Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Wednesday 18 December 2013

KIAMAT.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Malam semalam, selepas selesai mengadakan majlis taaleem harian keluarga kami, anak lelaki saya Amin, bertanya kepada saya.

"Mak, dekat madrasah, kawan-kawan Amin sibuk bercerita tentang salji yang turun di Mesir. Mereka cakap, itu tandanya kiamat dah dekat sangat. Betul kah mak?" Amin bertanya dengan riak muka ingin tahu.
Belum sempat saya menjawab pertanyaan dari Amin, anak perempuan bongsu saya, Yaya pula menyampuk dengan satu lagi pertanyaan.

" Ya lah mak. Dekat madrasah Yaya pun, kawan-kawan cerita tentang perkara yang sama. Lepas tu, kawan-kawan Yaya cakap, sekarang ni ada beberapa tempat di dunia, kedengaran bunyi aneh dan menggerunkan dari langit. Para saintis dah puas siasat dari mana punca bunyi tersebut tapi tiada siapa yang dapat jawapannya. Itu pun tanda hari kiamat dah dekat ya mak?" soal anak dara saya itu pula.
Saya menarik nafas panjang dan beristighfar sebelum menjawab soalan-soalan dari anak-anak saya itu.

"Ya Allah, bantulah aku. Bantulah aku untuk memberi jawapan yang sebaik-baiknya kepada pertanyaan anak-anakku ini."  Saya berdoa dalam hati.

"Beginilah Amin, Yaya. Salah satu dari rukun iman ialah kita wajib yakin dengan hari kiamat. Maksudnya hari kiamat itu tetap akan terjadi. Tapi bila? Wallahualam. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Kalau nak diikutkan tanda-tanda kiamat seperti yang telah disebut di dalam al-Quran, dari dulu lagi sudah banyak yang wujud. Antaranya, terbinanya bangunan-bangunan pencakar langit dengan banyak, bertambah ramai wanita menjadi penyanyi, perbuatan zina semakin berleluasa, orang memberi salam hanya kepada orang yang dikenalinya sahaja, banyak orang perempuan yang kononnya berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang. Semua tanda-tanda kiamat dah dekat tu dah ada." Saya memberi penerangan kepada kedua orang anak saya yang sedang duduk bersimpuh di hadapan saya sambil mendengar jawapan saya dengan penuh khusyuk.
"Kalau macam tu mak, apa yang kita kena buat kalau tiba-tiba kiamat tu datang? Bukan kah dalam al-Quran ada sebut semasa berlakunya kiamat, dunia ini dalam keadaan huru hara dan semua orang tidak pedulikan satu sama lain, sekalipun mak dengan anak-anaknya sendiri. Amin takutlah mak." Amin menyuarakan kerisauannya. Mukanya berkerut seolah-olah sedang memikirkan satu masalah yang besar.

"Yaya pun takut juga Mak." tambah anak perempuan saya itu pula.
"Beginilah Amin, Yaya. Tiap-tiap hari, bila kita duduk dalam majlis Taaleem harian di dalam rumah kita ini, kita biasa baca dan dengar mengenai ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi mengenai hari kiamat kan? Dan kita  juga baca dan dengar  mengenai ganjaran yang menanti orang-orang beriman yang mentaat segala perintah Allah semasa hidup di dunia ini, betul tak?" soal saya kepada Amin dan Yaya pula. Kedua-duanya mengangguk-anggukkan kepala.

"Jadi, tak perlulah kita risau bila tarikh hari kiamat tu dan apa yang kita kena buat bila terjadinya kiamat nanti. Yang paling penting ialah kita perlu jaga amal ibadat kita sentiasa. Ikut segala perintah Allah dan tinggalkan segala laranganNYA. Dan pada masa yang sama berbuat baik kepada keluarga kita terutamanya kepada mak ayah kita. Insyaallah, jika kita jaga amal ibadat kita, Allah akan selamatkan kita di dunia maupun di akhirat insya allah." Saya terus memberi penjelasan sambil memandang kedua-dua orang anak saya itu sambil tersenyum.

"Baik mak, insya allah," jawab Amin dan Yaya serentak. Barulah wajah mereka kelihatan gembira semula selepas mendengar penjelasan saya itu. Alhamdullillah.
Dan awal pagi tadi, lebih kurang pada pukul 4.45 pagi, terdengar bunyi ketukan di pintu bilik saya.

"Assalamualaikum! Mak! Ayah! Bangun! Bangun solat tahajjud dan solat taubat." Kedengaran suara Yaya mengejutkan saya dan suami dari tidur kami. Dan apabila saya menjengukkan muka ke ruang keluarga kami, kelihatan Amin sedang membaca Al-Quran dan Yaya pula barangkali sedang mengerjakan solat sunat.

Menitik airmata saya, sayu dan terharu rasa di dalam jiwa.
Subhanallah! Alhamdullillah! Allahuakhbar!








No comments:

Post a Comment