Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Friday 13 December 2013

SAYA MASIH ISTERI YANG TAAT, INSYA ALLAH.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Suami saya selalu mengingatkan saya, " kalau tiada apa-apa yang baik untuk di ucapkan, lebih baiklah diam sahaja." (Kalau tidak silap, ianya merupakan sebahagian dari hadis Nabi SAW, insya allah)

Sebenarnya untuk seorang yang 'agresif' seperti saya, mendiamkan diri terutamanya bila sesuatu yang saya tidak berkenan berlaku di sekeliling saya, bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya lakukan. Tambahan pula, sebagai seorang bekas wanita korporat, saya memang telah dilatih  dan didedahkan dalam suasana kerja yang memerlukan saya untuk petah berkata-kata, bijak mematahkan sebarang 'serangan' dan cepat pula melakukan 'serang balas'. Dan, yang menjadikan saya seorang yang lebih 'tahan lasak' dan 'kebal' adalah pengalaman hidup saya sendiri yang pernah menjadi seorang ibu tunggal dan membesarkan 5 orang anak seorang diri dengan mengharap hanya pada belas kasihan dari Allah. Makin bertambah 'berani'lah saya mengeluarkan pendapat dan kata-kata apabila berdepan dengan seseorang atau situasi yang tidak berkenan di hati saya ini. Astaghfirullahalaazim.

Bagaimanapun, selepas menikahi suami saya sekarang, perlahan-lahan suami mendidik saya untuk belajar bersabar dan berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata, sekalipun apa yang ingin saya katakan itu benar. Memang sungguh mencabar untuk menahan mulut dari berkata-kata dalam keadaan demikian. Tapi, kerana saya telah mula faham bahawa untuk mendapat keredhaan Allah, saya perlu terlebih dahulu mendapat keredhaan suami dan untuk mendapat keredhaan suami saya perlu taat akan segala yang suami perintahkan (asalkan tidak menyuruh saya melakukan kemungkaran), maka saya akur. Walaupun ada kalanya dalam jiwa saya 'memberontak', tapi sebagai seorang isteri yang taat, saya belajar untuk 'menundukkan' ego saya dan saya belajar untuk 'mengunci' mulut saya. Sekali lagi saya katakan di sini, ianya bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi, meminjam satu peribahasa dalam bahasa Inggeris yang sangat saya gemari : 'Practice makes Perfect!' (jika diterjemahkan ke bahasa Melayu maksudnya lebih kurang ' Amalan membawa kepada kesempurnaan!' )

Errr...mengapa tiba-tiba saya menulis catatan skema di tengah malam ini? Sebab saya sedang 'berusaha' dengan bersungguh-sungguh untuk 'menundukkan' ego saya dan sedang 'bekerja' keras untuk mengunci mulut saya daripada mengeluarkan kata-kata yang sia-sia dan menyakitkan hati orang lain. Dengan bahasa yang lebih mudah difahami : saya sedang marah dengan seseorang, perasaan marah yang teramat marah yang telah saya simpan dalam hati sahaja dari pagi tadi! Oleh kerana saya isteri yang taat, maka saya akur dengan perintah suami saya supaya mendiamkan diri kalau tiada apa yang baik untuk di ucapkan.

Tapi, suami saya mungkin terlupa untuk mengeluarkan perintah  yang saya tidak boleh menaip dan meluahkan kemarahan saya dalam blog saya....jadi, disebabkan tiada perintah sedemikian dari suami saya, maka, walaupun saya meluahkan perasaan di sini, insya allah, saya masih lagi seorang isteri yang taat!

Jangan pula ada yang 'terlebih' baik dan tunjukkan catatan saya ini kepada suami saya pula...siaplah!



No comments:

Post a Comment