Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Saturday 21 December 2013

SELIPAR MERAH JAMBU MIRA.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google


Maziah memandang ke kiri dan ke kanan. Matanya melilau memerhati  setiap kanak-kanak yang berada di setiap laluan yang di laluinya.

“Mira!  Mira! Mira kat mana? Mira keluarlah. Datang sini kat Mak. Jangan bagi Mak takut  Mira.” Maziah terus memanggil-manggil anak sulongnya Mira yang baru berusia 4 tahun itu. Hatinya mulai berasa cemas.

Maziah terus menyusuri setiap laluan yang dipenuhi dengan mangsa-mangsa banjir sepertinya di pusat penempatan banjir itu. Maya yang masih tidur di dalam kendungannya itu, sesekali merengek-rengek kecil, barangkali kerana tidurnya asyik terganggu bila di bawa ke hulu kehilir oleh maknya.

“Shhh..diam sayang diam. Mak nak cari Kak Mira. Tidur ya nak. Tidur.” Maziah memujuk si kecil Maya.

Maziah berpatah semula ke tempat di mana dia dan kedua orang anaknya ‘bermukim’ semenjak tiba di pusat tersebut pagi tadi. Maziah bertanya lagi kepada Kak Pah, yang juga jiran sebelah rumahnya, yang turut bermukim di situ.

“Kak Pah, ada nampak anak saya Mira balik kat sini semula tak  kak? Dah puas saya cari ni kak. Manalah pergi anak saya tu kak. Dia kecil lagi. Saya takut kak. Kalau ada orang bawa lari anak saya. Kalau jadi apa-apa kat anak saya, apa saya nak buat kak?” Airmata yang dari tadi ditahannya, akhirnya tumpah juga berderai-derai membasahi pipinya.

“Maziah, sabar dik. Doa banyak pada Allah. Tak kemana Mira tu, ada  dekat dekat sini saja. Jangan panik dulu. Akak dah suruh Abang Ali dan anak-anak akak tolong carikan juga. Masa Maziah bawa Maya ke bilik air tadi, memang Mira ada kat sini, main-main dengan Ajoy anak akak ni. Dalam sekelip mata saja, akak berpusing nak ambil selimut, tengok Mira dah tak ada. Akak tanya Ajoy tadi, katanya Mira main kejar-kejar dengan anak orang kampung kita juga. Dah dah, jangan nangis lagi. Letak Maya kat atas selimut tu, akak dah bentangkan. Kejap lagi bila Abang Ali balik, kita bincang semula apa nak buat. Hendaknya dia bawa balik Mira sekali,” pujuk Kak Pah cuba menenangkan Maziah. Dalam hati Kak Pah turut berdoa agar pencarian Abang Ali suaminya dan juga Amin dan Amir anak-anaknya berhasil menemui Mira.

Maziah meletakkan Maya perlahan-lahan di atas selimut yang telah dibentangkan oleh Kak Pah. Ditepuknya paha kecil Maya perlahan-lahan agar anaknya itu terus lena. Sambil itu matanya terus memerhati sekelilingnya, masih mencari-cari kelibat Mira.

Kebanyakan mereka yang mendiami pusat tersebut, sudah mula menyediakan tempat tidur masing-masing  . Barangkali kepenatan meranduk air banjir untuk menyelamatkan diri dan apa saja yang sempat dicapai  untuk pergi ke pusat tersebut  pagi tadi.

Di lihatnya Kak Pah masih sibuk membentang selimut di atas kepingan-kepingan kotak yang dijadikan alas tempat tidur mereka sekeluarga. Maziah menghela nafas panjang.

“Alhamdullillah ada Kak Pah dan Abang Ali. Kalau tak, macamana agaknya nasib aku dengan anak-anak aku masa banjir ni.  Dulu, masa musim banjir macam ni, Abang Rizal yang urus semua benda. Tapi sekarang….” perasaan Maziah semakin sayu bila teringatkan arwah suaminya, Rizal.

Rizal meninggal dunia setahun yang lalu kerana terlibat di dalam kemalangan jalanraya sewaktu menunggang motorsikal balik dari pejabatnya. Maziah masih ingat lagi, malam sebelum hari kejadian itu, Rizal membawa Maziah dan kedua orang anak kecil mereka menaiki motornya untuk pergi ke pasar malam berhampiran rumah mereka.

“Abang nak belikan Mira selipar merah jambu yang Mira minta hari tu. Ni dah gaji ni, boleh lah abang tunaikan janji abang kat Mira,” jelas Rizal pada Maziah sambil tersenyum.

Mira yang terdengar kata-kata abahnya itu, melompat-lompat keriangan sambil menepuk-nepuk kedua-dua belah tangan kecilnya.
“Yeh yeh! Abah nak beli selipar merah jambu untuk Mira! Yeh yeh!” teriak Mira kegembiraan.

