Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Sunday 8 December 2013

CAMERON HIGHLAND, SEJUKMU HINGGA KE TULANG.

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh Googl

5/12/2013 (Khamis)
Sebelum bergerak ke pejabat pagi Khamis itu, suami telah berpesan kepada saya untuk menyiapkan pakaian dan keperluan lain untuk dibawa ke Cameron Highland pada petang itu.
"Pukul 3 petang nanti, Abang Aji balik ambil Sayang. Kita kena bergerak tepat pada masanya sebab Abang Aji tak mahu Hamizan (pemandu kami) memandu naik ke Cameron Highland bila langit dah gelap. Bahaya." Pesan suami pada saya.

Dan seperti yang dijanjikan, tepat jam 3 petang, suami saya sudah terpacak di depan pintu rumah kami. Sepanjang perjalanan menuju ke Utara, hujan turun dengan lebat. Suami saya beberapa kali mengingatkan pemandu kami supaya memandu dengan berhati-hati kerana jalanraya basah dan licin. 

Kami berhenti untuk berehat sebentar di R&R Tapah. Selepas mengerjakan solat Asar, suami mempelawa pemandu kami untuk minum kopi panas sambil makan roti bakar bersama kami di Restoran Tuuuu...Dia Pak Tam yang agak terkenal di situ. 

Selesai menjamu selera, kami pun memulakan perjalanan semula. Sebaik keluar melepasi tol Tapah, Hamizan, pemandu kami terus memandu dengan lebih berhati-hati menuju ke Cameron Highland. Keadaan makin gelap, walaupun jam baru menunjukkan pukul 6 petang. Walaupun ini bukan kali pertama saya melalui jalan ini untuk ke Cameron Highland, rasa loya dan penting tetap ada. Mungkin disebabkan oleh jalannya yang berbelit-belit dan ditambah pula dengan rasa gerun setiap kali kereta kami berselisih dengan lori-lori besar diselekoh-selekoh yang tajam dan sempit. Entah berapa ribu kali saya beristighfar sepanjang perjalanan naik ke Cameron Highland itu.

Akhirnya kami sampai di Ringlet lebih kurang pada jam 7.00 petang. Kedengaran azan Maghrib berkumandang di masjid berhampiran. Suami terus meminta pemandu kami menuju ke masjid tersebut supaya mereka dapat solat berjemaah. Saya hanya menunggu di dalam kereta kerana sudah niat solat jamak takhir semasa mendengar azan Maghrib tadi.

Selesai suami dan pemandu kami solat di masjid tersebut, kami terus menuju ke Century Pines Resort, tempat kediaman kami untuk beberapa hari akan datang.
Setelah urusan mendaftar masuk selesai, suami berpesan kepada pemandu kami untuk datang mengambil kami untuk keluar makan malam pada pukul 9.30 malam.

Selepas mengemas pakaian dan keperluan lain ke dalam almari yang terletak di dalam bilik kami, saya mengerjakan solat jamak takhir saya dan kemudian bersiap untuk keluar makan malam. Hujan masih turun renyai-renyai dan angin pula bertiup agak kencang. Terasa benar sejuk hingga ke tulang di Cameron Highland kali ini.

Malam ini kami singgah di Gerai Zainab Sam di Tanah Rata untuk makan malam. Cuaca yang sejuk memang selalunya buat kita mudah rasa lapar (sebenarnya kalau bukan sebab cuaca sejuk pun, kami memang kelaparan). Jadi, saya dan suami, disertai Hamizan, pemandu kami, membuat pesanan nasi goreng dengan minuman panas buat menghilangkan rasa lapar dan juga untuk memanaskan badan. Selesai menjamu selera, Hamizan pun menghantar kami balik ke tempat kediaman kami semula.

Saya fikirkan, sebaik sahaja sampai ke bilik kami, maka dapatlah kami merehatkan diri. Bagaimanapun, baru beberapa minit saja masuk ke bilik, telefon bilik kami berbunyi. Rupa-rupanya salah seorang pegawai yang bekerja dengan suami mengingatkan suami akan mesyuarat yang akan bermula pada jam 10.30 malam di bilik mesyuarat di bawah. Astaghfirullahalaazim. 

Oleh sebab terlalu keletihan, sebaik sahaja saya meletakkan kepala di atas bantal, saya terus terlelap. Saya terjaga semula apabila dengar bunyi pintu loceng bilik dan suara suami memberi salam. Bila saya membuka pintu, suami saya masuk dalam keadaan keletihan. 

"Dah pukul berapa ni Abang Aji?" Saya bertanya kepada suami.
"Dah hampir pukul 12 tengah malam. Letih betul dah Abang Aji ni. Tak larat." Dan sebaik sahaja beliau meletakkan kepala ke atas bantal, tidak lama kemudian terus terdengar bunyi dengkurannya. Kasihannya suami saya.

