Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Saturday 14 December 2013

KEMANA PERGINYA ROTI TISU SAYA?


TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh Googl



Amboi! Harus ada yang tertanya-tanya, siapakah gerangan orang muda yang gambarnya saya kongsi di dalam catatan awal pagi saya ini bukan? Adik ini namanya Abdullah. Beliau berasal dari India. Abdullah merupakan 'pengurus' merangkap 'pelayan' di Restoran Ajmal yang terletak di Sri Petaling. Dan di restoran inilah tempat saya dan suami selalu pergi bersarapan pagi, insya allah.

Barangkali, kerana kami suami isteri merupakan pelanggan 'setia' restoran ini, maka setiap kali bila melihat kami melangkah masuk ke dalam restoran ini, awal-awal lagi Abdullah telah mengelap meja dan tempat duduk kegemaran kami. Dan memang Abdullah sangat peka dengan kehendak kami. Sebaik sahaja kami duduk, segelas air suam terus diletakkan di atas meja kami, diikuti dengan segelas teh tarik kurang manis untuk suami saya dan segelas teh o limau panas kurang manis untuk saya sendiri.

Dan Abdullah akan berdiri dengan 'setia' disebelah meja kami, sambil menunggu untuk mengambil pesanan daripada kami. Sekiranya suami cuma menyebut, "macam biasa Abdullah" , maka tidak lama kemudian Abdullah akan datang menghantar menu 'macam biasa' kami iaitu 2 keping roti canai kosong, satu set roti bakar, sebiji telur separuh masak (semua hidangan itu untuk suami saya sahaja ya!) dan untuk saya pula, sekeping tosei sudah memadai insya allah. 

Bagaimanapun, pagi tadi, hanya suami saya sahaja yang meminta menu 'macam biasa' beliau. Saya ternampak beberapa orang anak muda yang duduk dimeja bersebelahan meja kami sedang menikmati 'sesuatu' yang menarik. Saya pun bertanya kepada Abdullah, "Abdullah, apa makanan yang mereka makan tu?" sambil mata saya memandang makanan yang kelihatan agak pelik kepada saya.
" Ooooo..aka, itu roti tisu aka," jawab Abdullah, dengan bahasa Melayu yang masih pelat.
" Roti tisu? Nampak menarik. Buat satu untuk kakak ya Abdullah," pesan saya kepada Abdullah.
" Baik aka," jawab Abdullah sambil menggerak-gerakkan kepalanya perlahan-lahan kekiri dan kekanan, kebiasaan yang selalunya dilakukan oleh orang India bila sedang bercakap.


Dan hari ini, buat pertama kalinya, saya dapat merasai roti tisu untuk sarapan pagi. Alhamdullillah, memang rangup, manis dan sedap rasanya!
Tapi, mengapa cepat benar 'surut' ketinggian roti tisu saya ini sedangkan saya baru saja menjamahnya dua kali?
Bila saya memandang kesebelah kanan saya, saya melihat suami saya sedang menikmati roti tisu yang saya pesan dengan begitu bersungguh-sungguh sekali.
" Abang Aji! Itukan sarapan Sayang? Kenapa Abang Aji habiskan?" tanya saya pada suami saya sambil menjuihkan bibir, konon-kononnya merajuk.
" Eh, Abang Aji pun tak pernah rasa roti tisu juga, ini pertama kali ni Abang Aji rasa, sedaplah pula!" jawab suami saya sambil terus menyuap kepingan roti tisu yang terakhir ke dalam mulutnya."
Saya melihat ke arah pinggan, piring dan mangkuk kecil yang sudah kosong di hadapan suami saya yang sebelum ini berisi roti canai, roti bakar dan telur separuh masak.
"Aik? Mana pergi makanan yang Abang Aji pesan semua tadi? Dah habis?' tanya saya kepada suami.
"Eh mana ada! Cuba Sayang tengok betul-betul. Abdullah bagi abang pinggan, piring dan mangkuk yang bocor tau! Semua makanan tu dah tercicir lah tu," jawab suami saya dengan muka selamba.

Jadi, walaupun saya yang sering 'kehilangan' makanan yang diletakkan dalam pinggan saya, mengapa pula saya yang semakin montel dan suami saya hanya perutnya sahaja yang makin ke depan? Musykil juga ni.



No comments:

Post a Comment