Maziah dan Rizal memandang keletah anak sulong mereka itu sambil tersenyum.

Dan malam itu, Mira tidur sambil memeluk selipar merah jambu hadiah dari abah kesayangannya.

Keesokkan paginya, selepas bersarapan pagi, Rizal masuk ke dalam bilik dan mengejutkan Mira yang masih tidur. Maziah yang melihat suaminya mengejutkan Mira menegurnya. “Biarlah Mira tidur bang. Malam tadi penat dia bergaya depan cermin dengan selipar merah jambu yang abang belikan tu. Tu yang tidur lena sangat tu bang.”

Tapi Rizal terus mengusap-ngusap rambut Mira sambil memanggil, ”Mira, Mira, bangun nak. Abah nak pergi kerja dah ni. Bangun sayang. Abah nak tengok Mira pakai selipar merah jambu yang abah belikan tu. Bangun nak.” Rayu Rizal lagi. Mira menggerak-gerakkan badannya sedikit sambil merengek, matanya masih tertutup rapat. Maziah memandang saja kerenah suaminya  itu.

Maziah memandang kearah jam loceng yang terletak di atas meja bersebelahan tempat tidur Mira. Pukul 8.45 pagi. “Bang, dah lewat dah ni bang. Nanti lambat pula abang sampai pejabat.” Maziah mengingatkan Rizal. Terbayang rasa kecewa di wajah Rizal kerana tidak dapat mengejutkan Mira. Terus diciumnya pipi dan dahi anaknya itu berkali-kali. “Mira, jaga selipar merah jambu tu baik-baik ya nak. Jangan bagi orang lain ambik selipar tu dari Mira. Tu abah beli untuk Mira saja tau?” Sempat lagi Rizal berbisik dan berpesan kepada Mira. Dan Maziah nampak  walaupun matanya masih pejam,  Mira seolah-olah mengangguk-anggukkan kepalanya  tanda faham dengan pesanan abahnya itu.

Maziah mengekori Rizal hingga ke muka pintu rumah mereka. Sambil menyarungkan helmet ke kepalanya, Rizal memandang kearah Maziah dan merenungnya.
“Kenapa bang? Ada tertinggal barang ke?” Maziah bertanya kehairanan.
“Tak, tak ada,” jawab Rizal sambil duduk di atas motornya. Matanya terus merenung wajah Maziah.
“Maz, jaga anak-anak kita baik-baik.” Pesan Rizal kepada Maziah. Dan sebelum sempat Maziah berkata apa-apa, Rizal telahpun menunggang motorsikalnya keluar dari kawasan rumah mereka. Maziah memandang hingga bayangan Rizal tidak kelihatan lagi.

Dan pada petang itulah, Kak Pah dan Abang Ali datang kerumahnya membawa bersama mereka berita yang sangat menyedihkan. Rizal terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori semasa dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat. Lemah longlai seluruh anggota tubuh Maziah apabila Kak Pah memberitahunya yang Rizal sudah tiada lagi.

“Maziah! Maziah! Bangun.” Maziah tersentak dari lamunannya apabila mendengar namanya dipanggil.

“Kak Pah! Dah jumpa Mira ke?” Tanya Maziah sebaik saja memandang Kak Pah yang sedang duduk disebelahnya. Di belakang Kak Pah berdiri Abang Ali. Wajahnya kelihatan risau.

“Kak Pah! Mana Mira kak?” Maziah bertanya lagi apabila dilihatnya Kak Pah diam dan menundukkan muka. Jantung Maziah mula berdegup laju. Maziah dapat merasakan yang Kak Pah dan Abang Ali sedang cuba merahsiakan sesuatu darinya.

“Maziah, sabar banyak dik. Maziah kena kuat ya?” Kak Pah memegang kedua belah tangan Maziah.
“Kak! Kenapa ni kak? Apa dah jadi ni? Ni pasal Mira ke kak? Cepatlah bagi tau saya kak! Abang Ali! Abang dah jumpa Mira ke bang? Mana anak saya bang?” Maziah bingkas bangun dan berdiri di hadapan Abang Ali.

Abang Ali memandang kearah Kak Pah. “ Pah, bawa Maziah ikut abang. ” Abang Ali memberitahu isterinya.
 “Rozi, datang duduk sebelah Maya ni. Dia tengah tidur. Jaga Maya elok-elok. Ayah dengan mak nak bawa makcik Maziah ke depan sana sekejap.” Abang Ali berpesan kepada anak sulongnya Rozi yang baru selesai menduduki peperiksaan SPM.

“Baik Ayah,” jawab Rozi sambil bangun dari tempat duduknya tadi dan beralih duduk di sebelah Maya.

