Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Tuesday 31 December 2013

ULASAN E BOOK KUMPULAN CERPEN RAUTAN TAKDIR

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google


ULASAN CERPEN HIJRAH KASIH
Karekter ‘Dung’ dan ‘Nyet’ memberi impak dalam sanubari saya. Saat rasa kasih sebagai sahabat kemudian bertukar menjadi cinta, sangat mengujakan. Tetapi, bila cinta yang baru hendak bercambah musnah kerana kematian ‘Nyet’, saya pula yang rasa kecewa yang amat sangat. Memang layak sekali dipilih sebagai pemenang tempat pertama Peraduan Menulis Cerpen dan Sajak Cinta Jelita 2007.

ULASAN CERPEN SI PEMUDA TAMPAN
Cerpen ini menggunakan bahasa ‘berkias’ dengan maksud yang dalam. Saya membacanya dengan penuh berhati-hati, khuatir saya tersilap tafsir. Mulanya saya sangka ‘pemuda’ yang ‘berkat-kata’ di dalam cerpen ini salah seorang pengunjung masjid. Rupanya memang benar beliau seorang ‘pengunjung’ masjid tetapi untuk disembahyangkan sebagai jenazah.Cerpen yang menarik yang menggunakan bahasa ‘berkias’ yang membuat kita berfikir.

ULASAN CERPEN KESASAR DALAM TERANG
Saya pernah berjumpa anak yang mempunyai karektor seperti Hani dalam cerpen ini. Anak yang ‘menyalahgunakan’ ibunya sebagai ‘babu’. Dan membaca cerpen ini mengingatkan saya kepada Mak Nab, mak saudara saya di kampung yang ‘diperlakukan’ sedemikian rupa juga oleh salah seorang anak kandungnya. Sekarang Mak Nab terlantar sakit di kampong saya, duduk sendirian di rumah yang usang dan hidup atas belas kasihan saudara-mara yang tinggal berhampiran. Kemana perginya anak yang ‘memperhambakan’ Mak Nab sekian lama semasa beliau masih sihat? Khabarnya sudah berpindah jauh ke seberang laut. Astaghfirullahalaazim. Semoga Allah beri hidayat kepada anaknya  itu.

ULASAN CERPEN APA SAJA MAHUMU
Tersenyum saya sendirian selepas membaca cerpen ini. Kisah cinta yang begitu bersahaja. Dan saat Dato Azmi menyebut perkataan ‘Datin Hairiah’, saya rasa seperti saya pun ingin membalut diri saya dalam kain langsir! Malu tapi mahu.

ULASAN CERPEN TEH SEGELAS
Saat saya selesai membaca cerpen ini, satu tajuk filem lama melintas di fikiran saya : IBU MERTUAKU arahan Tan Sri P.Ramlee. Cuma bezanya, watak Kassim Selamat dalam cerpen ini (Mohd Hafiz-penebar roti canai yang juga pelajar di sebuah universiti) berlawanan dengan Kassim Selamat, pemuzik dalam filem IBU MERTUAKU. Kesudahan yang menggembirakan. Saya suka.

ULASAN CERPEN GARISAN ABDULLAH
Terkedu saya selepas membaca cerpen ini. Banyak persamaannya dengan sejarah kehidupan saya sendiri. Sedih.

ULASAN CERPEN INILAH DOA INILAH PINTA
Doa itu senjata orang mukmin. Tapi malangnya ramai dari kita selalu lupa kehebatan doa. Cerpen ini mengesahkannya. Doa dan fikir risau seorang imam untuk anak kariahnya tanpa jemu, sekalipun dicemuh. Kuasa Allah mengatasi segalanya.

ULASAN CERPEN MENGUAK TIRAI ITU
Sayu hati selepas membaca cerpen ini. Sudah lama menyimpan hasrat untuk ‘bertemu’ dengan Baginda SAW di dalam mimpi, tapi, menyedari diri saya ini hambaNYA yang banyak dosa, maka rasanya keinginan itu harus tak mungkin berlaku. Mana bisa seorang pendosa seperti saya menemui Baginda SAW sekalipun hanya dalam mimpi? Astaghfirullahalaazim.

ULASAN CERPEN SEANGGUN CAPSICUM
Cerpen ini mengingatkan saya kembali ke zaman sekolah menengah saya. ‘Cinta Monyet’ dengan abang senior, 6 orang sahabat karib yang berkongsi suka duka, memang menyeronokkan.

ULASAN CERPEN LIRIH DOA UNTUK DIA
Masyaallah! Sangat hebat cerpen ini sehingga ketika membacanya saya seolah-olah berada di dalam cerpen itu menyaksikan sendiri kesetiaan Zainab dan rasa cinta yang amat mendalam suaminya Abul’Ash terhadapnya. Kisah cinta yang lebih indah dari Romeo dan Juliet.


ULASAN CERPEN SI MANIS
Suami isteri melengkapi satu sama lain dengan kelebihan masing-masing. Siapa pun yang Allah hantar sebagai jodoh kita, terimalah dengan redha, sebab Allah sentiasa beri yang terbaik untuk kita.

ULASAN CERPEN MALASNYA MATA
Cerpen yang mengandungi nasihat dan peringatan yang berguna. Kita selalu beranggapan kata-kata gurauan kita boleh diterima orang lain dengan mudah saja tanpa memikirkan bahawa kata-kata gurauan kita itu mungkin meninggalkan kesan yang mendalam hingga menjejaskan perasaan orang lain.
Dan selepas membaca cerpen ini, barulah saya faham yang juling itu sejenis penyakit. Astaghfirullahalaazim.

ULASAN CERPEN SYARAT GHASIDAH SEGARAGA
Saya terpesona apabila cerita 3 Abdul diolah dengan cara yang bijaksana. Alhamdullillah. Suara hati seorang isteri yang ingin menjadi isteri yang taat dan tidak mahu akur saja seperti adik beradiknya yang lain.

ULASAN CERPEN GULAI AYA UNTUK AYAH
Sedih selepas membaca cerpen ini. Seorang lelaki yang masih merindui isterinya Mahani yang telah ‘pergi’. Dan kerinduannya itu makin bertambah dengan kebijaksanaan anak-anak yang diasuh dan dididik dengan baik oleh Mahani. Juga bau dan rasa gulai aya Mahani yang tiada tolok bandingannya.

ULASAN CERPEN RAUTAN TAKDIR

Bersimpati dengan Firdaus yang sangat menyintai Jannah sekalipun Jannah memutuskan pertunangan mereka sebanyak 3 kali. Akhirnya, ditakdirkan Allah, mereka berjumpa semula di rumah orang-orang tua. Dan Firdaus masih tidak berputus asa.

ULASAN KESELURUHAN E BOOK KUMPULAN CERPEN RAUTAN TAKDIR.
Alhamdullillah. Banyak yang saya pelajari setelah membaca keseluruhan kumpulan cerpen yang terkandung di dalam E Book ini. Dari gaya cerpen yang berbeza-beza, dan bagaimana sesuatu cerpen boleh mempengaruhi perasaan pembacanya. Dan yang pasti, dan yang lebih menyemarakkan semangat saya untuk menulis dan terus menulis ialah saya dapat memberi peringatan kepada diri saya sendiri dan juga kepada sesiapa yang sudi diperingatkan melalui penulisan cerpen, insya allah.


No comments:

Post a Comment