Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Monday 16 December 2013

ULASAN E BOOK ASAS BLOG

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

ULASAN E BOOK ASAS BLOG
Penulis : Masayu Ahmad.

Terus terang, semasa saya membaca EBook Asas Blog ini buat pertama kalinya sehingga tamat, saya tahu yang saya perlu membacanya semula buat kali kedua untuk betul-betul memahaminya. Walaupun ‘jalan ceritanya’ nampak mudah, tetapi sebenarnya untuk ‘menghayati’ dan ‘memahami’nya memerlukan ketelitian dan kesungguhan yang tinggi. Dan ditambah dengan faktor usia saya yang sudah masuk separuh abad ini, maka keupayaan untuk ‘menghadam’ maklumat mengambil masa yang lama sebelum dapat ‘mengenyangkan’ ‘perut’ minda. Oleh kerana itu, setelah membaca EBook ini untuk kali ke 3, barulah saya berani membuat ulasan mengenainya, insya allah.

Selepas membaca dan memahami sedikit sebanyak isi kandungan EBook ini, saya dapati banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari untuk menjadi seorang penulis. Baru saya sedar, rupa-rupanya selama ini, bila saya menulis di blog lama saya, saya menulis dengan gaya ‘syok sendiri’. Saya tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul (Bahasa Melayu Tinggi), saya terikut-ikut stail percakapan orang orang muda sekarang bila menulis di dalam blog saya, saya tidak menggunakan tatabahasa yang betul dan saya tidak peduli langsung samada tanda-tanda bacaan yang saya gunakan itu sesuai ataupun tidak. Astaghfirullahalaazim.

Bagaimanapun, selepas membaca hingga tamat EBook ini (selepas membacanya untuk kali yang kedua ya!), barulah datang rasa ‘insaf’ dan juga malu di dalam diri saya.
Saya membaca berkali-kali analisa blog Faridah Yusoff, Aishah Hussein dan Ashikin Hashim yang terdapat di dalam EBook ini. Banyak betul pelajaran dan pengajaran yang saya perolehi.

Contohnya melalui analisa blog Ashikin Hashim, ada dinyatakan bahawa entri pertama dalam sesuatu blog adalah sangat penting kerana ia ibarat resume diri yang lengkap dan juga untuk memperkenalkan diri penulis blog kepada pembaca atau bakal pelanggan. Sebaik sahaja mengetahui tentang kepentingan entri pertama ini, saya serta-merta menggubah entri PENGENALAN saya yang merupakan tugasan pertama selepas selesai membina blog baru saya. Alhamdullillah.

Selain daripada itu, melalui EBook ini juga saya memahami matlamat saya menyertai Kelas Asas Blog dan Penulisan ini. Di antaranya ialah untuk menjadikan blog sebagai pentas awal bagi  memperkenalkan diri peserta kepada dunia online bakal pembaca/pelanggan.

Melalui EBook ini juga, saya mempelajari beberapa ciri yang  boleh menjadikan sesebuah blog itu berpengaruh. Contohnya : blog mestilah mesra pembaca, sentiasa ada entri baru dan segar dan juga menjadikan pembaca ‘ketagih’ untuk datang membaca blog itu lagi dan lagi.

Kesimpulan yang saya perolehi dari membaca EBook ini ialah apabila seseorang menjadi penulis blog, kalau tiada ilmu dan tunjuk ajar dan panduan, akhirnya akan mengakibatkan penulisnya menulis secara syok sendiri sahaja, akan terus melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang kali kerana tiada yang menegur,  ketandusan idea dan lama kelamaan akan menimbulkan rasa malas untuk membuat entri dan meneruskan penulisan.

Meminjam antara kata-kata ‘hikmah’ di dalam EBook ini : “Blog yang tidak update ibarat sebuah kedai yang telah disiapkan tetapi kemudian ditinggalkan sahaja sehingga pelanggan yang datang berasa kehilangan kerana tiada siapa melayan.”

Yang pasti, saya bersyukur banyak kepada Allah kerana membuka hati saya untuk membaca EBook ini (walaupun terpaksa khatam 3 kali baru saya benar-benar faham) kerana banyak pelajaran dan pengajaran yang saya perolehi melaluinya yang saya yakin dapat membantu saya untuk menjadi penulis blog yang berjaya insya allah.



No comments:

Post a Comment