Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Saturday 14 December 2013

SEJARAH BERULANG SEMULA.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Semenjak akhir-akhir ini, saya sering terdengar anak-anak saya  merungut sesama mereka mengatakan bahawa saya, mak mereka ini, semakin hari semakin bertambah cerewet. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan saya.

Petang tadi, semasa saya naik ke bilik saya yang terletak di tingkat atas rumah saya untuk menyusun kain baju ke dalam almari baju saya, saya terdengar anak-anak saya duduk di dalam bilik anak-anak lelaki saya, sambil 'mengumpat'  lagi mengenai saya, mak mereka ini. 

" Agaknya mak kita sudah hampir menopause. Tahap hormon pun sudah semakin merosot. Sebab itu mood mak pun semakin tidak  stabil. Itu yang mak jadi mudah marah, cepat kecil hati dan semakin cerewet," 'bisik' anak dara bongsu saya, dengan nada suara yang boleh menembusi pintu bilik abang-abangnya itu. Hanya anak saya yang bertiga ini sahaja yang masih tinggal di rumah bersama saya  kerana anak-anak saya yang lain sudah pun berumahtangga dan masing-masing duduk jauh dari saya dan hanya balik ke rumah sekali sekala sahaja.


" Eh? Yaya ni bercakap macam dia faham sangat pasal menopause tu! Itu kan 'sakit' orang tua-tua. Yaya mana tau?" soal Amin, abang Yaya.

"Yaya tahulah! Yaya kan perempuan. Amin tu yang tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini. ini hal orang perempuanlah!" Yaya mula meninggikan suaranya, cuba untuk membela diri.

"Ish! Sudahlah kamu berdua! Jangan hendak bertekak sebab perkara yang kamu berdua tidak tahu langsung. Kalau tak suka mak marah, membebel dan kecil hati, janganlah buat perkara apa yang mak tak suka, faham?" marah Amir, abang kepada Amin dan Yaya.


Kadang-kadang saya terfikir juga, benarkah saya sudah berubah? Benarkah saya sudah menjadi seorang mak yang cerewet, cepat marah dan mudah berkecil hati dengan anak-anak saya sendiri? Astaghfirullahalaazim. Sedih pula rasanya jika benar saya telah bersikap begini kepada anak-anak saya.

Suatu masa dahulu, semasa almarhumah mak saya masih ada, dan saya masih dalam lingkungan usia belasan tahun (seperti anak-anak saya yang bertiga tadi), saya juga mempunyai tanggapan yang serupa mengenai mak saya. Saya rasa diusia itu (lebih kurang usia saya sekarang yang sudah masuk kategori wargaemas), mak saya menjadi semakin cerewet, mudah marah, mudah kecil hati dengan anak-anak dan sentiasa mencari kesilapan saya (itu tanggapan saya waktu itu). Dan setiap kali bila dimarahi mak, dan juga bila mak 'membelasah' saya dengan rotan, saya akan berazam dan berjanji dengan diri saya,"aku tidak mahu jadi macam mak aku yang cerewet ini!" Astaghfirullahalaazim.

Dan sekarang, sejarah berulang semula. Bak kata Ina, anak perempuan sulong saya semasa balik ke rumah saya pada cuti Hari Raya Korban beberapa bulan lepas," mak ni semakin lama bukan sahaja semakin kelihatan serupa macam nenek, malah perangai mak pun banyak dah macaam nenek juga."

Astaghfirullahalaazim. Betuk kah ini? Barangkali sudah sampai masanya saya pergi ke salon dan menginaikan rambut saya!


No comments:

Post a Comment