“Jom dik, ikut Kak Pah ya?” Kak Pah bangun sambil memegang lengan Maziah. Maziah bangun. Lemah. Dalam hatinya penuh dengan tanda tanya, dan kebimbangan.

“Ya Allah! Beri aku kekuatan ya Allah! Beri aku kekuatan ya Allah!” Maziah terus memohon kepada Allah.

Tangan kanan Maziah terus memaut lengan kiri Kak Pah. Diturutinya saja hala langkah Kak Pah. Abang Ali terus berjalan di hadapan mereka sambil menuju ke pintu besar dewan tersebut.

“Tolong beri laluan ya, tolong beri laluan sikit,” terdengar suara Abang Ali meminta laluan di celah-celah orangramai yang telah mula berkumpul di situ. 

Bila tiba di hadapan pintu dewan tersebut, kelihatan beberapa orang anggota polis berdiri di situ. Dan di atas pengusung yang terletak di atas lantai, terbujur kaku satu tubuh kecil yang telah ditutupi dengan sehelai kain pelikat. Abang Ali kelihatannya berbisik sesuatu kepada salah seorang anggota polis tersebut.

Sebaik sahaja Maziah ternampak tubuh yang bertutup di atas pengusung itu, Maziah terus terjelepuk ke atas lantai.

“Ya Allah! Ya Allah! Mira ke tu kak? Kak Pah! Anak saya ke tu kak?” suara Maziah meraung. Kak Pah terus memeluk Maziah.
“Sabar dik. Sabar. Kita tengok dulu.” Kak Pah cuba menenangkan Maziah. Airmata Kak Pah pun sudah tidak dapat ditahan lagi.

Abang Ali memberi isyarat meminta izin daripada anggota polis tadi untuk melihat tubuh di atas pengusung tersebut. Abang Ali menyelak kain yang menutupi tubuh tersebut perlahan-lahan. Abang Ali menatap wajah disebalik kain tersebut, menarik nafas panjang dan kemudian menutup kain tersebut semula. Abang Ali berpaling dan memandang Kak Pah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Abang Ali tersenyum.

“Maziah! Maziah! Itu bukan Mira! Bukan Mira dik.” Kak Pah memegang muka Maziah yang sedang menangis teresak-esak.

Serta-merta Maziah mengangkat mukanya. “Itu bukan anak saya Mira kak?” Tanya Maziah kepada Kak Pah sambil memandang kearah pengusung itu.

“Bukan dik, tu bukan Mira.” Jawab Kak Pah sambil tersenyum. Maziah terus memeluk Kak Pah.

“Alhamdullillah. Alhamdullillah. Alhamdullillah,” tak putus-putus ucapan zikir tersebut diucapkan oleh Maziah.

Perlahan-lahan Maziah berjalan sambil memaut lengan Kak Pah. Masih terasa lagi lemah tubuh badannya selepas melihat tubuh yang disangkakannya milik anaknya Mira. Mereka berjalan perlahan-lahan menuju ke tempat mereka bermukim di dewan itu.

Tiba-tiba, dari kejauhan Maziah nampak Mira sedang duduk disebelah Rozi anak Kak Pah sambil bercakap-cakap. Terus Maziah melepaskan lengan Kak Pah dan berlari menuju kearah Mira.

“Mira! Mira! Mira anak mak!” terus dipeluknya Mira dan dicium anaknya itu sambil menangis. Kak Pah dan Abang Ali yang sudah berada di belakang mereka kelihatan lega.

“Makcik Tipah isteri pakcik Din Teksi yang datang hantar Mira ke sini tadi. Dia cakap, tadi Mira main kejar-kejar dengan anak dia Tini. Bila sampai kat tempat dia sekeluarga berkumpul, mereka sedang makan. Jadi makcik Tipah pun bagi Mira makan sekali. Mira cakap kat makcik Tipah, mak pergi bilik air bawa adik Maya.” Rozi memberitahu Maziah.

“Alhamdullillah. Ya Allah, lega betul rasanya ni.” Kata Maziah sambil mengusap-ngusap muka Mira. Maziah memandang pula kearah Maya. Kelihatannya masih tidur dengan nyenyak di atas selimut tadi.

“Lain kali, Mira jangan buat macam ni lagi ya nak? Kalau nak kemana-mana, kena tunggu mak, kena beritahu mak dulu ya?” pesan Maziah dengan lembut kepada anak kecilnya itu.

“Tapi mak, tadi Tini ambik selipar merah jambu Mira. Itu yang Mira kejar dia sebab Mira nak ambil balik selipar merah jambu Mira tu. Kan abah dah pesan kat Mira, jaga selipar merah jambu Mira tu baik-baik dan jangan bagi orang lain ambil selipar merah jambu tu? Kan mak?” dengan petah Mira memberitahu Maziah.

Maziah terkedu. Airmatanya tumpah semula.








No comments:

Post a Comment