Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Monday 9 December 2013

PANTANG.


TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Pagi-pagi lagi, saya telah memandu ke pasar yang terletak berdekatan dengan kawasan perumahan tempat saya tinggal. Hari ini ada pula yang hendak mengikut. Anak kedua yang masih dalam pantang. Hari ke 36 insya allah.

"Mak, bosanlah duduk dalam rumah saja. Asyik pandang tembok rumah, jenguk luar tengok pokok-pokok mak saja. Bosanlah mak. Ila ikutlah mak pergi pasar hari ini. Ila bawa Sumayyah sekali. Ila duduk dalam kereta saja. Boleh ya Mak?" Rayu anak saya kepada saya.
"Kamu tu kan masih dalam pantang? Duduk sajalah diam-diam dalam rumah ni. Nanti kaki tu tersondol apa-apa, bentan pula jadinya. Jangan main-main. Sihatkan badan tu betul-betul dulu, biar kuat. Badan tu nak pakai lama lagi!" pesan saya dengan nada sinis kepada anak saya itu.
"Ala mak! Ni dah kuatlah ni. Tinggal berapa hari saja lagi nak habis berpantang. Lagipun, esok lusa bila Ila dah balik rumah sendiri, Ila kena buat semua benda sendiri juga. Bosanlah mak. Dah lebih sebulan duduk terkurung dalam rumah saja. Kesianlah kat Ila mak," anak saya terus merayu kepada saya.
Hati mak, bila dirayu anak, memang mudah benar mengalah.
"Pergi telefon suami kamu dulu minta izin. Kalau dia bagi, baru kamu boleh ikut. Jangan lupa pakai bengkuk dan ikat ketat-ketat. Stokin tebal jangan lupa pakai. Anak tu pakaikan topi dan bedung dengan selimut. Hai! Berani betullah kamu ni. Mak pula yang rasa ngilu dan seram sejuk ni," saya memberitahu anak saya.
Selepas mendapat izin dari suaminya, anak saya dengan gembira membawa bayinya yang berusia 36 hari itu masuk ke dalam kereta. Astaghfirullahalaazim. Budak-budak sekarang!

Kalau biasanya saya memandu dengan agak laju, tapi memikirkan saya ada penumpang 'dalam pantang' yang berada di tempat duduk belakang, saya sengaja memperlahankan pemanduan saya. Khuatir sekiranya terlanggar lubang atau melalui bonggol di jalanraya, akan menjadi mudarat kepada anak saya. Tapi bila saya lihat ke belakang melalui cermin pemandu di hadapan, saya lihat anak saya kelihatan gembira saja, sedikit pun tidak nampak risau, khuatir atau berasa sakit bila dibawa keluar sedangkan beliau masih belum habis berpantang. Budak-budak sekarang!

Saya teringat semula semasa saya berpantang selepas melahirkan anak sulong saya. Yang datang duduk di rumah saya ialah mak mertua saya. Memang saat tu, rasa seperti duduk dalam 'penjara'. Setiap pergerakan dijaga, segala makan minum di sukat. Barut diikat bukan main ketat. Rambut disanggul tinggi. Pilis tak pernah lekang dari dahi. Besi yang dijadikan tungku memang peneman setia di sisi. Bertangas tiap hari lepas mandi pagi. Pendekata, berpantang dari bangun pagi sampai masuk tidur sampai bangun pagi semula. Memang rasa lemas dan seksa. Tapi apakan daya, mak mertua sentiasa membuka mata dan telinga menjadi penjaga setia.
Barangkali, disebabkan mak mertualah yang menjaga saya semasa saya dalam pantang sehingga  anak yang ke tiga, maka saya dapat mengekalkan bentuk tubuh badan seperti anak dara, walaupun sudah ada 3 cahayamata.

Dan selepas itu, semasa melahirkan anak keempat dan kelima, mak mertua saya telah meninggal dunia, jadi saya cuma mengupah seorang bidan kampung yang balik hari untuk menjaga saya selama saya dalam pantang. Barangkali, disebabkan itu juga, badan saya menjadi semakin 'gebu' lagi 'montel'. Sebab saya berpantang, cuma semasa bidan yang saya upah ada di sisi, bila beliau balik, saya ikut sukahati sendiri. Astaghfirullahalaazim.



No comments:

Post a Comment