Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Sunday 29 December 2013

HANYA KERANA DIA.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

“Perempuan sial! Aku dah larang kau dari hubungi Min. Kenapa kau buat juga? Macam tu kau kata kau isteri solehah? Isteri yang taat? Binatang!” Hamdi merentap  rambut di belakang kepala Yanti dan menggoncangnya sekuat hati.
“Abang, sakit bang! Sakit! Tolong jangan buat Yanti macam ni!” jerit Yanti sambil taangannya cuba sedaya upaya untuk melepaskan rambutnya dari terus direntap oleh tangan Hamdi.
“Tau sakit kan? Tau sakit! Kalau tak nak rasa sakit, jangan buat apa yang aku tak bagi buat! Faham tak?” Hamdi terus melepaskan kemarahannya pada Yanti. Dilepaskannya rambut Yanti yang direntapnya tadi. Gumpalan rambut Yanti melekat di dalam gengaman tangan Hamdi. Masih tidak puashati dengan merentap rambut Yanti, kali ini tamparan demi tamparan pula hinggap di muka Yanti.
“Abang! Abang! Sakit bang! Tolong bang! Jangan buat Yanti macam ni. Ya Allah! Ya Allah!” Rayu Yanti kepada Hamdi yang sedang menamparnya bertalu-talu seperti orang kehilangan akal. Darah sudah mula mengalir keluar dari mulut Yanti. Yanti sudah rasa tidak berdaya lagi untuk melawan kekuatan tenaga seorang lelaki yang bertubuh sasa seperti Hamdi. Pandangan Yanti semakin kabur. Tubuh Yanti menjadi longlai. Dan tiba-tiba semuanya menjadi gelap.
*****
“Mak! Mak! Bangun mak! Mak, ni Ina mak. Mak!” Yanti terdengar suara anak tunggalnya Ina memanggilnya. Sayup-sayup saja bunyinya. Seolah-olah terngiang-ngiang di pendengaran Yanti. Perlahan-lahan, Yanti cuba membuka matanya. Terasa amat payah. Sakit. Pedih. Digagahinya juga. Ingin ditatapnya wajah yang dirinduinya itu.
“Ina…Ina…,”perlahan-lahan Yanti menyebut nama Ina. Mulutnya terasa bengkak dan tidak dapat dibuka langsung.
“Mak, Ina ada kat sini mak. Ina ada kat sini,” Yanti mendengar suara Ina semakin jelas mendekati telinganya. Yanti dapat merasakan Ina mengucup kepalanya dan kemudian mengusapnya perlahan dengan jari jemarinya. Menitik airmata Yanti, tersentuh dengan belaian kasihsayang anaknya itu.
“Mak jangan cakap apa-apa dulu ya? Mak cedera teruk ni mak. Sampai hati lelaki tu buat macam ni kat mak. Makin lama makin melampau! Ina benci dia mak! Ina benci dia!” Ina meluahkan rasa marah dan geram atas perbuatan Hamdi  terhadap Yanti.
Yanti tahu Ina marahkan bapanya itu. Kalau boleh Yanti ingin memeluk Ina dalam dakapannya saat itu juga. “Tak mengapa Ina. Allah kan ada? Dan Allah dah hantar Ina dalam hidup mak. Itu dah cukup untuk mak Ina,” Yanti berkata-kata dalam hati, tangannya menggengam erat jari jemari Yanti. Dan Ina seolah-olah mendengar apa yang dibisikkan Yanti di dalam hati. “
“Ya mak, Allah kan ada,” ulang Yanti sambil mengucup tangan Yanti.

