Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Sunday 22 December 2013

TAALEEM MASTURAT

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Setiap hari Ahad, bermula dari jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengahari, memang sudah menjadi rutin saya dan anak perempuan saya yang bongsu, Yaya  pergi menghadiri majlis Taaleem Masturat. Majlis ini diadakan di salah sebuah rumah yang terletak di dalam kawasan tempat tinggal kami. Majlis ini merupakan majlis ilmu dan hanya dihadiri oleh muslimat sahaja.

Boleh dikatakan, pada setiap kali majlis ilmu ini diadakan, lebih dari 30 orang muslimat akan menghadirkan diri. Alhamdullillah. Kebanyakan mereka merupakan muslimat yang tinggal berhampiran (seperti saya dan anak saya), juga pelajar-pelajar dari madrasah aleemah dan  hafeezah yang juga terletak berhampiran. Malah ada juga muslimat yang hadir datang dari Bangsar, Puchong, Sungai Besi dan lain-lain tempat. Masyaallah! Hanya untuk mendapatkan ilmu selama 1 1/2 jam itu, mereka sanggup mengorbankan diri dan masa untuk hadir. Allahuakhbar!

Majlis Taaleem Masturat ini biasanya dimulakan dengan pembacaan hadis-hadis Nabi, ayat-ayat dari Al-Quran dan juga cerita-cerita mengenai kisah para sahabat dan sahabiah. Selepas itu, akan disampaikan pula mengenai kelebihan menghadiri majlis ilmu seperti majlis Taaleem Masturat ini. Kemudian, disambung pula dengan penerangan mengenai 6 sifat unggul para sahabat r.anhum.

Saya ingin berkongsi sedikit kelebihan-kelebihan menghadiri majlis ilmu seperti majlis Taaleem ini. Diantaranya :
1. Majlis ilmu merupakan majlis maghfirah iaitu majlis keampunan, di mana Allah SWT akan mengampunkan dosa para peserta majlis ini dan digantikan dengan pahala, insya allah.
2. Allah SWT akan turunkan rahmatNYA untuk tiap-tiap orang di majlis ilmu ini.
3. Kalau kita istiqomah hadirkan diri kita di dalam majlis ilmu, insya allah kita akan dapat meningkatkan beberapa perkara di dalam diri kita. 
- Iman
- Ibadat
- Muamalat
- Muasyarah
- Akhlak

Dan antara ilmu yang  telah saya perolehi semasa menghadiri majlis Taaleem Masturat hari ini ialah :
1. Apabila kita berhutang dengan seseorang, sewaktu hendak membayar balik hutang kita itu, kita bayarlah lebih sedikit dari jumlah hutang yang diberikan kepada kita. Walaupun si pemberi hutang itu tidak memintanya. Inilah cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi kita.
2. Di zaman Nabi dahulu, apabila Nabi dan para sahabat di dalam kesusahan, mereka yakin Allah akan menghantar bantuan kepada mereka. Mereka tidak mengadukan kesusahan mereka kepada manusia lain. Tetapi apa yang mereka lakukan bila mereka ditimpa masalah dan di dalam kesusahan, mereka akan solat sunat dua rakaat dan mohon bantuan dari Allah. Dan mereka sangat yakin yang Allah akan bantu mereka.
Berlainan sekali dengan kita yang hidup dizaman fashaq dan mungkar ini. Kita solat, tetapi kita tidak yakin dengan bantuan dari Allah. Kita yakin dengan dunia, kita yakin kalau kita sakit, ubat yang akan sembuhkan kita. Kita yakin, kalau kita ada duit, semua masalah kita akan selesai. Sedangkan hakikatnya, Allah lah penyelesai segala kesakitan, segala kesusahan. Berapa ramai orang sakit, yang ada duit yang banyak, mereka habiskan untuk membeli berbagai jenis ubat yang mahal-mahal untuk dengan harapan ubat-ubat tersebut dapat menyembuhkan mereka, tapi akhirnya, Allah jua yang menentukan bahawa ajal dan maut, hak Allah. Astaghfirullahalaazim.

Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk menyeru pembaca-pembaca yang sudi membaca entri di dalam blog saya ini agar sentiasa mencari peluang dan ruang untuk menuntut ilmu buat bekalan kita di akhirat nanti. Kalau kita beramal tanpa ilmu, dikhuatiri kita hanya beramal secara 'ikut-ikutan' sahaja dan tidak tahu samada apa yang kita amalkan itu betul atau tidak. Carilah ilmu, supaya kita tahu apa yang Allah kehendaki dari kita dan supaya kita dapat menyempurnakan kehendak Allah itu.

Semoga Allah pilih kita semua untuk terus menuntut ilmu sehingga ke akhir hayat kita. Insya allah.

' Apabila kita kata kita jahil dan kita tidak tahu, maka Allah akan buka semua pintu gedung ilmu untuk kita. Tapi disaat kita mengaku kita sudah pandai dan kita tahu segalanya, maka Allah akan tutup semua pintu gedung ilmu untuk kita. Astaghfirullahalaazim.'

Ikutlah rasmi padi, makin berisi makin tunduk ke bumi. Jangan ikut rasmi lalang, makin lama makin meninggi.



No comments:

Post a Comment