6/12/2013 (JUMAAT)

Seperti biasa kami bangun lebih kurang pada pukul 5 pagi untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Hujan makin lebat turun di luar. Walaupun bilik kami tidak di pasang alat penghawa dingin, namun kesejukan semulajadi dalam bilik tersebut menyebabkan kami memakai stokin dan baju panas untuk memanaskan badan.

Selesai solat Subuh, kami duduk bersama untuk mengadakan majlis Taaleem, satu kebiasaan selepas solat Subuh apabila kami tiada di rumah dan keluar daerah ataupun keluarnegara. Kali ini, giliran suami untuk membacakan hadis-hadis dari Munthakab Hadis. Banyak ilmu dan peringatan yang kami perolehi dari pembacaan kitab tersebut. Usai majlis tersebut, kami sama-sama berdoa semoga Allah memberi taufiq dan hidayat kepada ummat Nabi seluruh alam.

Kemudian kami pun bersiap dan turun bersarapan di coffee house yang terletak berhampiran lobi pusat peranginan tersebut. Semasa bersarapan, saya dapat bertemu dengan beberapa orang isteri pegawai suami saya yang turut datang bersama suami masing-masing memandangkan anak-anak masing-masing sedang bercuti sekolah sekarang.

Selepas selesai bersarapan, kami naik semula ke bilik kami. Suami terus bersiap-sedia untuk menghadiri mesyuarat pada pukul 9 pagi dan setelah selesai bermesyuarat disambung pula dengan  membuat lawatan tapak pula dengan pegawai-pegawai beliau. Suami turut memaklumkan kepada saya bahawa selepas lawatan tapak itu, mereka akan terus ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat. Hanya selepas solat Jumaat, barulah beliau akan balik ke bilik untuk menemui saya. Sebagai isteri yang sudah lali dengan kesibukan program suami bila bertugas di luar daerah dan di luarnegara, saya akur.

Selepas solat Jumaat, suami saya balik sebentar ke bilik untuk berehat sebentar sebelum menghadiri satu lagi mesyuarat di bilik mesyuarat di tingkat bawah. Menurut suami, selepas mesyuarat tersebut, yang berkemungkinan habis pada jam 5.30 petang, suami minta saya menyediakan bajunya dan juga menyiapkan diri saya sendiri untuk menghadiri majlis makan malam rasmi di ruang makan di bawah pusat peranginan tersebut. 

Sebenarnya, terus terang, saya tidak berapa gemar untuk menghadiri majlis-majlis rasmi seperti ini kerana terlalu banyak protokol yang perlu diikuti. Tapi sebagai isteri kepada seorang pegawai kanan kerajaan, saya  wajib taat dengan kehendak suami dan akur dengan ketetapan majlis yang memerlukan kehadiran saya di sisi suami. 
Selesai soal jamak takdim, kami suami isteri pun turunlah ke bawah untuk menghadiri majlis makan malam tersebut. Walaupun semua makanannya amat menyelerakan, tapi kerana perlu menjaga protokol  makan dengan beradab (yang sangat merimaskan saya dan membuat perut saya 'memberontak'), maka kami berdua pun makanlah sedikit, buat 'memenuhi syarat' makan malam tersebut. Saya sempat berbisik kepada suami," lepas ni suruh Hamizan pergi beli nasi goreng ikan masin kat Gerai Zainab Sam kat Tanah Rata tu Abang Aji. Laparlah!" 
Hehehe...tak habis habis dengan nasi goreng ikan masin kegemaran saya, dan juga kegemaran suami tercinta.
Selesai jamuan makan malam tersebut, kami pun balik ke bilik kami. Tidak lama kemudian kedengaran loceng pintu bilik kami berbunyi. Apabila suami membuka pintu, saya nampak Hamizan, pemandu kami menghulurkan bungkusan makanan dan minuman ke tangan suami saya. 
"Nasi goreng ikan masin dan air teh o ais limau seperti yang dipesan melalui sms," kata Hamizan kepada suami saya.
Alhamdullillah! Jazakumullahu khairan Abang Ajiku sayang.

7/12/2013 (Sabtu)

Alhamdullillah, hari ini dapat bangun awal pagi seperti biasa dan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Hujan masih turun di luar dan suhu di dalam bilik masih sejuk juga seperti semalam.

Pagi ini, giliran saya pula membaca Muntakhab Hadis dalam majlis Taaleem kami. Dan seperti biasa, majlis di tutup dengan doa buat semua muslimin muslimat dan juga buat semua ummat Nabi seluruh alam.

