Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Sunday 29 December 2013

ISTERI ZAMAN SEKARANG.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Selepas solat Maghrib tadi, saya memandu ke klinik berhampiran dengan rumah saya. Klinik yang biasa kami sekeluarga kunjungi untuk mendapatkan rawatan bila ada diantara kami yang sakit. Kali ini, saya membawa suami dan anak bongsu saya, Yaya, yang demam dari semalam.

Setibanya di klinik, alhamdullillah, cuma ada 4 orang yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan. Sementara menunggu untuk dipanggil masuk menemui doktor, saya, suami dan Yaya duduk di ruang menunggu klinik tersebut. Yaya sibuk membaca buku novelnya dan suami saya pula sibuk menuntun siaran berita yang sedang ke udara di peti televisyen yang ada di situ.
Mulanya, saya juga sibuk menuntun siaran berita bersama suami. Bagaimanapun, saya terdengar satu 'perbualan' yang menarik antara sepasang suami isteri yang juga sedang menunggu giliran untuk berjumpa dengan doktor. Saya ingin kongsi perbualan tersebut di dalam entri blog saya kali ini insya allah. Semoga ianya dapat menjadi peringatan dan pengajaran buat kita semua terutamanya buat yang bergelar isteri.

Mulanya si isteri duduk bersebelahan suaminya. Tiba-tiba telefon bimbit si isteri berdering. Kelihatan si isteri menjawap panggilan tersebut  dengan serta-merta. Kemudian si isteri tadi dengan penuh khusyuk berbual dengan si pemanggil yang menelefon beliau tadi.

Si suami (yang memakai baju sejuk dan ada 'koyok' bertampal di kiri kanan dahinya) mulai kelihatan resah. 

Suami : Anis, sudahlah tu. Bercakap dengan siapa lama benar tu? Abang ni kan demam?
Isteri : (Mulai memandang suaminya dengan mata bulat dan dahi berkerut, sebelah tangan menutup sebahagian telefon bimbitnya) Shhhh...abang ni pun, Anis tengah bercakap dengan Eton lah, kawan baik Anis tu. Dia tengah ada masalah serius dengan suami dia tu. Kejap lah bang.
Dan si isteri terus bangun dari tempat duduk di sisi suaminya tadi dan beralih ke kerusi yang jauh sedikit dan terus bercakap di telefon dengan kawan baiknya. Si suami memandang dengan pandangan kecewa..dan mungkin bercampur perasaan marah. Kemudian beliau terpandangkan saya yang sedang memerhatikan kerenah mereka suami isteri.

"Tengok kak, isteri zaman sekarang. Suami sakit bukan masalah besar pada dia. Kawan baik ada masalah, itu jadi masalah besar pula kat dia! Agaknya dia fikir, kawan baik dia lah yang boleh bawa dia masuk syurga kat akhirat nanti. Nasib sayalah kak." Kata si suami tadi dengan nada sedih kepada saya sambil tunduk menggeleng-gelengkan kepalanya.
Mendengarkan keluhan si suami itu tadi, saya semakin merapatkan badan saya kepada suami saya yang sedang duduk disebelah  sambil meletakkan tangan saya ke dahinya dan bertanya, "Abang Aji, masih demam lagi ke? Sakit kepala tadi dah reda sikit? Nak Sayang tolong picitkan kepala Abang Aji lagi?"

Dan suami saya menoleh ke arah saya, dan meletakkan pula tangannya di dahi saya sambil bertanya,"Sayang pun dah demam juga ke?"





1 comment:

  1. Assalamualaikum, saya pulak pernah menyaksikan isteri tercucuk mata bergelut dengan anak keciknya dan suami asyik gelak berdekah2 di telefon. hihi

    ReplyDelete