menaiki lif.












Oleh kerana kaki saya yang masih sakit maka saya tidak boleh berjalan jauh. Biasanya apabila sampai di hadapan pintu masuk utama lobi hospital tersebut, saya akan menggunakan perkhidmatan 'valet' yang sedia ada untuk meletakkan kereta saya. Dengan ditemani oleh anak lelaki saya,  saya pun terus menuju ke lif yang ada untuk naik ke tingkat 2. Biasanya, memang lama juga masa untuk menunggu lif tersebut turun ke tingkat lobi, maklum sajalah, lif cuma ada dua tetapi yang menggunakannya, ramai!













Memandangkan ramai juga yang sedang menunggu untuk menaiki lif tersebut, maka saya berbisik kepada anak lelaki saya, " jom kita berdiri di depan sekali, nanti senang nak masuk. Kalau duduk belakang, bila lif dah penuh, kita kena tunggu lagi!" Anak saya menganggukkan kepala tanda bersetuju. Perlahan-lahan kami melangkah ke depan.

Tidak lama kemudian, lif yang kami nantikan itu tiba di hadapan kami. Sebaik sahaja pintu lif itu terbuka, tiba-tiba seorang budak perempuan yang berdiri paling hadapan di dalam lif itu menjerit, "Makkk!!! Hantuuu!!!"










Dan semua mata memandang ke arah saya! Tapi, kenapa?

"Hish! Jangan cakap macam tu," seorang perempuan Melayu, mungkin ibu kepada budak perempuan yang menjerit itu menarik tangan anaknya dan keluar dari lif sambil memujuknya.
"Itu manusia juga macam kita lah," terang ibu tersebut kepada anaknya.
"Tapi kenapa dia tutup semua mak? Semua hitam tak nampak apa-apa pun. Nampak mata saja. Macam hantu kan mak?" kata budak perempuan itu, masih lagi dalam ketakutan.
"Itu orang Arablah. Dia pakai purdah. Memang cara orang Arab macam tu, mereka tutup semua kecuali mata," ibu tersebut terus menjelaskan kepada anaknya.

Apa? Orang Arab? Adakah itu satu pujian? Astaghfirullahalaazim.



No comments:

Post a Comment