Selepas itu, kami pun turun bersarapan pagi di coffee house di tingkat bawah. Dalam pada sibuk bersarapan, sempat juga lagi suami saya 'buka meja' bersebelahan meja tempat kami berdua bersarapan untuk berbincang dengan beberapa orang pegawainya. Astaghfirullahalaazim. ' Angin kus-kus' saya dah mula datang dari semua arah, dan airmuka saya sudah mula berubah. 
"Tak kan tak sudah-sudah lagi 'meeting' semalam tu?" saya mengomel dalam hati. Suami sudah berjanji sebelum kami masuk tidur malam tadi untuk membawa saya keluar bersiar-siar dan membeli sedikit buahtangan untuk dibawa balik untuk anak-anak hari ini.

Melihat  riak wajah saya yang sudah mula berubah, suami pun terus menamatkan perbincangan dengan segera.

"OK Sayang, jom! Kita pergi jalan-jalan," suami saya cuba memujuk sambil menarik tangan saya. Tanpa banyak bicara, saya terus bangun dan mengikut suami menuju ke kereta kami yang sudah sedia menanti di hadapan pintu pusat peranginan tersebut.

"Hamizan, kita ke Taman Agroteknologi Mardi. Saya nak bawa isteri saya bersiar-siar sekejap dan beli buahtangan sedikit untuk anak-anak," beritahu suami saya kepada pemandu kami.

Rupanya Taman Agroteknologi tersebut letaknya tidak jauh pun dari tempat kediaman kami itu. Setibanya di sana, saya sempat mengambil gambar-gambar yang ingin saya kongsi di dalam blog saya ini.


Cuaca memang sejuk ditambah pula dengan angin yang bertiup, mengingatkan saya kepada cuaca semasa saya mengikut suami bertugas di London tahun lepas. Mungkin disebabkan musim cuti sekolah sekarang, terdapat ramai pengunjung di Taman Agroteknologi Mardi ini. Tempatnya pun cantik, hijau dan penuh dengan bunga-bungaan terutamanya bunga ros- bunga kesukaan saya.

Selepas bersiar-siar sebentar di taman-taman yang penuh dengan pelbagai jenis bunga, terutamanya bunga ros, suami membawa saya menuju ke taman strawberi pula. Di sana dapatlah dilihat sendiri pokok-pokok buah strawberi yang ditanam di situ, dan banyak pula yang sedang mengeluarkan buah strawberi. Sungguh mengujakan sekali!


Kami suami isteri mengambil kesempatan itu untuk 'memborong' buah-buah strawberi segar yang baru saja dipetik untuk dibawa pulang sebagai buahtangan untuk anak-anak, dan juga beberapa orang jiran kami
.

Semasa kakitangan di ladang tersebut sibuk membungkus buah-buah strawberi yang kami beli, mata saya terpandang sesuatu yang menarik, dan orang pertama yang terlintas difikiran saya sebaik saja melihatnya ialah : Datuk Siti Nurhaliza!
Cuba teka apakah yang menarik itu?
Betul! Buah strawberi dicelup dalam coklat cair. Masyaallah! Padanlah Datuk Siti Nurhaliza sangat meminatinya. Memang sedap! Pada yang tidak pernah mencuba, memang patut cuba merasainya. Di sana ianya dijual dengan harga RM2.00 secucuk. Jadi saya telah membeli dua cucuk, satu untuk saya dan satu untuk suami saya.

Selesai bersiar-siar dan 'memborong' buah-buah strawberi, suami terus mengajak saya balik ke bilik penginapan kami untuk berkemas dan memulakan perjalanan balik. Sempatlah kami mengerjakan solat Dhuha sebelum kami turun ke lobi untuk daftar keluar dari pusat peranginan tersebut. Alhamdullillah.

Dalam perjalanan kami turun dari Cameron Highland melalui Tapah, saya minta izin suami untuk berhenti sebentar di tepi jalan untuk mengambil gambar rumah-rumah orang asli yang terdapat di situ untuk saya abadikan dalam Travelog saya kali ini.

Dan semakin kenderaan kami menuju Tapah, sempat juga saya minta izin suami untuk berhenti di tepi jalan Hutan Lipur Lata Iskandar untuk mengambil gambar air terjunnya yang nampak sangat mengujakan. Subhanallah!

Sebaik sahaja meninggalkan lokasi Hutan Lipur Lata Iskandar ini, saya menerima panggilan telefon dari isteri seorang bekas pengarah yang pernah bertugas di jabatan suami saya, memaklumkan kepada saya bahawa suaminya baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi. Innalillahiwainnailahirrajiun.

Setibanya kami di Kuala Lumpur, suami meminta pemandu kami terus menuju ke rumah bekas pengarahnya itu untuk menziarahi isteri dan anak-anak almarhum.

Semoga Allah memudahkan urusan almarhum di alam barzakh dan ditempatkan rohnya bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.

No comments:

Post a Comment