*****
“Sayang, jangan risau. Dia tak kan berani ganggu Min lagi. Abang dah ajar dia cukup-cukup tadi.” Hamdi memujuk Min, kekasih gelapnya yang sedang menarik muka masam, konon-kononnya sedih dengan perbuatan Yanti menelefonnya di pejabat pagi tadi.
“Ya lah tu. Abang saja cakap macam tu untuk pujuk Min kan? Ya lah, siapa lah Min ni. Dia tu isteri abang, Min ni cuma kekasih abang saja kan?” balas Min untuk menguji perasaan sebenar Hamdi terhadapnya. Sedar pula yang dirinya itu tiada ikatan yang halal dengan Hamdi.
“Min, Min..percayalah Min, sayang abang kat Min tak ada tolok bandingannya dengan perempuan tu. Min pun tau, abang memang  tak ada perasaan apa-apa kat dia . Min saja yang ada dalam hati abang. Min saja yang faham diri abang. Abang sayang sangat kat Min. Betul ni Min. Kalau Min tak percaya, ambil lah kapak, belah lah dada abang ni. Min akan lihat nama Min saja dalam dada abang ni,” Hamdi meluahkan rasa sayangnya dengan bersungguh-sungguh pada Min.
Min tersenyum manja memandang kesungguhan Hamdi membuat perakuan sayang padanya. Terasa puas di dalam hatinya. Mudah saja Min memperdayakan Hamdi dengan mengatakan Yanti yang menyerangnya melalui telefon pagi tadi. Sedangkan yang sebenarnya, Min lah yang menelefon Yanti dan memaki hamunnya.
“Padan muka kau Yanti! Sepatutnya, akulah yang lebih berhak menjadi isteri Hamdi. Bukan perempuan kampung seperti kau. Lama kami bercinta di universiti, tapi disebabkan mak Hamdi memilih kau sebagai menantunya, Hamdi akur saja sebab tak mahu melukakan hati maknya. Kau mungkin boleh memiliki tubuh badan Hamdi, tapi hati dan perasaan Hamdi, tetap akan jadi milik aku, selamanya!” Min berkata-kata di dalam hati. Min tersenyum puas.
*****
“Mak, Ina rasa eloklah mak buat lapuran polis pasal penderaan yang mak alami ni. Tadi masa Ina jumpa doktor yang merawat mak tu pun, dia cadangkan perkara yang sama. Kali ni lelaki tu dah melampau mak! Sampai pengsan mak dipukulnya. Mujur ada pak cik Mat Nor dengan mak cik Normah, jiran sebelah rumah kita datang meleraikan lelaki tu dari terus memukul mak hari tu. Kalau tak, entah apa dah jadi kat mak. Kalau mak tak nak buat lapuran polis, biar Ina saja yang buat untuk mak.” Ina berkata kepada Yanti dengan tegas. Di dalam hatinya, perasaan benci dan dendam kepada Hamdi semakin membuak-buak.
“Ina, orang yang Ina panggil lelaki tu, kan ayah kandung Ina?” jawab Yanti mengingatkan anaknya itu.
“Huh! Ayah apa macam tu mak! Perempuan yang bukan mahram digilai dan dilayan macam permaisuri. Isteri yang halal diperlakukan lepas tu dibelasah macam hamba abdi. Dan mak masih nak bela dia lagi? Ina tak boleh terima semua ni mak! Lebih baik Ina tak ada bapa dari ada bapa macam dia yang berperangai macam binatang!” bentak Ina, meluahkan rasa marahnya.
“Ina, istighfar banyak nak. Mak tak didik anak mak untuk jadi begini. Biarkanlah dia. Kita doa banyak-banyak semoga Allah beri rahmat, taufiq dan hidayat kat ayah Ina tu. Hati dan perasaan manusia ni, Allah yang pegang. Kita manusia ni tak ada kuasa nak paksa orang ubah hati dan perasaan dia terhadap kita. Kan ke doa tu senjata orang mukmin? Kita berdoalah banyak-banyak Ina. Mak yakin, satu hari nanti, ayah Ina akan berubah, insya allah.” Yanti menasihati Ina dengan lembut. Ina menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan sambil terus memandu kereta membawa Yanti pulang ke rumah mereka. Masih banyak rasa tidak puashati di dalam hati Ina.

