Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Friday 6 December 2013

AYAT 'PUSAKA'.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Semasa anak-anak perempuan saya belum berumahtangga, apabila mereka menarik muka masam kerana kecil hati dengan teguran dan leteran saya , saya pasti akan ucapkan ayat 'pusaka' yang saya 'warisi' dari almarhumah mak saya kepada mereka :
" Nanti esok-esok, bila kamu sudah berumahtangga, dah sudah ada anak-anak sendiri, baru kamu akan faham kenapa mak selalu bising-bising begini."

Sekarang, mereka sudah pun berumahtangga. Dan alhamdullillah, masing-masing pun sudah mempunyai anak-anak sendiri. Walaupun anak-anak mereka (cucu-cucu sayalah tu) masih kecil, tetapi sesekali bila mereka balik ke rumah saya, akan kedengaranlah bebelan mereka kepada anak-anak mereka.

"Aeysha! Kenapa sepah-sepahkan makanan macam tu? Penat Mama tau!" Kedengaran anak sulong saya menjerit pada anak dara kecilnya.
"Sumayyah! Tidurlah! Mama dah mengantuk sangat ni. Dahlah malam tadi berjaga sepanjang malam. Penatlah Mama." Rayu anak kedua saya pada bayi kecilnya yang masih tidak tahu apa-apa.

Saya hanya memandang sambil tersenyum kepada kedua anak perempuan saya itu. Dalam hati saya berkata,"baru kamu berdua tahu sekarang kan? Bukan senang menjadi seorang ibu. Itu belum lagi anak-anak kamu besar sedikit, lain pula yang kamu nak bebelkan nanti."
Bagaimanapun, apa yang saya perhatikan, selepas anak-anak perempuan saya mempunyai anak-anak mereka sendiri, mereka semakin memahami dan menghormati perasaan saya. Barangkali, setelah merasai keperitan dan kesakitan mengandung dan kemudian melahirkan anak sendiri, barulah mereka faham betapa payahnya saya membesarkan mereka dahulu. Bukan seorang saja, tapi membesarkan mereka lima beradik, terutamanya semasa saya menjadi ibu tunggal.

Anak perempuan sulong saya pernah berkata kepada saya, "mak, Ina baru ada anak seorang pun, rasa macam tunggang-langgang hidup Ina. Mana nak uruskan rumahtangga, berjaga malam bila anak sakit, pagi-pagi terkejar-kejar siapkan anak kemudian tergesa-gesa ke pejabat. Tu baru anak seorang mak. Macamana mak boleh bertahan membesarkan kami lima beradik? Seorang diri pula. Mesti susah kan mak. Sekarang baru Ina faham mak."

Begitu juga anak perempuan saya yang kedua yang baru saja melahirkan anak sulong lebih kurang sebulan yang lepas. Beliau balik duduk di rumah saya selepas bersalin dan dalam pantang. Pada minggu pertama, saya melihat mereka suami isteri kelam kelibut berjaga malam. Maklum sajalah, kalau selama ini hidup berdua sahaja, sekarang sudah ada orang ketiga. Menantu lelaki saya selalu pergi ke pejabat dengan mata yang merah kerana tidak cukup tidur.

Anak-anak mak semua. Sekarang, baru kamu semua faham betapa peritnya mak hendak menjaga dan membesarkan kamu semua satu ketika dahulu. Jadi kalau esok-esok, bila anak-anak kamu sudah besar dan buat muka masam bila dimarahi, jangan lupa keluarkan ayat 'pusaka' yang mak sudah 'wariskan' pada kamu sebelum ini ya?



No comments:

Post a Comment