Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Thursday 5 December 2013

BULAN MADU LAGI.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Pagi tadi, selepas suami keluar untuk ke pejabat, saya terus memandu kereta sendirian menuju ke pasar yang terletak di dalam kawasan perumahan tempat kami sekeluarga tinggal. Niat di dalam hati untuk membeli ikan, udang dan sotong, juga sedikit sayur-sayuran dan buah-buahan. Saya suka datang untuk membeli keperluan dapur di pasar ini kerana hampir semua barangan dapur yang di jual di sini, segar dan masih baru. Walaupun,  harga barangan yang dijualkan di pasar ini  agak tinggi sedikit  jika dibandingkan dengan harga barangan yang dijual di pasar-pasar lain, pada saya, itu tidak menjadi masalah kerana harga yang saya bayar berbaloi dengan mutu barangan yang saya beli insya allah.

Saya menunggu hampir 15 minit  di dalam kereta semata-mata untuk mendapatkan tempat meletakkan kereta paling hampir dengan pintu masuk ke pasar. Maklum sajalah, untuk seorang yang pernah melalui pembedahan di lutut kerana mengalami kemalangan lebih kurang 2 tahun lepas, saya memang tidak boleh berjalan jauh. Ini salah satu sebab mengapa saya lebih senang datang ke pasar ini walaupun harga barangannya mahal sedikit.

Gerai pertama yang saya tujui sebaik saja memasuki kawasan pasar ini ialah gerai yang menjual ikan. Gerai ini memang sentiasa penuh dikunjungi pelanggan-pelanggan kerana terdapat pelbagai jenis ikan laut yang masih segar dijual di gerai ini. Pelbagai jenis udang, sotong, ketam yang segar-segar turut di jual di gerai ini. 
Ikan di pasar.
Hari ini, saya perhatikan tidak banyak jenis ikan yang dijual seperti selalu. Sebenarnya, saya merancang untuk membeli ikan pari untuk dimasak asam pedas bersama daun kesom. Tapi bayang ikan pari pun tidak kelihatan di gerai tersebut hari ini. Yang ada hanyalah ikan-ikan besar-besar, yang saya sendiri tidak kenal ikan jenis apa. Astaghfirullahalaazim. Sungguh memalukan!  Di usia setengan abad ini, saya masih tidak mengenali jenis-jenis ikan.

Saya terus menjenguk-jenguk dan mencari-cari spesis ikan yang saya biasa jumpa dan yang saya kenal. Hah! Dah jumpa! Itu pun dia! Kenal atau tidak ikan apa di dalam gambar di bawah ini?
Ikan Senangin.
"Amoi! Berapa harga ikan Senangin ni sekilo?" Saya bertanya kepada wanita Cina muda, yang saya panggil Amoi, penjual ikan di gerai tersebut.
"Akak, ikan Senangin hari ini RM26/- satu kilo. Sekarang musim hujan. Laut ombak tinggi, ikan tak banyaklah kak." Jelas Amoi  kepada saya.
"Oooo..sebab itulah tidak ada ikan pari ya Amoi? Ingatkan tadi, kalau ada ikan pari, saya nak masak asam pedas hari ini." Saya memberitahu Amoi lagi.
"Asam pedas? Waaaah! Sedapnya akak. Kalau macam tu, hari ini akak kena tukar menu lah. Ikan Senangin goreng masak 'sweet sour' pun sedap akak." Pandai pula Amoi mencadangkan kepada saya.
"Betul juga tu. Cuba tolong pilih empat ekor yang besar sikit untuk saya. Pilih yang elok dan segar-segar ya!" Pinta saya pada Amoi lagi.
Dengan pantas wanita muda tersebut memilih ikan Senangin untuk saya. Kemudian terus meletakkannya di atas tempat timbang.
"Akak! Ini lebih dari satu kilo akak. Semuanya RM37/-. Mau kah akak?" Tanya Amoi kepada saya.
"OK. Tolong bersihkan sisiknya elok-elok, lepas tu siang sekali dan buang isi perut ikan tu." Perintah saya pula.
"OK akak. Macam tak biasa pula. Akak kan 'regular customer'. Kita taulah macamana mau buat." Jawab Amoi pada saya.

Insya allah, tengahari ini, hidangan utama di rumah saya ialah ikan Senangin goreng di masak masam manis. Tambah satu hidangan lagi yang paling tidak digemari anak-anak saya : Sayur!

Malam ini, pandai-pandailah anak menantu merancang menu untuk makan malam sendiri. Sekejap lagi saya akan ikut Encik Suami 'out-station' lagi, insya allah. Kali ini, hanya kami berdua saja. Ehem!

Pergi berbulan madu lagi?
Tidak juga. Adalah.






No comments:

Post a Comment