*****
“Kalau kau tak nak terima Yanti sebagai isteri, kau jangan panggil aku ibu lagi Hamdi!” jerkah Hajjah Mariam kepada anak sulongnya itu.
“Apa kurangnya Yanti tu? Rupa parasnya cantik, bagus agamanya, aleemah lepasan madrasah, pandai menguruskan rumahtangga, berbudi bahasa, hormat orang tua dan dari keturunan keluarga baik-baik pula. Nabi suruh pilih salah satu dari 4 syarat perempuan yang layak dijadikan isteri. Ni kau dapat bakal isteri yang cukup keempat-empat syarat Hamdi! Apa lagi yang kau nak?” Hajjah Mariam terus ‘menyerang’ Hamdi dengan soalan yang bertalu-talu. Hamdi diam membisu. Walaupun dalam hatinya mahu saja dia menjerit dan memberitahu ibunya itu,”Mak! Saya cintakan Min bukan Yanti! Saya nak kawin dengan Min bukan dengan Yanti!" Tapi disebabkan takut kepada ibunya, juga bercampur dengan rasa sayang dan taat, maka Hamdi terus membatukan diri. Tidak berani melawan dan tidak juga menentang kata-kata ibunya itu.
Malah sehingga saat diijab kabulkan dengan Yanti pun, Hamdi mengikut saja. Dan bila ibunya mencadangkan mereka duduk serumah saja dengannya selepas mereka berkahwin, Hamdi akur juga. Sedikit pun tidak membantah. Sehinggalah ibunya menimang cucu pertamanya, Ina, Hamdi terus diam tidak berkata apa-apa.
Tetapi, sebaik sahaja Hajjah Mariam meninggal dunia 3 tahun yang lepas, rumah yang dahulunya menjadi syurga buat Yanti dan Ina, bertukar menjadi neraka. Hamdi yang selama ini pendiam bertukar menjadi seorang lelaki yang sangat berbeza perwatakannya. Dan yang lebih menghancurkan hati Yanti, kaki dan tangan Hamdi sudah semakin kerap hinggap di tubuh badannya. Hanya kerana seorang kekasih bernama Min.
*****
“Siapkan pakaian aku. Aku nak ke luar negara seminggu.” Kasar perintah Hamdi kepada Yanti. Yanti tidak berkata apa pun. Tidak berani sebenarnya. Rasa sakit kerana dipukul Hamdi masih lagi terasa di mukanya. Yanti terus mengeluarkan beg pakaian yang sederhana besarnya dari dalam almari.
“Tu nak bawa perempuan tu samalah kan?” Ina yang tiba-tiba muncul di pintu bilik mak dan ayahnya itu, bertanya dengan kasar kepada Hamdi.
Yanti memandang Ina, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, seolah-olah memberikan isyarat supaya Ina jangan berkata apa-apa lagi.
“Kenapa mak? Kenapa Ina tak boleh tanya lagi? Mak isteri dia, bukan hamba dia kat dalam rumah ni. Mak berhak tau dia nak bawa siapa pergi makan angin dengan dia tu!” Ina terus meluahkan rasa marahnya dengan berani.
“Kau diam! Jangan jadi anak kurang ajar!” Hamdi bersuara kasar kepada Ina sambil  menjengilkan matanya.
Melihat keadaan yang semakin tegang itu, Yanti cepat-cepat menarik tangan Ina keluar dari bilik itu.
“Ina, sudahlah tu. Ina sayang mak kan? Ina tak mahu tengok mak susah hati kan? Ina jangan cakap apa-apa lagi ya nak? Ina pergilah ke dapur tolong mak sediakan makan tengahari untuk kita ya? Nanti bila mak dah selesai siapkan pakaian ayah, mak akan ke dapur. Boleh kita masak sama-sama ya nak?” pujuk Yanti sambil menolak badan Ina perlahan-lahan ke arah dapur mereka. Walaupun kecewa, namun Ina akur dengan suruhan maknya itu.
*****
“Kau ajar anak kau tu supaya jangan biadap dengan ayah sendiri! Budak tu jadi macam tu sebab kau tak tau didik anak! Kau ingat, kau tu aleemah, kau dah pandai semua benda? Sedar diri kau tu sikit. Bukan aku yang nak kawin dengan kau! Kalau tak sebab paksaan ibu aku, aku tak ingin nak buat kau jadi bini aku tau tak!” Hamdi terus mengherdek Yanti dengan kata-kata yang berbisa.


Yanti mengetap bibirnya kuat-kuat. Yanti tahu sepatah sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya, akan memburukkan lagi keadaan. Yanti tak mahu Ina mendengar maki hamun Hamdi yang selalu dilontarkan kepadanya. Yanti tidak mahu mengganggu fikiran Ina yang sedang belajar di tahun akhir di sebuah universiti nun jauh di utara. Sesekali Ina balik, biarlah segalanya nampak tenang sahaja. Walaupun di dalam hati Yanti sendiri sentiasa bergelora.  Demi Ina, Yanti sanggup korbankan segalanya. Cukuplah ada Allah yang Maha Mengetahui menjadi tempat Yanti mencurah rasa. Dan cukuplah Ina menjadi penghibur hatinya yang lara. Yanti pasrah.

No comments:

Post a Comment